Terdapat pepatah arab yang berbunyi :
اللسان هو أكثر حدة من السيف
“Lidah itu lebih
tajam daripada mata pedang”
Salah seorang penyair Arab berkata:
وجرح السيف تدمله فيبرا ويبقى الدهر ما جرح اللسان
"Luka kerana pedang jika kamu balut maka diapun akan kembali sembuh dan akan lekang sepanjang masa luka yang diakibatkan oleh lisan"
Pepatah Melayu pula ada menyebut; kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan sengsara. Sesungguhnya benarlah pepatah-pepatah tersebut. Namun saya merasakan pepatah arab tersebut lebih tepat kerana merujuk kepada lidah, kerana tanpa lidah, susah sebenarnya untuk berkata-kata. Ok, lupakan tentang pepatah tersebut, kerana bukanlah pepatah isu yang ingin dibangkitkan kali ini.
Jika anda selalu melayari laman web, terutamanya Facebook, pasti ada yang tahu tentang isu ini. Biar saya berikan sedikit sinopsis. Seorang insan berusia 14 tahun, telah mengutuk seorang artis yang baru sahaja meninggal dunia di page peminat artis tersebut di facebook. Di samping itu juga, dia telah mengatakan bahawa dia merupakan malaikat yang dihantar oleh Tuhan untuk mengutuk artis tersebut. Kanak-kanak tersebut juga dikatakan telah mengutuk Al-Fatihah. Yang lebih teruk, ada yang menuduh bahawa dia telah murtad. Kalau anda ada mengikuti isu ini pasti anda tahu siapa yang dimaksudkan dan kisahnya.
Begitu hangat isu ini sehingga dalam seminit, profil facebooknya dipenuhi hingga sepuluh post dan komen daripada insan-insan yang ‘prihatin’. Namun, apa yang saya ingin perkatakan adalah tentang perasaan kurang senang saya terhadap cara kebanyakan insan-insan prihatin ini menzahirkan ‘sokongan’ terhadap budak tersebut. Baiklah, saya tidak mahu menggunakan bahasa tersirat lagi.
Saya tidak berapa senang dengan beberapa pengomen (org yg komen) di wall budak tersebut. Mereka penuhkan wall tersebut dengan caci maki dan juga ugutan terhadap budak tersebut. Namun, saya tidak kata semua. Ada yang memberikan cadangan juga agar budak tersebut bertaubat dan memohon maaf kepada keluarga artis tersebut.
Bagi saya, pengomen yang hanya mencaci dan memaki budak tersebut juga teruk seperti budak tersebut, mungkin lebih teruk. Sebabnya, saya pasti kebanyakan mereka hanya mengikut nafsu amarah mereka tanpa mengkaji terlebih dahulu punca dan sebab isu ini timbul. Sudahlah bertuankan nafsu amarah, malah mengeluarkan kata-kata kesat yang juga sebenarnya turut membawa kepada dosa.
Saya memuji sikap seorang pengomen ini yang sudi untuk berbicara dengan budak tersebut dan mengkaji segala musabab dia bertindak sebegitu. Saya juga telah mengkaji dengan lebih lanjut, walaupun tidak berhubung dengan budak tersebut (kerana maklumat pengomen yg berbicara dengan budak tersebut telah cukup). Ok, mari kita pergi kepada punca permasalahan ini.
PUNCA
Saya sempat membaca komen budak tersebut di sebuah blog. Saya menemui punca kepada isu ini. Menurut budak tersebut, dia bertindak sebegitu kerana marahkan artis tersebut yang selalu buat lawak dengan kutuk orang lain. Saya juga dahulu tidak suka sangat dengan jenakanya kerana tidaklah berlandaskan cara jenaka yang sebenar, tetapi sebelum beliau menghembuskan nafas yang terakhir, beliau sempat meminta maaf. Saya juga sudah memaafkannya dan mendoakan semoga dosa-dosanya diampunkan. Saya sedihlah sekiranya dosa-dosanya tidak diampunkan kerana pasti azab kubur menanti dirinya.
Tetapi, masih terdapat insan yang berhati keras yang tidak mampu memaafkan kesalahan artis tersebut, seperti budak tersebut. Maka, ruangan internet yang selalu digunakan untuk meluahkan isi hati, digunakan. Budak ini telah mengikut nafsu amarahnya hingga bertindak sebegitu. Namun, saya maafkan budak tersebut kerana dengan umurnya yang masih terlalu muda, pastinya fikirannya tidak sebegitu matang lagi.
Jadi, anda dapat puncanya?
Punca 1 : Lawak jenaka yang tidak berlandaskan prinsip (bagi saya Islam)
Punca 2 : Tidak mampu mengawal nafsu amarah dengan sebaiknya
KESAN
Kemudian, kita lihat pula kesan tindakan tersebut. Budak tersebut dicemuh masyarakat dan juga peminat-peminat artis tersebut. Akidah budak tersebut juga mungkin goyah dan nafsu amarah insan lain juga telah berkuasa.
TINDAKAN DAN PENYELESAIAN
Di sinilah bahagian yang paling penting dalam penyelesaian sesuatu masalah. Apa yang perlu dilakukan untuk mengatasi masalah ini? Adakah dengan memaki hamun? Mengugut? Melaporkan pada pihak bertanggungjawab? Tarbiah budak ni? Tuding jari?
Untuk menyelesaikan sesuatu masalah, saya suka untuk melihat kembali cara Rasulullah menyelesaikan masalah kerana bagi saya caranya adalah cara terbaik. Baiklah, kita ambik satu contoh. Sekiranya terdapat orang murtad, apakah yang disyorkan Rasulullah? Jika anda mengkaji pasti anda tahu. Bunuh? Maaf, sekiranya itu jawapan anda, anda seharusnya mengkaji dengan lebih mendalam. Cara untuk menangani orang murtad, pertamanya pastinya bukan bunuh, tetapi memberi tunjuk ajar kembali kepadanya agar kembali ke jalan yang benar. Namun, sekiranya beliau telah diterang seteran-terangnya tetapi masih lagi mahu mengingkari kebenaran, maka barulah hukuman bunuh dijatuhkan.
Ok, mari kita adaptasikan dalam masalah ini pula.
Jalan penyelesaian pertama : memaki hamun, mencarut dan mengeluarkan kata-kata kesat. Ada seperti jalan penyelesaian Rasulullah? Sekiranya anda kaji, pasti anda tidak menjumpai walau satu pun cara ini digunakan Rasulullah.
Sabda Rasulullah SAW:
من كان يؤمن بالله و اليوم الآخر فليقل خيرا أو
ليصمت
"Barang siapa yang beriman pada Allah dan hari akhir maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam"
Maka, jalan penyelesaian ini ditolak ke tepi.
Jalan penyelesaian kedua : ugutan. Cara ini berkesan dan digunakan Rasulullah? Tidak, malah akan menambahkan lagi masalah dan tekanan. Buat fan page saya benci sekian2 juga tidak patut dan tergolong dalam jalan penyelesaian ini.
Jalan penyelesaian ketiga : laporkan kepada pihak bertanggungjawab. Boleh dipertimbangkan. Kerana sekiranya sahabat-sahabat Rasulullah menghadapi masalah, mereka akan merujuk kepada Rasulullah. Tetapi, cadangan ini seakan melepaskan tanggungjawab diri sendiri. Mungkin ada yang berkata, “alah, saya tak pandai bab-bab agama camni, serahkan je kat pihak bertanggungjawab.” Adakah ini solusi sebenar?
Jalan penyelesaian keempat : biarkan sahaja budak tu. Lama-lama dia sedarlah. Hah! Yang ni memang perlu ditolak bulat-bulat. Orang buta tanpa tongkat, bolehkah dijamin untuk melintas jalan dengan selamat dengan bersendirian? (tiada gurauan di sini seperti lintas jalan tanah merah boleh! :P)
Jalan penyelesaian kelima : bimbing insan ini ke jalan kebenaran. Mungkin waktu dia bertindak sedemikian, dia tidak fikir masak-masak. Mungkin dia masih belum tahu mengawal amarahnya. Mungkin dia belum tahu bahawa perbuatannya itu berdosa dan boleh membawa kepada murtad. Bagi saya, inilah cara terbaik. Kita patut ajar dia cara mengawal kemarahan. Kita perlu ajar dia cara menghormati orang yang telah meninggal dunia. Kita perlu didk dia cara mendapatkan hidayah sebenar. Kemudian, pasti lahir kekesalan sebenar ikhlas daripada hatinya. Dan pastinya dia akan memohon maaf dan bertaubat kepada Allah.
كلكم خطاؤون وخير الخطائين التوابون
"Setiap orang dari kalian pasti berbuat dosa, dan sebaik-baik orang yang berbuat dosa adalah yang bertaubat"
Juga dalam hadis lain disebutkan bahwa hanya dengan taubat inilah hati kita dapat kembali bercahaya dan memancarkan sinarnya.
Rasulullah SAW bersabda:
إن العبد إذا أذنب ذنبا كانت نكتة سوداء في قلبه، فإن
تاب منها صقل قلبه، وإن زاد زادت،
"Sesungguhnya seorang hamba itu jika melakukan satu dosa maka akan meninggalkan satu noda hitam dalam hatinya, dan jika dia bertaubat maka hatinyapun akan kembali dibersihkan, namun jika bertambah (perbuatan dosanya) maka akan bertambah (pula) noda-nodanya"
Jadi pilihlah penyelesaian kelima. Sebolehnya bermesyuarahlah sebelum sesuatu tindakan diambil.
Oh, ya lupa pula. Punca tadi ada dua. Penyelesaian bagi punca pertama itu, diharapkan selepas ini lebih ramai menjaga mulut dan lidahnya. Moga-moga dijauhkan daripada keburukan. Ingat, kita perlu menjaga dua hubungan ini : Hablu minallah wa hablu minannas. Hubungan dengan Tuhan dan hubungan sesama manusia.
Diharap dapat ambil yang baik daripada artikel ini. :)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan