Ahad, 30 Oktober 2011

Rasulullah Menjerit Di Pasar?

 Di dalam sebuah ceramah motivasi yang terpaksa saya ikuti, penceramah itu sangat bersemangat memotivasikan kami (baca : membosankan kami). Lagi-lagi, dia suka menyelitkan perkara-perkara Islamik seperti menyelitkan bahan-bahan motivasinya dengan hadis dan peribadi Rasulullah SAW. Saya tahu dia cuba untuk menyelitkannya kerana beliau sedang memotivasikan pelajar institut yang terkenal dengan keislamannya.

“Siapa yang mahu menjawab?”

Diam. Tiada yang mahu menawarkan diri.


 “Aduh, kenapa awak semua ni sangat takut untuk bersuara?”

Diam juga, termasuk diri saya. Bermonolog dalaman sahaja.

“Siapa kenal Muhammad bin Abdullah?”

Masih tiada suara. Pasti ramai yang berkata dalam hati, “tentulah kami orang Islam kenal siapa dia.”

“Apa pekerjaan Muhammad bin Abdullah sebelum menjadi nabi?”
 
Kali ini wujud suara-suara kecil yang menjawab, kasihan.

“Ya, betul, pengembala kambing. Apa lagi?”

“Berniaga,” ada suara yang menjawab.

“Ya, betul! Nabi Muhammad SAW berniaga sebelum menjadi nabi. Kamu tahu tak orang berniaga macam mana?”

Tiada lagi suara kedengaran (lagi sekali).


“Kamu rasa orang yang berniaga diam sahaja? Atau mereka akan menjerit-jerit panggil pelanggan?”

Aku mula rasa lain macam.

“Ada tak peniaga yang cakap, (dengan suara perlahan) bang saya jual ni, satu sepuluh ringgit. Ada ke? Tak kan? Mestilah mereka jerit panggil pelanggan. (Sambil menjerit) Abang akak mari mari mari! Murah murah! Satu sepuluh ringgit sahaja! Rugi tak beli!”

Jadi?

“Jadi, kamu patutnya mengeluarkan suara kamu, seperti orang yang berniaga. Kerana Nabi Muhammad SAW juga berniaga.”

Saya mula syak ada perkara tak betul begitu. Adakah betul nabi Muhammad SAW bersikap seperti peniaga-peniaga sekarang? Terlolok, terpekik-pekik.


Maka tidak lama selepas ceramah itu, Alhamdulillah Allah bagi saya petunjuk. Saya ada terbaca (di buku atau internet, dah lupa) tentang sikap nabi ketika berniaga.

Rasulullah s.a.w sepertimana yang digambarkan oleh para sahabatnya sebagai:

“Baginda tidak kasar, tidak berperangai buruk dan TIDAK MENJERIT KETIKA DI PASAR. Baginda tidak melakukan kejahatan bagi membalas kejahatan, tetapi Baginda sangat suka memaafkan dan melupakan kejahatan.”

Ini merupakan gambaran Abdulah bin Umar dan Abdullah bin al-Salam terhadap Rasulullah s.a.w. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam al-Baikhaqi.

Hadis ini amat-amat sukar untuk ditemui. Agak lama pencarian saya untuk bertemu dengan hadis ini. Akhirnya terjumpa di laman web Majlis Agama Islam Singapura.

Maka saya telah mendapat jawapan, bahawa kata-kata ‘pakar’ motivasi itu tidak tepat sama sekali. Orang berniaga sekarang ini tidak mengikut teladan dan sikap Rasulullah SAW yang sangat indah. Dan mereka cuma tahu pakai hadis-hadis yang menguntungkan mereka sahaja. Hadis popular di kalangan mereka :
“Berniagalah kamu kerana sembilan persepuluh punca rezeki adalah di dalam perniagaan.”
 Sedangkan mereka tidak tahu bahawa hadis yang diriwayatkan oleh Nuaim bin Abdul Rahman di atas ini adalah hadis dha’if atau hadis lemah.

Maka benarkah mereka berniaga kerana Allah? Atau sekadar mengambil kesempatan terhadap keindahan agama Islam itu?
“Yang demikian itu, kerana sesungguhnya kamu menjadikan ayat-ayat Allah sebagai olok-olokan dan kamu telah ditipu oleh kehidupan dunia, maka pada hari ini mereka tidak dikeluarkan dari neraka dan tidak pula mereka diberi kesempatan untuk bertaubat.”
[Al-Jaatsiyah 45:35]
 Semoga mereka yang sedang dan bakal serta bercita-cita menceburi bidang perniagaan terutama yang berkaitan dengan Islam berhati-hati kerana bidang perniagaan ini sudah banyak dikotorkan oleh orang yang berniaga. Semoga dipelihara oleh Allah SWT.

Rujukan :

1. Risalah MUIS : Membangun Masyarakat Islam Cemerlang Singapura (http://www.muis.gov.sg/webpub/Risalah_Muis.pdf)

2. Risalah MUIS : Membangun Masyarakat Islam Cemerlang Singapura Edisi Kedua (http://www.muis.gov.sg/cms/uploadedFiles/MuisGovSG/Downloads/Risalah%20Book.pdf)

3. Laman Web Masjid Al-Falah (Singapura) – Podcast (http://www.alfalah.org.sg/podcast.xml)

4. Forum iluvislam.com : Status Hadis 9/10 Keuntungan Adalah Dari Perniagaan. (http://www.iluvislam.com/v1/forum/viewthread.php?forum_id=120&thread_id=6598)

5. Forum iluvislam.com : Kedudukan Hadith 9/10 Rezeki Dari Perniagaan = Ia Merupakan Hadith Mursal (http://www.iluvislam.com/v1/forum/viewthread.php?forum_id=120&thread_id=25319)

6. Al Quran Digital versi 2.1 (Computer Software); Laman Web : http://www.alquran-digital.com

Rabu, 12 Oktober 2011

DAJJAL : Bersediakah Anda?

Assalamualaikum wbt.

Pernahkah anda terfikir saat anda berhadapan dengan Dajjal Al-Masih? Bagaimanakah dunia ketika itu? Terselamatkah kita?

"Ya, saya yakin bahawa saya akan terselamat!"

TIDAK! Jangan terlalu yakin! Menghadapi fitnah Dajjal bukanlah semudah yang disangka, tidaklah semudah menangkis fitnah zaman sekarang ini. Bukan semudah menangkis hujan dengan payung.

                                                                                                 
Diriwayatkan oleh Imran bin Husain ra,
Nabi SAW bersabda maksudnya:
“Sejak penciptaan Adam sampai ke hari kiamat tidak ada suatu makhluk yang lebih dahsyat fitnahnya dari dajal.”
(Riwayat Muslim No 7582)
                                                                              
"Sungguh fitnah sebahagian dari kalian lebih aku takutkan dari fitnahnya Ad Dajjal dan tiada seseorang dapat selamat dari fitnah Dajjal melainkan ia dahulu mengharungi kepelbagaian fitnah sebelumnya. Dan tiada fitnah yang dibuat sejak adanya dunia ini, baik kecil mahupun besar kecuali untuk (menjemput) fitnah Ad Dajjal."
(Musnad Imam Ahmad No:22215)
                                                                            

Maka, janganlah terlalu yakin bahawa kita mampu terselamat. Namun, tetaplah berharap pada Allah SWT, kerana hanya Dia sahaja mampu menyelamatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya.


MENGELAK FITNAH DAJJAL

Marilah kita berusaha dari sekarang untuk mempersiapkan diri dari fitnah Dajjal. Berikut merupakan antara langkah yang boleh diambil untuk menghidari fitnah Dajjal, menurut Hadis Rasulullah SAW.

1. Baca, faham dan amal pangkal surah Al-Kahfi

                                                                       

Daripada Abu al-Darda sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda,
"Barangsiapa yang menghafaz sepuluh ayat daripada awal surah Al-Kahfi, pasti terlindung daripada dajjal."
(HR Muslim 809)

                                                                       

Ada kekhilafan bahawa sepuluh ayat Al-Kahfi yang dimaksudkan, sama ada sepuluh ayat pertama ataupun sepuluh ayat terakhir, ataupun kedua-duanya. Maka untuk langkah selamat, pilihlah sepuluh ayat pertama DAN sepuluh ayat terakhir.

Lebih baik, sekiranya dipilih keseluruhan surah Al-Kahfi itu sendiri. Seperti dalam hadis Rasulullah SAW yang berikut :

                                                                       

Daripada Ali, yang meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w baginda bersabda,
"Barangsiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya dirinya terpelihara hingga lapan hari, daripada segala fitnah yang melanda, dan jika keluar dajjal sekalipun, dia akan terpelihara daripadanya."
(Al-Dhurr al-Manthur oleh al-Suyuti 5:355)

                                                                      

Bagi mendapatkan surah Al-Kahfi ini, rujuklah kitab suci Al-Quran secara offline atau anda boleh rujuk 10 ayat tersebut di sini.


2. Amalkan doa menghindari fitnah Dajjal

Jika anda tidaklah mahir membaca Al-Quran, atau tak reti membaca huruf arab sekalipun, janganlah putus harapan. Telah disediakan doa ringkas sebagai salah satu usaha untuk menghindari fitnah Dajjal.


Kalau tak dapat menghafalnya, berdoalah dalam doa selepas solat dalam Bahasa Melayu.

Pernah saya terbaca bahawa doa ini amat penting, sehinggakan pernah dalam satu zaman kegemilangan Islam, membaca doa ini selepas tahiyyat akhir sebelum salam, dijadikan antara syarat sah solat. Ada yang sanggup mengulangi solatnya andai tertinggal doa ini.

Namun, diingatkan bahawa hukum sebenar membaca doa ini selepas tahiyyat akhir TIDAK WAJIB, namun penting sebagai persediaan menghadapi Dajjal.

3. Tinggal di Makkah atau Madinah

Ada juga pendapat yang menyarankan agar kita tinggal di Makkah atau Madinah ini kerana Dajjal tidak dapat memasuki dua tanah haram ini.

                                                                         
Dari Abu Bakrah r.a., dari Nabi saw. sabdanya:
"Tidak akan dapat masuk ke Madinah, Al Masih Ad Dajjal yang ditakuti. Madinah ketika itu mempunyai tujuh buah pintu. Pada tiap-tiap pintu terdapat dua orang malaikat."
(Hadis Sahih Bukhari No. 0919 Jilid 2)

                                                                         
Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda:
"Di jalan-jalan masuk ke Madinah ada malaikat. Kerana itu tidak dapat masuk ke dalamnya penyakit, taun(penyakit menular) dan tidak pula Dajjal."
(Hadis Sahih Bukhari No. 0920 Jilid 2)
                                                                         

Namun, diingatkan bahawa orang kafir dan musyrikin tidak dapat berpijak di bumi haram ini. Malah, mereka ini bersama para munafik akan dikeluarkan dari kota suci Makkah dan Madinah apabila digoncangkan pada saat munculnya Dajjal.
                                                                          
Dari Anas bin Malik r.a., dari Nabi saw., sabdanya:
"Semua negeri akan dipijak oleh Dajjal, melainkan Mekah dan Madinah. Di mana setiap jalan masuk ke dalam kedua kota itu dijaga oleh malaikat dengan berbaris. Kemudian Madinah goncang tiga kali goncangan, maka ketika itu Allah swt. mengeluarkan semua orang kafir dan orang munafik."
(Hadis Sahih Bukhari No. 0921 Jilid 2)
                                                                       

Kesimpulannya, biarlah di mana diri anda, anda kerja apa, anda sedang buat apa, ingatlah Allah selalu. Insya-Allah, Allah akan pelihara diri anda sebagaimana anda memelihara hubungan dengan-Nya.

Wallahua'lam bissawab. :)

RUJUKAN :

1. Hadis Sahih Bukhari Jilid 2 Topik adalah Madinah, BankIslam.net (http://www.bankislam.net/Hadis_Sahih_Bukhari/Madinah/)


2. Doa Pelindung dari fitnah Dajjal, blog Media Deepsea Berita Semasa dan Lama, Mei 2011 (http://nelayan-lautdalam.blogspot.com/2011/05/doa-pelindung-dari-fitnah-dajjal.html)


3. Surah Al-Kahf, blog Mata Hati, April 2010 (http://yanty82.blogspot.com/2010/04/ayat-perlindungan-dari-fitnah-dajjal.html)


4. Kedatangan Dajjal ( Al-Masih ), blog Masa-Masa Kedatangan Dajjal, 1 September 2011 (http://rayhanmogerz.blogspot.com/2010/12/kedatangan-dajjal-al-masih.html)


5. Jauhi Fitnah Dajjal, Pondok Pasir Tumboh Al-madrasah Al-diniyyah Al-bakriyyah, 11 Jun 2010 (http://www.al-bakriah.com.my/index.php?option=com_content&view=article&id=311:jauhi-fitnah-dajjal&catid=14:artikel-pilihan&Itemid=37)


6. Mengembalikan Kefahaman Mengenai Dajjal Kepada AlQuran dan Sunnah, Leokid!, 25 Ogos 2010 (http://me.leokid.my/dajjal/)


7. Mencari Solusi Iman Di Era Badai Fitnah Melakar Wajah Dajjal, Tarbawi, 6 September 2011 (http://www.tarbawi.my/index.php/inspirasi/minda-pejuang/139-mencari-solusi-di-era-badai-fitnah-melakar-wajah-dajjal)


8. Dajjal Menurut Hadis SAW, tayibah.com (http://tayibah.com/eIslam/dajjal3.htm)


9. Doa Jauhi Fitnah Dajjal, posted by Ibnu Hamzah at PEMBUKTIAN TANDA-TANDA KIAMAT Facebook group, 2 Mei 2010 (https://www.facebook.com/topic.php?uid=115948865097606&topic=97)