Sabtu, 14 September 2013

Kifarah Dosaku

Aku di mana? Waktu apa sekarang ni? Apa yang terjadi?

Dalam samar-samar, aku celikkan mata aku sedikit demi sedikit. Aku sedang bersandar di bawah sebatang pohon di tepi jalan. Mentari tidak terik. Daun-daun pokok yang aku bersandar ini banyak juga yang luruh, lantas menjadi alas tempat aku duduk.

Di hadapan aku ada beberapa orang berbaju hijau dengan logo dan tulisan ‘Daya Bersih’. Maka aku tahu mereka ini pekerja UIA. Di belakang mereka ada sebuah kenderaan, yang aku agak kenderaan mereka.

Aku tak ingat apa yang dilakukan mereka. Tetapi aku terdengar salah seorang mereka membuat panggilan kecemasan dan memberitahu lokasi kami berada.

Kemudian aku ternampak dua rakan aku yang aku kenali, datang dan memberikan aku sedikit bantuan. Aku tidak pasti sama ada mereka baru tiba atau sudah lama berada di situ.

Tidak lama kemudian, ambulans sampai. Ketika itu aku sudah sedar sepenuhnya, namun banyak persoalan masih bermain di minda aku. Aku cuba mengingati kembali kejadian sebelum itu.

Selepas kelas tadi, aku menghadiri mesyuarat bersama batch lama aku. Kemudian, kami singgah di sebuah kafe di dalam kampus untuk makan tengah hari.

Kemudian, kami bergerak untuk pulang ke asrama. Fitri gerak dahulu dengan motosikalnya. Aku pula gerak sekali bersama dengan Hariz yang membonceng Hafiz. Aku pula menunggang bersendirian motosikal yang dipinjamkan daripada Akram.

Keluar kampus, kami tiba di persimpangan kampus. Lampu isyarat merah. Aku tiba dulu di persimpangan itu, jadi aku berhenti dan turunkan gear. Hariz pula datang apabila lampu isyarat telah bertukar hijau. Jadi, dia hanya terus bergerak tanpa berhenti di persimpangan itu.

Aku juga mula bergerak dan berada di belakang Hariz. Dan kemudian... Kemudian...

Ah, apa yang berlaku selepas itu? Kenapa aku tak ingat?

Ketika aku dalam proses penyembuhan, aku cuba untuk mengingati kembali saat-saat sebelum terjadinya kemalangan ini. Dan aku mendapat dua gambaran yang berkemungkinan menjadi punca kemalangan ini. 

Pertama, ketika menunggang motosikal, aku cuba betulkan cermin sisi motor dan aku tak perasan selekoh di hadapan. Lantas melanggar pembahagi jalan.

Kedua, aku telah memotong sebuah kereta dan berada di hadapan kereta tersebut. Berkemungkinan selepas itu, kereta tersebut terlanggar aku dan menyebabkan motor aku terbabas.
Sehingga sekarang, keraguan aku masih dalam dan aku masih tidak tahu persitiwa sebenar yang terjadi. 

Disebabkan aku ‘kehilangan ingatan’ tentang peristiwa yang berlaku, aku telah ditahan hampir 24 jam untuk pengawasan daripada doktor. Alhamdulillah, aku telah dibenarkan keluar hospital dan menjalankan proses penyembuhan bersendirian.

Namun, aku teringat. Sebelum aku sedar di bawah pohon di tepi jalan, aku seakan-akan berada di alam lain. Aku sendiri keliru ketika itu. Namun ketika itu, aku merasakan ada kedatangan beberapa orang makhluk yang datang membantu aku.

Sedang mereka membantu aku, salah seorang daripada mereka berkata, “INI KIFARAH DOSA!”

Kemudian, aku tersedar.