Ahad, 5 September 2010

Qaluna Salama

“Kamu tak payah nak bohong kat saya. Saya dah hampir 15 tahun jaga sini. Takkan itu pun kamu boleh sesat? Dah ada tulis besar-besar dah. Anak saya yang darjah satu pun pandai nak pergi. Kamu yang masuk dengan SPM pun boleh sesat ke?”

Agak-agaknya ayat di atas ni dilaungkan oleh siapa? Kepada siapa pula kata-kata ini dihamburkan? Kenapa pula manusia ini mengeluarkan kata-kata sebegini?
Agak-agaknya mana satu pilihan jawapan kamu? :


A. Saya bukannya anak pakcik yang “pandai” tu. Dah tu kalau anak pakcik tu pandai sangat, lagi terer dari budak yang ambik SPM, suruhlah masuk U terus. Buat apa susah-susah nak hantar dia pergi sekolah? Tak pun suruhlah dia kerja terus. Tak payah pakcik susah-susah kerja.


B. Pakcik, saya manusia biasa sahaja. Bukanlah pandai mana pun. Masuk sini pun rezeki. Saya pun tersilap kadang-kadang. Allah jua Maha Bijaksana.


C. ... ... ... (diam)
----------------------------BACA SELANJUTNYA

Apa-apa pun, ini adalah kisah benar yang terjadi pada saya. Saya kongsikan sedikit. Selepas berbuka puasa di KL Sentral bersama kawan-kawan saya, saya telah bersetuju untuk menemani salah seorang rakan saya membeli tiket bas di Bukit Jalil.


Sejurus lepas solat Maghrib, kami terus bertolak ke Masjid Jamek dengan LRT Putra. Kemudian naik pula LRT Star ke Bukit Jalil. Di sinilah episod ini bermula. Mula-mula tercari tempat beli tiket. Disebabkan Masjid Jamek tu baru lepas upgraded dan dah tak selalu datang situ, jadi pening sekejap.


Kemudian, waktu mahu menaiki tren, aku terbaca kat depan LRT tulis “Ampang”. Memandangkan aku tak pernah ke Bukit Jalil, aku tak tahu sangat. Jadi, aku dan rakanku pun naiklah. Aku sangkakan kami tak menghala ke laluan bercabang (perlu tukar tren di platform). Apabila telah melepasi Chan Sow Lin (platform pertukaran), lebih kurang kat Maluri baru sedar dah silap tren.


Turunlah kami di stesen Pandan Jaya. Dipendekkan cerita, di stesen Chan Sow Lin, sekali lagi kami tersilap tren. Turun pula kali ni di Pandan Indah (lagi jauh dari Pandan Jaya). Sekali lagi patah balik ke Chan Sow Lin. Kali ini kami lebih berhati-hati.


Dipendekkan lagi cerita, selepas sesat sekejap kat Bukit Jalil, akhirnya tiket bas berjaya dibeli. Dan kami pulang dengan lelah dan kaki yang lenguh. Di stesen LRT Universiti, aku berpisah dengan kawan aku kerana dia ke UM, lebih kurang pukul 11 malam. Kerana duit seakan tidak mencukupi, aku tunggulah bas.


Selepas 30 minit bas tak datang juga, saya ke mesin ATM, keluar sikit duit yang memang tinggal sikit dan ambil teksi. Dengan penuh niat baik dan sangkaan baik, saya minta teksi berhenti di depan pintu pagar utama.


Kemudian dipanggil jaga apabila aku sedang berjalan masuk. Ditanyakan kenapa lambat. Jawabku dengan penuh jujur, “tadi pergi beli tiket kat Bukit Jalil. Tadi saya silap tren LRT, itulah sebab agak lambat. Lagipun saya baru first time pergi.”


Kemudian, kata-kata kat atas sekali tu pun diluahkan kepada aku. Dikatakan ALASAN seperti itu tak dapat diterima. Perlukah aku kemukan alasan yang tipu asalkan diterima? Diminta pula tiket bas, aku katakan pada kawan aku kat UM. Bertambah-tambahlah sangkaan buruknya pada aku.


Ok, tak nak panjangkan lagi. Tentu persoalan-persoalan di atas tu dah terjawab. Tetapi tujuan cerita ini dikongsi bukan sekadar luahan perasaan tak puas hati. Tetapi hikmah dan pengajaran di sebalik kisah tersebut.


Perkara pertama, sangkaan baik. Berdasarkan peristiwa tadi, dah nampak dengan jelas bahawa jaga tu bersangka buruk. Mungkin pengalamannya menyemai sikap tersebut. Tetapi patutnya biarlah selari dengan logik akal fikirannya. Kalau manusia-manusia lain yang tidak jujur, pastinya mereka cuma pergi lompat pagar. Mereka tidak akan berani untuk masuk ikut pintu pagar utama. Yang lebih baik, mereka tak perlu balik malam ni, tidurlah kat mana-mana kaki lima. Lagipun ke mana boleh pergi malam-malam macam ni. Bukan ada apa sangat, lagipun pakai pengangkutan awam, bukannya ada kenderaan sendiri.


Saya sudah sehabis baik menyangkakan jaga itu menerima ‘alasan’ yang amat jujur itu. Malangnya lain pula yang terjadi. Apa yang saya lihat masyarakat zaman sekarang ini amat-amat cenderung untuk bersangka buruk. Begitu mudah tanggapan negatif menyerang fikiran.
Bagi saya itulah salah satu punca banyaknya kes manusia membunuh manusia, pada luaran atau dalaman. Dari sangkaan buruk itulah timbulnya perasaan dendam dan benci. Padahal itulah sikap-sikap mazmumah yang perlu disingkirkan dari diri seorang Muslim.


Teringat satu kisah, di mana seorang ‘alim telah berjalan di sebuah pasar. Ternampaknya seorang fakir miskin di tepi jalan dengan pakaian compang-camping. Terus datang sangkaan buruk dalam hatinya bahawa pastinya si fakir ini pemalas, kerjanya cuma meminta-minta pada orang lain. Tiba-tiba, si fakir itu merenung tajam padanya, seakan tahu isi hati si alim ini. Terus si alim ini pulang dan meminta keampunan dari Tuhan.


Manusia ini asalnya tanah. Jika mahu melembutkan tanah, pastinya dengan air yang lembut itu. ‘Air’ yang boleh dikeluarkan oleh manusia hanyalah dari hati, lidah dan perbuatannya. Maka sekiranya cuba dilembutkan dengan batu, adakah tanah itu akan menjadi lembut? Malah mungkin ada bekas lekukan yang susah dibetulkan semula.


Perkara kedua, berkata-kata baik walaupun dengan orang kafir dan jahil sekalipun. Dalam surah Al-Furqan, ayat 63:
Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan.
Perkataan “kata-kata (yang mengandung) keselamatan” bermaksud mengucapkan kata-kata yang baik. Juga dalam surah Al-Baqarah ayat 83,

Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil janji dari Bani Israil (yaitu): Janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat kebaikanlah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia, dirikanlah shalat dan tunaikanlah zakat. Kemudian kamu tidak memenuhi janji itu, kecuali sebahagian kecil daripada kamu, dan kamu selalu berpaling.
Ini membuktikan bahawa Allah menyuruh kita berkata-kata yang baik kepada semua manusia, sama ada orang alim, ibu bapa, fakir miskin, anak yatim mahupun si pembohong, orang jahil, orang munafik dan bangsa Israel sekalipun.


Kenapa Allah menyuruh kita berbuat sebegitu? Di sinilah Allah mahu tunjukkan keindahan agamanya. Pasti anda pernah dengar bahawa apabila ketika perang suatu ketika dahulu, askar Kuffar akan menyiksa tawanan perang dengan kejam sekali. Berbeza dengan tentera Islam, diberikan layanan sehabis baik sekalipun tawanan perang itu seorang yang mendustakan kalimah Allah. Dari situ ramai tawanan ini memeluk Islam. Lebih-lebih lagi, ada yang berhasrat menjadi tawanan tentera Islam kerana berasa lebih selamat sekiranya menjadi begitu.

Maka, kata-kata yang baik itu juga sebahagian daripada usaha untuk menampakkan hidayah kepada yang belum jumpa. Itu juga cara terbaik untuk mentarbiyah anak-anak mahupun pesalah. Tunjukkan keindahan Islam itu. Barulah orang bukan Islam akan tertarik pada agama yang benar ini.


Sekiranya tidak dapat berkata-kata yang baik, lebih baik sekadar mendiamkan diri. Ini berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W :
Dari Abu Hurairah radhiyallahu anhu, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda : “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam, barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetangga dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya”.
[Bukhari no. 6018, Muslim no. 47]
Sesungguhnya memang zaman sekarang masyarakat kita semakin jauh dengan budaya Islam. Lebih buruk lagi, ada yang menganggap budaya Islam itu budaya Arab, untuk orang Arab dan bukan untuk orang Melayu, Cina, Jawa dan lain-lain. Sedangkan budaya Melayu tidak diamalkan sangat, diadaptasi pula budaya Barat. Justeru, kembalilah kepada kebudayaan Islam yang sebenar.


Sangkaan baik dan berkata-kata baik itu sebenarnya budaya Islam yang sangat-sangat mudah untuk diamalkan, dan sebahagian dari Islam. Bagi saya perkara sebegini adalah perkara asas seorang Muslim, tetapi tidak diajar sedari kecil lagi. Itulah sebabnya budaya Islam sudah jauh dari diri masyarakat sekarang. Ada yang menganggap sudah tahu rukum Islam, rukun Iman, solat, puasa dsb sudah cukup, padahal sifat-sifat Islamik itu perlu disemai. Ada yang kata, cukuplah tahu yang asas, tak payah belajar dalam-dalam sangat agama ni, nanti pening.


Ustaz saya pernah berkata, targetlah syurga tertinggi yakni syurga Firdaus. Jangan target syurga yang paling bawah, nanti senang-senang boleh jatuh ke neraka. Pada pendapat saya, syurga paling bawah adalah hanya untuk golongan yang hanya mahu lakukan yang asas (kononnya). Maka Islam itu perlu didalami untuk mencapai syurga yang lebih tinggi.

Bagi saya, sifat-sifat dan budaya Islamik yang tidak disemai inilah yang menyebabkan wujudnya kes ustaz mencabul anak murid, ahli jabatan agama ditangkap khalwat dan sebagainya. Kerana yang penuh dalam dada hanyalah ilmu, tidak seiring dengan sikap dan sifat mahmudah.

Begitu juga sebabnya kenapa kebanyakan penagih dadah telah berpatah balik ke jalan yang sesat, kenapa penjenayah mengulangi jenayahnya. Kerana tanggapan buruk masyarakat kepada bekas-bekas pesalah ini. Sedang mereka amat-amat perlukan sokongan dan bantuan. Mereka berkemungkinan besar tidak akan kembali ke jalan sesat apabila kita bersangka dan berbuat baik terhadapnya.


Justeru, marilah kita sama-sama mengamalkan bersangka baik, kerana kalau diperhatikan, dari sangkaan baik inilah baru wujudnya kata-kata yang baik dan perbuatan yang baik. Mulakan sikit-sikit. Jika ada yang buruk jua menimpa kita, bersangkalah bahawa orang itu jahil (tidak tahu apa-apa) atau anggaplah Allah sedang menguji iman kita. Andai terbukti bahawa si penipu itu menipu, barulah menghukum dirinya. Namun pastikan berhikmah. Kalau tidak dapat dihukum, anggaplah kita telah mengamalkan suruhan Allah iaitu bersangka baik. Moga-moga budaya Islamik itu dapat diwujudkan dalam masyarakat kita.
Jimie1402 : Bersangka baik lepas kena marah...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan