Assalamualaikum wbt.
Kali ini saya bawakan tentang isu yang agak hangat ketika ini. Festival Fesyen Islam atau singkatannya IFF. Bukanlah mahu memberi komen terhadap festival itu, mahupun menyatakan bantahan terhadap IFF ini. Namun, tidak pula menyokong. Saya tahu sudah banyak nukilan di blog-blog, media cetak mahupun elektronik. Ingin saya nyatakan terlebih dahulu bahawa saya berada di pihak yang neutral.
Jadi, apa yang saya mahu nukilkan kali ini? Saya cuma mahu menyatakan kepelikan saya terhadap isu ini. Sebelum itu, baik saya beritahu mengapa perkara ini menjadi isu. Pastinya kerana IFF itu dikatakan menghina Islam kerana memperagakan pakaian yang dikatakan 'Islam' tetapi pada hakikatnya tidak menepati kriteria pakaian dalam Islam iaitu menutup aurat. Tambah-tambah lagi kehadiran isteri Perdana Menteri Malaysia ke-6, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor.
Bagi saya, isu ini saya rasa sengaja dihangatkan. Pada saya, perkara ini patut jadi isu lama dah. Kerana apa? Kerana semua sudah sedia maklum bahawa isu aurat seperti ini telah lama timbul, saya agak sudah menjangkau berpuluh abad. Ramai je kalau kita menjenguk ke luar, pakai baju adik, tak bertudung, nampak lurah dsb. (Astaghfirullah!). Apabila tengok kat IC, terdapat perkataan 'Islam'.
Itu belum lagi dikira yang pakai tudung, tapi baju melekat kat kulit. Bagaimana pula dengan berpakaian elok, tetapi bertudung bonggol unta? yang menampakkan bahagian depan yakni dada? Lihatlah pula si anu yang menampakkan pusatnya (Ingat ye, aurat bukan hanya pada wanita). Juga si pemain bola sepak hensem yang memakai stokin panjang tetapi nampak juga lututnya. Mengapa pula tiada bahang isu seperti ini? Mungkin ada lah sedikit percikan api, tapi tak mampu menghasilkan abu pun. Saya pasti kebanyakan kita tahu apa maksud sebenar aurat itu, bagi lelaki mahupun wanita.
Jadi saya agak tidak berkenan dengan mereka yang menimbulkan isu IFF ini. Bukan bermaksud untuk menyokong IFF, tetapi seolah-olah menampakkan bahawa terdapat niat lain di sebalik bantahan tersebut (ikhlas ke?). Padahal masyarakat bawahan ini (macam saya) pun tidak sempurna lagi pun dalam penutupan aurat. Ingin saya ingatkan bahawa pastinya sebahagian besar pemimpin datangnya dari masyarakat bawahan juga. Mereka pernah menjadi rakyat biasa. Jadi andai sejak mereka berada di kelas bawahan pun tidak dididik dengan ilmu agama yang sempurna, adakah anda agak mereka dapat menjalankan suruhan dan larangan agama dengan sempurna apabila mereka menjadi pemimpin?
Ingin saya ingatkan sekali lagi, saya berada di pihak yang neutral. Saya mahu kita mencari solusi, bukannya menuding jari. Bukan mahu cari siapa salah, siapa benar, kerana menang jadi abu, kalah jadi arang. Andai kita teruskan untuk berbuat demikian, maka impian untuk umat Islam bersatu padu mungkin sekadar angan kosong.
Sekarang, Adakah masalah ini akan selesai andai bantahan penganjuran IFF dilakukan besar-besaran? Adakah semua umat Islam akan menutup aurat mereka andai Rosmah Mansur mahupun sesiapa yang terlibat memnita maaf? Pastinya kita mahukan solusi yang amat berkesan bagi mengatasi isu ini. Pada hemat saya, bagi mengelak isu yang sama timbul pada masa akan datang (ingat ye, kita tak boleh delete perkara yang dah lepas), saya cadangkan agar kita memantapkan lagi ilmu agama semua golongan, tidak kira anak raja (yang bernama Raja sekali) mahupun penoreh getah. Kerana sesiapa sahaja boleh jadi pemimpin suatu hari nanti.
Bagi pemimpin yang sedang memimpin rakyat pada masa kini, pastinya mereka perlukan panduan untuk memantapkan lagi iman mereka. Andai teguran tidak berkesan, gunakanlah cara lain seperti menghantar surat atau emel tentang ajaran sebenar Islam atau mungkin juga boleh sesiapa yang tinggi ilmu agama meminta kerja bersama pemimpin seperti jadi driver ke, pembantu rumah ke, tukang kebun ke, kemudian bolehlah berdakwah sedikit demi sedikit sepanjang bersama dengan pemimpin tersebut. (Gaji, duit dan harta bukan segalanya bagi yang ikhlas menyebarkan Islam).
Atau kalau tak mampu (yelah, pemimpin tu dah ada berpuluh pembantu rumah) bolehlah doakan agar pemimpin tersebut mendapat petunjuk sebenar (Bukan doa semoga dia mati cepat ye!). Bukankah antara quote yang popular;
"senjata umat Islam adalah doa".
Ketahuilah dakwah terbaik adalah dengan cara berhikmah. Bukan dengan melemparkan kata cacian dan makian. Dan ketahuilah hidayah itu hak milik mutlak Allah SWT, bukan mufti, bukan pegawai agama, bukan juga ustaz. Lantas, kepada Allah juga kita memohon.
Justeru, marilah kita sama-sama meningkatkan keimanan kita. Tegurlah sesama muslim secara baik andai terdapat kesalahan yang dilakukan. Insya-Allah, suatu hari nanti impian melangit untuk melihat wujudnya negara Islam yang benar-benar tulen akan terlaksana dengan izin Allah.
Jimie1402 : T-shirt Muslimah tu menutup aurat ke?