Jumaat, 25 Mac 2011

Pendidikan Fantasi & Realiti

Keputusan SPM 2010 telah pun diumumkan. Seperti biasa, pastinya wujudnya wajah-wajah ceria. Juga pasti ada sesuatu yang luar biasa. Kalau tak, macam mana akhbar-akhbar nak menarik pembacanya dengan berita yang tidak luar biasa.

Tetapi bagi aku (mungkin juga beberapa orang lain juga) sekadar menyelak surat khabar dengan membaca tajuk sahaja. Ya, berita-berita tentang SPM ini tentu sahaja bagi aku biasa. Ya, dah jadi biasa apabila setiap kali sahaja pasti ada yang luar biasa. Luar biasa yang banyak akan menjadi biasa.

Saya pun dah boleh agak tajuk yang akan keluar untuk akhbar pada hari keluarnya keputusan SPM 2011, 2012, 2013 dan seterusnya. Pastinya akan tertulis, “Keputusan SPM tahun ini paling terbaik” atau “Keputusan SPM tahun ini menunjukkan peningkatan”. Kemudian pelajar-pelajar tahun ini pastinya bangga memandangkan mereka lebih baik dari pelajar tahun lepas (kononnya).

Sistem berubah, tetapi saya agak yakin berita-berita begitu akan berulang saban tahun. Maaflah, bunyi agak tipikal, agak sinis tetapi inilah yang saya fikirkan. Betulkah sistem pendidikan kita bertambah baik? Adakah benar pelajar-pelajar kita semakin pandai?

Maaf, bukan apa, saya agak marah apabila ada seorang muslim ini yang menganggotai persatuan yang ada perkataan ISLAM pada namanya menyindir pelajar Islam. Bagaimana yang dikatakan beliau menyindir itu?

Di laman facebook, beliau berkongsi link ini : Berita Harian Online | Pelajar Cina dapat A+ dalam Tasawwur Islam

Dan menulis komen : Pelajar Islam?

Kamu nampakkah maksudnya? Seakan tidak ada langsung pelajar Islam yang cemerlang gemilang terbilang dalam subjek Islamik.

Keputusan PMR 2010 lagilah saya pelik. Berita tentang pelajar Cina (bukan muslim ya) mendapat Anugerah Tokoh Maal Hijrah semata-mata kerana mendapat A untuk subjek Bahasa Arab. Bukan sengaja mahu mempertikaikan, tetapi beberapa perkara perlu diteliti.

Pertama, tentang wujudnya golongan yang akan menyindir kononnya pelajar ISLAM itu lemah, terutamanya dalam subjek berkaitan agama. Mungkin dia cuba untuk menaikkan semangat pelajar Islam agar lebih berusaha, tetapi bagi saya bukan itu caranya. Kamu tahu apabila berdepan musuh, pastinya semangat menjadi lemah andai wujudnya sindiran sebegitu.

Kedua, sikap pelik sesetengah golongan yang melihat dan menyanjung orang bukan Islam yang berjaya dengan cemerlangnya dalam kertas peperiksaan berteraskan agama Islam. Sedangkan sudah ramai pelajar Islam yang berjaya sedemikian, tidak dipandang langsung walau sebelah mata. Lagipun, pelajar itu tidak langsung menganut agama Islam selepas ‘kejaayan’ cemerlangnya itu. Kamu tahukan, kalau pelajar Islam itu mendapat A++++ sekalipun untuk subjek Bahasa Cina atau Bible Knowledge, tidak ada tokoh agama mereka akan memberikan penghargaan. Mengapa pula kita begitu?

Ketiga, ke'gedik'an (maaf, itu sahaja istilah yang terlintas di fikiran saya) media-media untuk mengeluarkan berita-berita sensasi. Saya tahu itu yang diperlukan kamu. Kalau tak, mana nak dapat duit kan? Tetapi janganlah terlalu ‘over’ kerana kamu tahu apa yang kamu tulis, itulah yang akan diperkatakan orang. Maka, bagaimana pelajar-pelajar yang kurang berjaya? Pastinya mereka tersinggung. Janganlah nanti andai langit yang runtuh, tajuk berita : “Langit Hari Ini Cerah!”.

Persoalan keempat, berkaitan dengan mukadimah post saya hari ini iaitu sistem pendidikan yang, benarkah meningkat dengan jayanya? Benarkah pelajar-pelajar yang mendapat straight A+ dan disanjung itu benar-benar cerdik? Itulah sistem pendidikan kita sekarang. Ukuran kecerdikan seseorang itu hanya pada kertas peperiksaan. Kamu rasa dia akan 100% berjaya dunia akhirat dengan mendapat straight A+? dengan pointer 4.000? Kamu ingat dia boleh hidup nanti?

Kamu sendiri tahu, yang belajar itu sekadar apa yang ada dalam buku. Tengoklah nanti bahawa berapa ramai sangat engineer-engineer yang cemerlang yang tahu masak (terutamanya engineer wanita. Ala, beli kat warung je). Berapa ramai doktor-doktor yang akan tahu membasuh pinggan. (Eh, lupa pulak, doktor tentu kaya, ambik orang gaji sahaja). Berapa ramai arkitek yang tahu memcuci darah di pakaian. Berapa ramai graduan-graduan cemerlang universiti, kolej dan lain-lain institut pendidikan mampu hidup andai hanyut di pulau tak berpenghuni.

Kamu dapat apa yang saya maksudkan? Ya, mereka tidak belajar untuk hidup! Mereka tidak belajar tentang kehidupan! Saya sendiri tak pasti apa yang diinginkan sistem pendidikan. Kamu tahu kebanyak pelajar mengejar kecemerlangan kerana itu yang akan diperkatakan orang. Itu yang akan menjadi buruan media massa. Tetapi kamu tahu tak, kebanyakan mereka tidak tahu tujuan hidup! Maka sesetengah mereka yang mengalami tekanan dengan mudahnya mengambil jalan mudah, MATI! Kerana apa, kerana tiada tujuan hidup, maka mereka fikir mengapa mereka perlu hidup?

Yang saya mahukan, sistem pendidikan kita berubah. Tidak menilai pelajar dengan sekadar di atas kertaas peperiksaan. Saya mahu sistem pendidikan memandu pelajar ke arah tujuan hidup yang sebenar.

Saya juga mahukan sistem pendidikan yang lebih telus dan jujur. Kalau wujud penurunan, katakan sajalah pada umum. Saya yakin kita mampu menerimanya dan cuba untuk berubah. Tolonglah, jangan biar masyarakat umum hidup dalam fantasi. Saya tahu kalau berbuat demikian, maka para pengkritik akan mengambil kesempatan. Kamu tahu kenapa wujudnya pengkritik-pengkritik yang bertauliah mahupun tidak? Saya rasa kerana sistem pendidikan sekarang yang mengajar mereka menjadi sedemikian. Kerana sistem pendidikan kita tidak mengajar untuk menerima hakikat kelemahan yang kita miliki dan sistem pendidikan kita tidak mengajar untuk berusaha membaiki kelemahan.

Saya tahu siapalah saya, menulis di blog yang sekadar ada 50 lebih follower sahaja. Itu tidak termasuk kawan-kawan yang sengaja follow, tetapi tak baca pun. Tetapi saya harap suara saya ini dapat didengari. Saya pasti ada spesis orang yang sependapat dengan saya. Kalau boleh, kongsilah luahan saya ini dengan pihak yang berkaitan. Terima kasih atas keprihatinan anda.

Sekian, wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan