Sabtu, 21 Mei 2011

Langkah Tercipta

Bismillah Arrahman Arrahim.

Dalam satu program dianjurkan selama seminggu, para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti. Program ini adalah untuk pelajar-pelajar yang baru memasuki alam pengajian tinggi. Dalam salah satu slot, Madam M (bukan nama sebenar) telah diminta untuk mengendalikan sesi tersebut. Madam M merupakan salah seorang tenaga pengajar di sebuah institut pengajian tinggi di Malaysia yang telah wujud lebih 2 dekad.

Pelbagai karenah dan ragam para pelajar ditonjolkan pada sesi tersebut. Madam M hanya tersenyum melayan keletah mereka. Juga pelbagai persoalan yang dilontarkan. Bagus, para peserta ini mempunyai semangat ingin tahu yang amat tinggi!

Hinggalah salah seorang peserta mengemukakan satu soalan kepada Madam M.

“Madam, saya sekarang belajar dalam bidang kejuruteraan. Tetapi, saya nak masuk bidang perubatan. Bagaimana ya?”

Sebaik soalan itu ditanya, Madam M terus dihujani pelbagai lagi soalan yang berkaitan seperti soalan di atas.


“Madam, orang kata jurusan ni tempohya lama. Saya pun nak tukarlah.”

“Madam, saya dapat tahu yang peluang pekerjaan untuk jurusan saya ni tak banyak dah sekarang.”

“Madam, dari pembacaan saya, saya dapat tahu yang pekerjaan yang ditawarkan selepas graduate dalam jurusan ni, gajinya ciput je. Tak naklah.”

Macam-macam lagilah yang ditanya. Madam M pula tidak terus menjawab, malah terus tersenyum. Maka, makin lebatlah soalan-soalan yang menghujani Madam.

Hinggalah diberi ruang, Madam M mula bersuara.

“Anak-anakku, apa yang kamu risau sebenarnya? Kamu takut nanti kamu tak dapat kerja, menganggur? Kamu takut nanti dapat pekerjaan yang gajinya sedikit? Kamu takut nanti pekerjaan tidak setimpal dengan ilmu yang telah kamu pelajari?”


Suasana senyap. Masing-masing tidak menjawab soalan Madam. Mungkin jawab dalam hati agaknya. Namun, yang pasti mereka menantikan butir-butir perkataan yang akan muncul dari mulut Madam lagi.

“Anak-anakku, janganlah kamu risaukan sangat masa depan kamu itu. Kamu sepatutnya tahu, 3 perkara yang dipegang oleh Allah SWT. Pertama, jodoh. Kedua, hidup mati. Dan ketiga, rezeki. Saya tahu kamu sekarang risau tentang perkara ketiga tu. Janganlah risau sangat, kerana pemberi rezeki itu Allah. Itu semua urusannya.

“Kamu hanya boleh berusaha untuk mendapatkannya, tetapi akhirnya Allah sahaja yang menentukan pada siapa yang akan diberikan rezeki. Kalau orang itu belajar tinggi-tinggi sampai dapat anugerah Dekan sekalipun, kalau Allah tak mahu dia mendapat rezeki pekerjaan tertentu, maka dia tidak akan dapat,” sambung Madam lagi.

“Jadi sekarang ni, kamu belajarlah dahulu, tuntut ilmu dengan ikhlas. Niatkan menuntut ilmu itu kerana Allah, bukan kerana nak kerja besar-besar, nak gaji besar atau nak kerja yang mudah sahaja. Baru dapat keberkatan ilmu dari Allah. Insya-Allah akan dipermudahkan memperoleh rezeki. Ingat ya, ilmu itu milik Allah sepenuhnya. Kamu cuma diberi hidayah petunjuk oleh Yang Maha Mengetahui.”

Suasana riuh-rendah sebentar tadi lenyap sama sekali. Semua menumpukan sepenuhnya pada Madam M. Tiada lagi soalan-soalan yang dilontarkan. Tiada lagi ragu dan sangsi dari para peserta.

“Ok, memandangkan masa sudah hampir tamat, kita buat aktiviti yang sepatutnya dibuat dalam slot ini.”

Selepas habis slot itu, para peserta pulang ke tempat penginapan. Namun jalan pulang mereka dilalui dengan hati penuh bercahaya. Perasaan mereka menjadi tenang. Mereka telah mendapat inspirasi dari Madam M! Mereka bertekad untuk membetulkan niat menuntut ilmu mereka. Insya-Allah, berjaya!

Rujuk juga :

1. Koleksi Hadis Nabi – Tujuan Menuntut Ilmu

Rabu, 11 Mei 2011

Best ke Menipu?

Saat itu, hanya kegelapan yang menyelubungi. Cahaya matahari yang menyinar di siang hari juga tidak mampu menerangi kesuraman yang menyelimuti diri. Tentera musuh semakin hari semakin mengganas. Satu persatu daerah jatuh ke tangan pemimpin zalim. Keamanan yang dikecapi dahulu sudah ditelan percikan peluru dan senjata.



Namun, satu perkhabaran kedengaran. Pemimpin yang disangkakan zalim itu masih ada sifat belas kasihan. Mereka telah menyediakan sebuah kapal besar di pelabuhan. Kapal itu khas buat penduduk yang mahu lari dari cengkaman penjajah ini. Mereka akan dilayarkan ke tempat yang selamat.



Persiapan dilakukan. Bawalah segala barang berharga, juga ahli keluarga bersama. Apabila semua telah memenuhi kapal tersebut, detik-detik pembebasan dinantikan. Tetapi mengapa sauh belum diangkat lagi?



Tiba-tiba terasa bahang kepanasan. Ah, kapal ini terbakar! Apa yang berlaku? Kelihatan pemimpin zalim itu tertawa bersama askar-askarnya. Hah, rasakan! Kamu ingat senang-senang aku nak lepaskan kamu semua! Inilah sebenarnya detik-detik jatuhnya kawasan ini ke tangan musuh. Berakhirlah sebuah pengharapan.




Assalamualaikum wbt.



Begitulah kisahnya bagaimana umat Islam telah ditipu oleh kaum musyrikin suatu ketika dahulu. Sekarang ini, kita lebih mengenali hari ‘bersejarah’ itu sebagai April Fool bertarikh 1 April setiap tahun. Walaupun kisah yang dikatakan punca perayaan April Fool itu tidak benar sama sekali (rujuk sini), tetapi kita masih boleh mengambil pengajaran dari kisah tersebut.



Perkara utama yang ditonjolkan dari pengkisahan tersebut secara jelasnya adalah penipuan. Bagi umat Islam, menipu dan berbohong itu dikategorikan sebagai dosa besar. Diterangkan dalam dalil berikut tentang perkara tersebut :



Dalam sebuah hadis,


 
Maksudnya : Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalanganku.”



Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda :


"Mahukah kamu aku tunjukkan perihal dosa-dosa besar? Kami menjawab: Ya, tentu mahu ya Rasulullah. Rasulullah menjelaskan: Menyengutukan Allah, durhaka kepada kedua orang tua. Oh ya, (ada lagi) Iaitu perkataan dusta." (Riwayat Muttafaq Alaih)

Sebenarnya saya terdetik nak menulis tentang perkara ini apabila salah satu group di Facebook yang saya sertai, penuh dengan penipuan. Group tersebut diwujudkan khas untuk pelajar-pelajar sebuah institusi pendidikan. Ramai pelajar-pelajar yang akan memasuki institusi tersebut menyertai group tesebut untuk bertanyakan soalan-soalan dan kemusykilan mereka dalam urusan kemasukan mereka.



Apa yang saya berkecil hati, apabila golongan yang sudah lama berada di institusi tersebut, mengaku sebagai pelajar baru pula, lantas menipu mereka yang tidak mengenalinya.



“Hai, saya pelajar baru kat sini. Harap boleh tunjuk ajar. Hihi.”



Itu adalah contoh ayat yang mereka gunakan. Sesiapa yang tak mengenalinya, terus melayan komen golongan ini, memberitahu perkara yang mereka sudah tahu.





“Seronok ke tipu orang lain?”



Itu yang saya post di wall group tersebut apabila melihat keadaan itu makin berleluasa. Pasti banyak tanggapan dan persepsi yang muncul apabila membaca post saya itu. Saya sengaja tak berterus-terang, mahu melihat reaksi mereka yang berkaitan.



“Kau ni rilek-rilek sudah. Sekali sekali nak bermanja dengan pelajar lain, apa salahnya? Haha.”



“Kenapa marah tak pasal-pasal ni? Chill sudah.”



Ini antara komen yang dilontarkan. Maka, saya sendiri tak pasti mereka faham ke tak apa yang cuba saya sampaikan. Maka saya perjelaskan di sini, menipu itu dosa besar! Rujuklah balik ayat-ayat di atas tadi, atau carilah di mana-mana nas dan dalil tentang hukum menipu.



Apa salahnya? Salahnya adalah menipu. Nak bermanja, err, sesama saudara? Saya tak pernah belajar pula dalam Islam kalau nak ‘bermanja’ dengan orang lain boleh menipu orang lain. Dan perbuatan kamu itu juga tergolong dalam perbuatan menganiaya orang lain. Dalam erti kata lain, kamu itu berlaku zalim dengan tidak meletakkannya pada tempat yang sepatutnya. 2 dalam 1 gitu.



Ingin saya maklumkan bahawa, tujuan saya post perkara tersebut di group Facebook itu, hanyalah untuk memperingati golongan ini agar meninggalkan perbuatan itu, bertaubat dan tidak mengulanginya. Bukan kerana saya marah tak pasal-pasal, atau saya nak jadi ekstrimis agama. Alhamdulillah, Allah memberikan saya petunjuk untuk mengetahui sama ada kamu menipu atau tidak.



Cuma saya tak mahu kamu melakukan dosa itu lagi. Malah kalau kamu terus melakukannya selepas diberi peringatan, azab siksaan yang akan diberikan Allah lagi teruk!


 
Dan mereka berteriak di dalam neraka itu : "Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami, nescaya kami akan mengerjakan amal yang soleh berlainan dengan yang telah kami kerjakan." Dan apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepada kamu pemberi peringatan? maka rasakanlah (azab Kami) dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolong pun.



[Surah Faathir 35:37]



Hmm, apa kaitan dengan semua ini dengan pendahuluan saya tadi tentang April Fool? Saya cuma nak bercakap kasar sikit (maaf kalau terasa hati tetapi memang berniat untuk membuat kamu terasa agar kamu berubah), patutlah kamu selalu mencanang, “jangan sambut April Fool!” kerana kamu sambutnya setiap hari dengan menipu!



Sumber :



1. Ust Hj Hishamuddin Mansor; http://usthjhishamuddinmansor.blogspot.com/; Hukum menipu; 19 Jun 2010



2. Al Quran Digital; versi 2.1; http://www.alquran-digital.com/



3. Syahril A. Kadir; Kita Di’fool’kan Dek Sejarah April Fool?; 1 April 2009; http://www.solihinzubir.com/2011/03/sejarah-dan-asal-usul-april-fool-bukan.html



JIMIE : Kalau tertipu tak semestinya jadi Tipah Tertipu.

Selasa, 10 Mei 2011

Dinginnya Neraka!

Assalamualaikum wbt.


Sebut sahaja neraka, pasti terbayang akam kepanasan yang tidak terkira. Ibaratnya, jika panasnya membolosi sebesar lubang jarum, maka hancurlah muka bumi ini.


Namun, tahukah anda, di neraka, bukan setakat kepanasan sahaja yang disediakan Allah, tetapi juga wujudnya kedinginan yang begitu azab sekali sehingga mampu memisahkan kulit dari daging.



Perkara ini jelas diterangkan melalui nas yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dan Abu Sa’id Al Khudri, dari Nabi S.A.W., baginda bersabda,


“Jika hari begitu amat dingin, lalu seorang hamba mengucapkan ‘La Ilaha Illallah, maa asyaddu bardin hazal yaum : Allahumma aajirni min zamharir jahannam’ [Ya Allah, selamatkanlah aku dari dingin bekunya jahannam].


Allah Taala kemudian berfirman kepada meraka jahannam, “Sesungguhnya di antara hamba-Ku, meminta perlindunganpada-Ku dari dingin bekumu, dan aku bersaksi padamu bahawa aku telah melindungi dari dingin tersebut.”


Mereka berkata, “apa itu zamharir jahannam?”


Dia menjawab, “itu adalah rumah yang orang kafir dilemparkan di dalamnya, lantas mereka terasing kerana sebab dinginnya.”


Allah juga berfirman,
Inilah (azab neraka), biarlah mereka merasakannya, (minuman mereka) air yang sangat panas dan air yang sangat dingin (ghossaq).

~QS; Shaad; 38:57~

 
***Dipetik dari majalah Al-Islam, bil. 448, Mei 2011

Program Asasi UIAM

Assalamualaikum wbt.


Hari ini saya nak kongsikan serba sedikit tentang program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau dalam bahasa omputih, International Islamic University Malaysia (IIUM).


Saya akan lebih memperkatakan tentang UIA Petaling Jaya (PJ) berbanding UIA Nilai, maaf, kerana saya lebih tahu di situ. Lagipun, ada ura-ura katanya UIA Nilai akan ditutup dan UIA PJ akan dijadikan tempat asasi sepenuhnya.


***Nota : Pastikan anda ingat nama-nama singkatan (yang popular di UIA) yang ditulis pertama kali kerana kebanyakan ayat seterusnya hanya akan menggunakan singkatan. Kalau tak, rujuklah balik ayat yang menggunakan singkatan-singkatan tersebut pertama kali.

SYARAT KEMASUKAN
Untuk syarat kelayakan memasuki UIAM, boleh rujuk sini: http://www.iium.edu.my/asasi/pdf/general_requirements1.pdf

UMUM : LOKASI


Setakat Mei 2011 (semester 3 2010/2011 sedang berlangsung), Berikut merupakan penetapan kampus asasi UIAM :


Kampus Petaling Jaya – Science-based course (Medical, Pharmacy, Dentistry, Biological Science, Physical Science, Nursing, Allied Health Science), Kejuruteraan (Engineering, ICT), Law, Architecture and Environmental Design (AED).


Kampus Nilai – Art-based (English/BEN, Arabic/BAR, Economic, Islamic Revealed Knowledge/IRK, Human Science/HS)


Eh, kampus Gombak tu? Haa, kampus Gombak tu untuk undergraduate atau degree level. Bagi science-based course, degree nanti di kampus Kuantan.


PETEMPATAN


Di UIA, blok-blok petempatan pelajar dipanggil MAHALLAH. Di UIA PJ ada sebanyak enam buah mahallah, dua untuk wanita, empat untuk lelaki.


Mahallah lelaki :

Abu Bakr (MAB/ABC),

Mahallah Umar Khattab I (MUK1/UKC)

Umar Khattab II (MUK2/Aisyah) dan Fatimah Zahra (MFZ/FZC).


Mahallah perempuan :


Mahallah Khadijah (KC)
dan Zainab Jaisyi (ZC)


Keterangan selanjutnya tentang Mahallah lelaki sahaja. Keterangan lanjut tentang mahallah wanita boleh rujuk di sini.


Bilangan ahli bilik bagi mahallah lelaki adalah dalam lingkungan 4-10 orang, bergantung pada mahallah mana dan jenis bilik. Bilik macam biasa, ada katil (1 atau 2 tingkat), locker dan meja study. Tirai/langsir juga dah siap pasang. Tandas di luar bilik kecuali FZC. Ampaian pun ada di setiap level.


Semua mahallah lelaki tidak ada lif, tetapi bilik paling tinggi pun ABC tingkat 4 (Mahallah Aisyah pun 4 tingkat, tapi lagi rendah dari ABC walaupun atas bukit). Setiap mahallah ada kafe dan kiosk (kedai runcit) kecuali FZC. Setiap mahallah ada TV yang dilengkapi Astro kecuali FZC. Semua mahallah (kalau tak salah) ada mesin basuh baju (pakai duit syiling 20 sen & 50 sen) tetapi hanya di tingkat bawah (bukan di setiap level). Perkhidmatan water cooler dan water dispenser pun ada.

Setiap mahallah ada surau masing-masing di tingkat bawah sekali. Di sesetengah level mahallah tertentu juga ada surau yang dipanggil musolla. Tetapi bukan lebih elok kalau kita ke masjid? Masjid ini bernama Masjid Kolej Islam Malaya. Dekat sangat terutamanya mahallah Abu Bakr. Tetapi pintu pagar ke masjid hanya dibuka ketika awal waktu solat sahaja.



Suasana dalam Masjid Kolej Islam Malaya

ABC ada cyber café. Mahallah office juga ada di setiap mahallah (kalau ada apa-apa masalah bilik/mahallah, report la kat sini). Mahallah Aisyah ada court kat tengah-tengah, tapi ramai yang ke padang utama je.


PAKAIAN


Untuk muslimin, pakaian yang dibenarkan hanyalah kemeja (tanpa tali leher) dan baju melayu jenis raihan. Hari Rabu special sikit, kena pakai kemeja dengan bertali leher. Seluar, kalau boleh warna gelap. Tali pinggang jangan lupa. Kasut warna gelap, hitam sebaiknya. Baju-baju jenis lain tu memang boleh pakai tetapi DILARANG. Maksudnya, kalau guard nampak, kena samanlah. Lecturer2 pun ada kuasa nak saman, tetapi sesetengah je yang tegas. Ok, saya tak galakkan anda melanggar peraturan kalau tak nak masalah.


Pakaian ketika bukan waktu kuliah adalah bebas, tetapi ada beberapa larangan juga. Antaranya : jeans, seluar pendek dan seluar jenis carrot (kecik kat bawah) tak dibenarkan. Pakaian yang ada benda-benda mengarut (yang ada unsur-unsur pemesongan akidah) DIHARAMKAN sama sekali. Kalau ke tempat yang kena lalu pos kawalan pengawal tu, pakailah baju berkolar sebaiknya. Ketika outing, kena baju berkolar. Jangan lupa bawa kad matrik.


Untuk muslimat, setakat yang saya tahu, WAJIB bertudung, baju kurung dan jubah. Baju-baju jenis lain saya tak pasti. Boleh rujuk di sini juga kot.


MAKAN & MINUM


Selain wujudnya kafe di setiap mahallah kecuali FZC, ada juga beberapa kafe berasingan. Terletak di bangunan khas dua tingkat bersebelahan dengan SMAWP 2 (tempat kelas), setakat ini ada 3 buah kafe utama. Yang paling popular E-Café yang terletak di tingkat bawah. Selain itu, ada juga Café A dan Café U (Kafe Mamak) di tingkat atas. Wujud juga gerai roti impit di antara Kafe A dan U. Di tingkat atas, ada sebuah jambatan yang menghubungkan bangunan Central Spine (pejabat dan bilik-bilik lecturer). Ada meja dan kerusi, bolehlah makan dan study di situ (ala-ala restoran jejantas gitu. :P)

Suasana di Jambatan (Bridge)
KULIAH


Tempat kuliah dijalankan di serata kawasan UIA. Bangunan utama ialah SMAWP 2 dan SMAWP 3. Tergeliat lidah ke nak sebut? Cara nak sebutnya : sma-wep. SMAWP tu singkatan Sekolah Menengah Agama Wilayah Persekutuan. Dahulu bangunan tu digunakan oleh sekolah tu, tapi dah tinggal sejarah.


SMAWP 2
SMAWP 3 ada pendingin hawa (tapi tak semua berfungsi dengan baik). SMAWP 2 tak ada pendingin hawa. Yang paling saya suka di SMAWP ini adalah tandasnya. Ya, TANDAS! Kerana tandas baru sahaja dibina semula. Sangat cantik dan kondusif. SMAWP juga selalu dijalankan pelbagai aktiviti seperti jamuan, perjumpaan, majlis dan juga peperiksaan.


Selain itu wujud juga kelas-kelas di Blok C dan Blok E. Tingkat atas sekali Blok C (daripada 3 tingkat) ada bilik sebahagian lecturer. Kelas-kelas di Blok C dan E ni memang best sebab dilengkapi pendingin hawa yang memang berfungsi dengan baik sekali. Cuma yang saya tak suka, Blok E tu bangunan kayu, macam nak roboh. Jalan pun kena hati-hati, takut-takut tiba-tiba roboh. Lagi satu, Blok C dan E ni agak terpencil. Jadi malam-malam jarang ada aktiviti dibuat di sini.


Terdapat juga kelas-kelas diadakan di bangunan perpustakaan (di luar perpustakaan tetapi satu bangunan) yang dikenali sebagai LY. Selalunya kalau bukan waktu kuliah, ada juga aktiviti-aktiviti dijalankan di sini seperti perjumpaan, kelas tambahan dan peperiksaan.

Di mahallah-mahallah tertentu juga wujudnya kelas seperti Mahallah Abu Bakr dan Mahallah Khadijah. Juga wujud kelas berhampiran dengan klinik.


Tentang subjek-subjek yang akan diambil, boleh rujuk di sini.


KECEMASAN


Haa, kecemasan yang nak diberitahu di sini berkaitan dengan perubatan sahaja ye. Di UIA PJ, wujudnya klinik UIA. Pada minggu orientasi (Taaruf Week) pihak klinik ni lah yang bertanggungjawab mengendalikan medical check up. Kalau sakit ke, buat-buat sakit ke, datanglah ke klinik. Untuk pelajar-pelajar UIA percuma sahaja, tiada bayaran dikenakan. Medical Certificate (M.C) pun percuma tapi hanya yang pandai berlakon sakit teruk sahaja.


Klinik gigi juga wujud di sini, tetapi tak banyak perkhidmatan yang dapat disediakan (berdasarkan pengalaman).


PERBEZAAN


Program Asasi UIAM berbeza dengan program asasi universiti-universiti lain, mahupun pusat-pusat matrikulasi. Apa bezanya. Meh saya beritahu.


PERTAMA, jurusan di UIAM sudah spesifik sejak di asasi lagi. Faham tak? Meh saya explain. Kalau di universiti-universiti lain, untuk jurusan sains hanya terbahagi kepada dua iaitu sains hayat dan sains fizikal. Siapa nak ambil perubatan, farmasi, bioteknologi dan sebagainya, pergilah ke sains hayat. Siapa nak ambil kejuruteraan ambillah sains fizikal. Betul tak? Itu sepanjang yang saya tahu lah.


Berbezanya di UIA ni, seperti yang dah ditulis, jurusan di UIAM sudah spesifik sejak di asasi lagi. Kamu nak ambil kursus perubatan? Pergilah ke jurusan perubatan. Farmasi? Silalah ke jurusan farmasi. Kejuruteraan pun dengan kursus kejuruteraannya yang tersendiri. Jadi, sudah faham?


Alamak! Saya nak jadi doktor, tapi dapat tawaran kursus kejururawatan pulak! Haa, apa nak buat? Jangan risau. Kalau kamu memang nak pilih UIA sebagai tempat kamu belajar, kamu masuk sahaja dulu UIA. Nanti waktu minggu orientasi atau lebih dikenali dengan Taaruf Week di UIA, bolehlah apply untuk tukar kursus yang anda nak. Kalau apply tapi tak dapat jugak? Jangan risau, waktu hujung semester nanti boleh cuba untuk minta tukar lagi.

Kata orang, kalau apply waktu taaruf week, tak perlu korbankan RM50. Tetapi kalau minta tukar waktu semester sedang berjalan, kenalah berkorban RM50. Ditambah juga kena interview (bagi jurusan tertentu sahaja).


KEDUA, asasi di UIA anda akan dapat lebih ilmu! Betulkah? Saya pasti ramai dah tahu nak masuk UIA ni bermakna kena belajar bahasa Arab. Hah, itu dah satu ilmu yang lebih tu! Ada orang kata, best tu, bahasa syurga! Dan ada banyak lagi. Ada subjek komputer, Understanding Islam dan juga Basic Theme of Al-Qur’an. Subjek English hanya untuk yang tak lepas kelayakan yang kursus tersebut nak. Ada juga Fardhu Ain, Tilawah dan Study Circle, tetapi ketiga-tiga ini berdasarkan ujian Tilawah yang akan diadakan waktu Taaruf Week. Senang kata, ilmu untuk dunia ada, untuk akhirat pun ada. Serba lengkap!


KETIGA, Bi’ah Solehah! Hah, apa pulak benda alah ni? Bi’ah Solehah itu maksudnya persekitaran yang baik, elok, terjaga dan sebagainya. Senang kata macam ni lah, di suatu negeri, penduduknya semua baik, tak mencuri, saling berpesan dan menegur, selalu bertukar hadiah, jenayah sifar dan apa jua kebaikan yang dapat anda gambarkan. Aman sungguh. Maka negeri itu dikatakan mempunyai bi’ah solehah. Faham? Suka tak kamu kalau suasana begitu?


Itulah yang cuba diterapkan di UIA. Kamu akan lihat kurangnya kes-kes jenayah terutamanya kecurian. Kalau kamu nak tahu, peniaga-peniaga di sini, selalunya berniaga tepi kaki lima. Apabila azan berkumandang, mereka tinggalkan begitu sahaja barang-barang niaga mereka. Ada juga la yang letak plastik, tapi itu rasanya untuk cover dari cuaca sahaja.


**********************************
Banyak lagi yang perlu ditulis, tapi kesuntukan masa dan idea. Jenguk-jenguklah dalam seminggu dua ni, Insya-Allah akan diupdate lagi info-info baru. Gambar-gambar juga akan ditambah lagi kemudian kerana connection lembap ketika publish post ini.


Sekian, wassalam.


JIMIE : Ta’aruf Week juga dikenali sebagai TaWe (eeeiii… comelnya bunyi! Haha). Ahlan wa sahlan ila UIAM!