Rabu, 11 Mei 2011

Best ke Menipu?

Saat itu, hanya kegelapan yang menyelubungi. Cahaya matahari yang menyinar di siang hari juga tidak mampu menerangi kesuraman yang menyelimuti diri. Tentera musuh semakin hari semakin mengganas. Satu persatu daerah jatuh ke tangan pemimpin zalim. Keamanan yang dikecapi dahulu sudah ditelan percikan peluru dan senjata.



Namun, satu perkhabaran kedengaran. Pemimpin yang disangkakan zalim itu masih ada sifat belas kasihan. Mereka telah menyediakan sebuah kapal besar di pelabuhan. Kapal itu khas buat penduduk yang mahu lari dari cengkaman penjajah ini. Mereka akan dilayarkan ke tempat yang selamat.



Persiapan dilakukan. Bawalah segala barang berharga, juga ahli keluarga bersama. Apabila semua telah memenuhi kapal tersebut, detik-detik pembebasan dinantikan. Tetapi mengapa sauh belum diangkat lagi?



Tiba-tiba terasa bahang kepanasan. Ah, kapal ini terbakar! Apa yang berlaku? Kelihatan pemimpin zalim itu tertawa bersama askar-askarnya. Hah, rasakan! Kamu ingat senang-senang aku nak lepaskan kamu semua! Inilah sebenarnya detik-detik jatuhnya kawasan ini ke tangan musuh. Berakhirlah sebuah pengharapan.




Assalamualaikum wbt.



Begitulah kisahnya bagaimana umat Islam telah ditipu oleh kaum musyrikin suatu ketika dahulu. Sekarang ini, kita lebih mengenali hari ‘bersejarah’ itu sebagai April Fool bertarikh 1 April setiap tahun. Walaupun kisah yang dikatakan punca perayaan April Fool itu tidak benar sama sekali (rujuk sini), tetapi kita masih boleh mengambil pengajaran dari kisah tersebut.



Perkara utama yang ditonjolkan dari pengkisahan tersebut secara jelasnya adalah penipuan. Bagi umat Islam, menipu dan berbohong itu dikategorikan sebagai dosa besar. Diterangkan dalam dalil berikut tentang perkara tersebut :



Dalam sebuah hadis,


 
Maksudnya : Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalanganku.”



Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda :


"Mahukah kamu aku tunjukkan perihal dosa-dosa besar? Kami menjawab: Ya, tentu mahu ya Rasulullah. Rasulullah menjelaskan: Menyengutukan Allah, durhaka kepada kedua orang tua. Oh ya, (ada lagi) Iaitu perkataan dusta." (Riwayat Muttafaq Alaih)

Sebenarnya saya terdetik nak menulis tentang perkara ini apabila salah satu group di Facebook yang saya sertai, penuh dengan penipuan. Group tersebut diwujudkan khas untuk pelajar-pelajar sebuah institusi pendidikan. Ramai pelajar-pelajar yang akan memasuki institusi tersebut menyertai group tesebut untuk bertanyakan soalan-soalan dan kemusykilan mereka dalam urusan kemasukan mereka.



Apa yang saya berkecil hati, apabila golongan yang sudah lama berada di institusi tersebut, mengaku sebagai pelajar baru pula, lantas menipu mereka yang tidak mengenalinya.



“Hai, saya pelajar baru kat sini. Harap boleh tunjuk ajar. Hihi.”



Itu adalah contoh ayat yang mereka gunakan. Sesiapa yang tak mengenalinya, terus melayan komen golongan ini, memberitahu perkara yang mereka sudah tahu.





“Seronok ke tipu orang lain?”



Itu yang saya post di wall group tersebut apabila melihat keadaan itu makin berleluasa. Pasti banyak tanggapan dan persepsi yang muncul apabila membaca post saya itu. Saya sengaja tak berterus-terang, mahu melihat reaksi mereka yang berkaitan.



“Kau ni rilek-rilek sudah. Sekali sekali nak bermanja dengan pelajar lain, apa salahnya? Haha.”



“Kenapa marah tak pasal-pasal ni? Chill sudah.”



Ini antara komen yang dilontarkan. Maka, saya sendiri tak pasti mereka faham ke tak apa yang cuba saya sampaikan. Maka saya perjelaskan di sini, menipu itu dosa besar! Rujuklah balik ayat-ayat di atas tadi, atau carilah di mana-mana nas dan dalil tentang hukum menipu.



Apa salahnya? Salahnya adalah menipu. Nak bermanja, err, sesama saudara? Saya tak pernah belajar pula dalam Islam kalau nak ‘bermanja’ dengan orang lain boleh menipu orang lain. Dan perbuatan kamu itu juga tergolong dalam perbuatan menganiaya orang lain. Dalam erti kata lain, kamu itu berlaku zalim dengan tidak meletakkannya pada tempat yang sepatutnya. 2 dalam 1 gitu.



Ingin saya maklumkan bahawa, tujuan saya post perkara tersebut di group Facebook itu, hanyalah untuk memperingati golongan ini agar meninggalkan perbuatan itu, bertaubat dan tidak mengulanginya. Bukan kerana saya marah tak pasal-pasal, atau saya nak jadi ekstrimis agama. Alhamdulillah, Allah memberikan saya petunjuk untuk mengetahui sama ada kamu menipu atau tidak.



Cuma saya tak mahu kamu melakukan dosa itu lagi. Malah kalau kamu terus melakukannya selepas diberi peringatan, azab siksaan yang akan diberikan Allah lagi teruk!


 
Dan mereka berteriak di dalam neraka itu : "Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami, nescaya kami akan mengerjakan amal yang soleh berlainan dengan yang telah kami kerjakan." Dan apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepada kamu pemberi peringatan? maka rasakanlah (azab Kami) dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolong pun.



[Surah Faathir 35:37]



Hmm, apa kaitan dengan semua ini dengan pendahuluan saya tadi tentang April Fool? Saya cuma nak bercakap kasar sikit (maaf kalau terasa hati tetapi memang berniat untuk membuat kamu terasa agar kamu berubah), patutlah kamu selalu mencanang, “jangan sambut April Fool!” kerana kamu sambutnya setiap hari dengan menipu!



Sumber :



1. Ust Hj Hishamuddin Mansor; http://usthjhishamuddinmansor.blogspot.com/; Hukum menipu; 19 Jun 2010



2. Al Quran Digital; versi 2.1; http://www.alquran-digital.com/



3. Syahril A. Kadir; Kita Di’fool’kan Dek Sejarah April Fool?; 1 April 2009; http://www.solihinzubir.com/2011/03/sejarah-dan-asal-usul-april-fool-bukan.html



JIMIE : Kalau tertipu tak semestinya jadi Tipah Tertipu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan