Rabu, 30 Januari 2013

Sebab Aku Jadi Kuat



Ketika zaman kanak-kanak, aku dan beberapa rakan aku pergi kelas mengaji Al-Quran di surau menaiki basikal. Sementara menunggu ustaz datang, kadang-kadang kami ke kedai runcit membeli makanan ringan (biasalah budak-budak).

Suatu hari, aku pergi ke kedai dengan menunggang basikal sambil seorang kawan aku tumpang kat belakang (berdiri atas skru tayar). Seorang lagi kawan aku pun naik basikal juga ada kawan tumpang belakang dia.

Waktu dalam perjalanan pulang, kami ternampak kereta ustaz dari jauh menuju ke surau melalui jalan yang sama. Maka kami pun pecutlah dengan harapan sampai dulu daripada ustaz. Nasib baik kami Cuma merentas padang sedangkan ustaz kena ambil jalan jauh sikit.

Bila dah pecut tu mesti timbul rasa nak berlumba sampai dulu, betul tak? Jadi pada awal pecutan, saya agak ketinggalan berbanding lagi satu rakan yang menaiki basikal jugak.

“Cepat, makan biskut Tiger ni! Nanti baru jadi kuat!” kata kawan aku.
Aku pun kunyah cepat-cepat sambil cuba pecut memotong kawan aku.

Akhirnya aku berjaya sampai dahulu.

“Eh, macam mana hang boleh sampai dulu?”

“Tadi aku makan biskut Tiger, macam dalam TV. Tu yang jadi kuat tu,” jawab aku bangga.

---------
Ketika aku belajar di peringkat asasi universiti, aku ada mengalami sakit gigi yang sangat teruk. Jadi aku ke klinik di Pusat Asasi UIA kerana percuma. Selepas berjumpa dengan doktor, saya akhirnya dibekalkan dengan ubat yang sepatutnya.

Pada ubat tersebut tertulis;
“It is not the doctor or medicine that heals you, it is The Almighty.”

Aku terkedu. Betul. Baru aku sedar.

Jadi betulkah aku jadi kuat sebab biskut Tiger?

*Kisah ini sedikit sebanyak diolah kerana ingatan yang tak berapa kuat.*


Jm : Hasil pembelajaran tak langsung daripada iklan dan televisyen.

Jumaat, 25 Januari 2013

Yang Dijemput


CERAMAH MAULIDUR RASUL
Selepas Solat Maghrib
Semua Muslimin dan Muslimat dijemput hadir.

Terlintas di fikiran, kenapa 'semua muslimin dan muslimat' sahaja yang dijemput? Kenapa tak dijemput semua lapisan masyarakat berbilang kaum dan agama?

Bukankah satu dakwah juga andai kita menjemput selain 'muslimin dan muslimat' yang belum menerima hidayah? Mungkin institusi kerohanian dan keagamaan perlu lebih terbuka dalam sasaran hadirin sesuatu program.

Jm : Tak kenal maka tak cinta

Sabtu, 5 Januari 2013

Benarkah Saintis Barat Merendahkan Makanan Rasulullah?


Pernah tak anda dapat info bahawa Barat merendah-rendahkan Rasulullah s.a.w. dengan mengatakan daging kambing mampu meningkatkan kolestrol dan berisiko untuk darah tinggi; sedangkan daging kambing kegemaran Rasulullah.

Pasti ramai yang percaya tanpa benar-benar mengkaji dahulu. Bagaimana kalau anda benar-benar membuat eksperimen untuk membuktikan daging kambing tu tak akan menyumbang kepada darah tinggi; malangnya  hasil eksperimen anda sama juga dengan apa yang diperkatakan Barat?

Oh, pasti aku tersilap daging. Atau aku tersilap bahan kimia? Atau ada yang cuba menipu aku? Yang Barat yang menipu aku atau yang Islam tu?

Astaghfirullah, harap tiada yang terfikir nak keluar Islam. Ok, mari kita betulkan tanggapan kita.

Rasulullah memang maksum, sempurna orangnya; namun sebenarnya yang dimaksudkan adalah dari aspek penerimaan dan penyampaian wahyu Islam. Ini tak bermaksud Rasulullah tak pernah buat silap dan tak pernah ditegur. Sebenarnya pernah, tapi bukan dari sudut wahyu yang diturunkan Allah. (Boleh cari dari sumber yang sahih kisah Rasulullah ditegur)

Jadi adakah Rasulullah salah dalam menggemari daging kambing? Tidak sebenarnya. Jadi adakah saintis pula yang salah dan sengaja merendah-rendahkan makanan kegemaran Rasulullah tersebut? Tidak juga sebenarnya. Eh, habis tu?

Ok, ini analogi daripada saya. Siapa suka aiskrim? Siapa suka coklat Cadburry? Siapa suka gula-gula kapas? Oh, pastinya peratus untuk anda menolak makanan-makanan seperti ini sangat rendah. LAZAT AMAT!

 Tetapi satu hari, saya berjumpa dengan doktor. Katanya makanan-makanan ini menurut kajian mampu memudaratkan kesihatan; berpotensi untuk diabetes, sakit gigi dan banyak lagi. Adakah anda akan rasa seperti doktor itu merendah-rendahkan diri kita? Adakah anda akan bangun sambil bercekak pinggang dan jerit;
“Hey doktor! Kau ingat kau hebat sangat ke? Kau jangan nak rendah-rendahkan aku dengan fakta tak betul kau tu! Blah la lu!”

Kesian doktor kena marah...
Ish, apa ni? Pening aku,  mana satu yang betulnya sekarang? Ok2, kita straight to the point ok? Sebenarnya, makanan-makanan ini berpotensi untuk menyumbang kepada pelbagai penyakit kalau kita makan secara berlebihan. Diulang, SECARA BERLEBIHAN! Nampak tak, kunci kata di sini sebenarnya bersederhana, walaupun dalam memilih makanan. Nak makan aiskrim, coklat, gula-gula? Boleh je asalkan jangan makan banyak-banyak sangat. Kalau tak mai la penyakit-penyakit tu.

Nak makan daging kambing? Boleh je, asalkan tak berlebihan. Kan dah ada kajian kata boleh darah tinggi nanti. Bukannya saintis ni nak merendah-rendahkan Rasulullah kesayangan kita, tetapi ada yang tersilap cerna maklumat ni.

Perkara penting di sini ialah BERSEDERHANA. Kalau nak menuduh orang Barat pun kena bersederhana gak lah. Bukannya semua di barat tu Yahudi dan Nasrani yang nak Islam ikut telunjuk mereka; ada jugak Islam di sana, saintis-saintis Barat pun ada yang Islam.

Sebenarnya banyak lagi kes-kes macam ni. Macam kopi,soya dan banyak lagi. Kes-kes macam ni pun sebenarnya banyak di Barat dan salah satunya Islamophobia. Diharapkan dalam kalangan umat Islam tak ada pula yang terkena penyakit Westernophobia. Kalau tak, apa beza kita dengan mereka?