Sabtu, 18 Januari 2014

Siapa Yang Lalai?

Assalamualaikum wbt.

Beberapa minggu lepas, saya telah pergi bersolat Jumaat di sebuah masjid. Khutbah hari tersebut berkisarkan tahun baru masihi kalau tak silap.

Keadaan di masjid hari ni biasa saja, seperti hari-hari Jumaat yang lain. Ada yang fokus kepada khatib, ada yang mengangguk-angguk sambil membelai janggut, ada yang memandang ke lantai dan ada yang berada di alam lain (tidur).

Seperti biasa, selepas selesai dua khutbah, tibalah masanya untuk solat Jumaat berjemaah. Muazzin melaungkan iqamah. Semua hadirin berdiri dan bergerak masuk ke dalam saf. Aku turut berdiri dan menuju ke hadapan seterusnya masuk ke dalam saf.

Sedang aku melangkah, tiba-tiba aku terperasan dua susuk tubuh yang masih duduk bersila dan sedang tunduk ke bawah. Ketika ramai orang bergerak melintasi mereka, mereka masih tidak bergerak dan tidak berganjak. Ada yang bertembung dengan dua orang ni, kemudian mengelak dan terus bergerak ke hadapan.


Sepatutnya sekali atau dua kali pandang, pasti ramai sudah tahu yang mereka ini sebenarnya tertidur ketika khutbah tadi dan masih belum sedar. Tetapi, kenapa seperti semua tidak pedulikan mereka? Kenapa tiada yang membantu mereka untuk kembali ke alam nyata dan seterusnya bersama-sama bersolat jemaah? Adakah pandangan orang lain 'terhijab' sebenarnya?

Mungkin. Mungkin pandangan mereka pada dua makhluk ni terhijab. Mungkin mereka berada di kawasan 'blind spot' mata orang lain. Tetapi tidak bagi aku. Aku nampak mereka dengan jelas. Maka aku yang perlu membantu mereka ini.

Aku melangkah ke arah mereka sambil merentas arus manusia yang bergerak pantas ke hadapan. Dan aku pegang badan salah seorang daripada mereka dan menggoncangkan badan mereka untuk menyedarkan mereka. "Solat," kataku. Kemudian aku tinggalkan mereka dan melangkah ke hadapan. Rasanya masa yang diambil untuk tindakan aku ni tak sampai 5 saat pun.

Selepas solat, aku terfikir. Mereka yang tertidur sewaktu khutbah ni boleh dikategorikan sebagai orang yang terlalai. Mungkin kepenatan bekerja. Mungkin semalam tidur lambat kerana study, atau bertahajud. Mungkin.

Tetapi apa yang lebih penting, bagaimanakah sebenarnya sikap kita terhadap mereka yang terlalai ini? Mereka yang terlalai dalam kehidupan? Yang hanyut dalam lumpur dosa? Adakah kita akan terus bergerak ke hadapan dan tinggalkan sahaja mereka yang lalai ini? Perlukah kita membutakan mata kita sahaja? Adakah kita perlu lalaikan sahaja mereka yang lalai ini?

Atau kita perlu kejutkan mereka yang lalai ini dan membantu mereka bergerak ke hadapan dan seterusnya membentuk satu saf yang utuh?

Perlu muhasabah semula bagaimana kita melayan mereka yang terlalai dalam hidup ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan