Isnin, 18 Februari 2013

Pengejar Lelayang



“The Afghanistan of our youth is long dead.
Kindness is gone from the land, and you cannot escape the killings.
Always the killings.
I dream that flowers will bloom in the street of Kabul again,
and music will play in the samovar houses,
and kites will fly in the skies.”

Itulah sedikit petikan daripada filem ‘The Kite Runner’ yang baru saya tonton baru-baru ini. Mungkin agak terlewat kerana filem tersebut dikeluarkan pada 2007, tetapi saya rasa ramai lagi (terutama rakyat Malaysia) yang tidak menontonnya lagi.

Sinopsis

The Kite Runner merupakan sebuah filem adaptasi daripada novel (yang laris di pasaran) ditulis oleh Khaled Hosseini. Ia mengisahkan tentang persahabatan seorang anak pembesar daerah di Afghanistan (Kabul) bernama Amir dengan seorang anak pembantu rumahnya bernama Hassan. Mereka memang rapat sehinga kebanyakan perkara dilakukan bersama.

Permainan layang-layang sangat popular di Afghanistan suatu ketika dahulu, sehingga ada pertandingan peringkat kebangsaan dalam kalangan kanak-kanak.

Dua layang-layang akan bertarung sehingga berjaya memutuskan tali lawannya. Layang-layang yang kalah dan putus akan jatuh dan akan dikejar oleh kanak-kanak yang merebutkannya. Yang berjaya mendapatkannya dikira bertuah. (Inilah asalnya tajuk The Kite Runner).

Amir dan Hassan bergandingan untuk kejohanan layang-layang yang pertama kali mereka sertai. Gandingan mereka berjaya memenangi kejohanan tersebut. Namun ada konflik menyebabkan mereka tidak bertegur sapa sehingga hari terakhir mereka berjumpa dan berpisah.

Kemudian, Afghanistan mengalami peperangan hingga hilang tamadun yang dahulu aman damai. Beberapa tahun kemudian, Amir kembali ke Afghanistan dengan melihat perubahan yang ketara ke atas negaranya kerana peperangan. Kepulangan Amir menemukan dirinya dengan beberapa rahsia yang selama ini tidak diketahuinya.


Komen


Filem ‘The Kite Runner’ merupakan satu filem yang bagus untuk ditonton, sarat dengan pengajaran (dan tak boring macam sesetengah cerita berkonsep pengajaran). Tema utamanya ialah persahabatan, namun ada pengajaran sampingan yang juga bernilai.

Seperti petikan yang saya selitkan di atas, filem ini juga memperlihatkan perubahan yang berlaku pada sebuah masyarakat dan tamadun manusia yang dahulu aman damai, dibunuh oleh peperangan dan gerakan revolusi yang ganas. Sejarah tinggal sejarah, memori dikambus dengan darah.

Menonton filem ini mengingatkan saya keadaan di sesetengah negara (termasuk negara sendiri). Bagaimana ada wujud golongan yang agak berlebihan dalam merebut kuasa di negara sendiri. Kekaburan perjuangan golongan ini berkemungkinan boleh membawa bencana seperti yang ditunjukkan dalam filem ini.

Kemungkinan ada yang kabur dengan kata-kata saya ini, jadi saya sarankan anda menonton filem ini dahulu.
Maka saya berdoa (dan anda juga perlu) agar tanah tumpah ini tidak ditimpa bencana sebegitu.

Lagi Petikan Filem

“I feel like a tourist in my own country.”
“You've always been a tourist here. You just didn't know it.”

-------------------------------------------------

“You know what they're doing?”
*the car passing two men with just a leg each*
“He's selling his leg?”
“He can get good money for that. Feed your kids for a couple of weeks.”
*the car passing a dead man who commit suicide*

Jm : Nak dapatkan pula versi novel ‘The Kite Runner’.

Sabtu, 9 Februari 2013

Seberat Gelas Kosong

Al kisah ini bermula apabila tiga orang pencari ilmu bertemu dengan tok guru, Sang Bijaksana. Mereka tentunya teruja untuk mempelajari ilmu yang baru daripada Sang Bijaksana.

Hari ini, Sang Bijaksana muncul dengan sebiji gelas yang kosong. Maka Sang Bijaksana mengangkat gelas tersebut dan bertanya pada anak muridnya :
"pada pendapat kamu, berapakah berat sebenar gelas ini?"

Oh, tok guru bagi teka-teki! Tentu ada muslihat. Adakah tok guru menyembunyikan sebiji batu di dalam gelas itu? Atau tok guru memegang gelas plastik tiruan? Atau gelas itu bukanlah gelas sebenarnya?

"Saya nak teka! Seberat sebuah bata," jawab anak murid pertama.
"Ah, tak mungkin. Tok guru tentu ada sorokkan sesuatu. Ianya seberat segantang beras," jawab pula anak murid kedua.
"Tidak, tidak, tidak. Ianya cuma seringan baju sejukku," anak murid ketiga memberi jawapan.

Tok guru tersenyum dan berkata,
"Sejujurnya, saya tidak tahu pun berat gelas ini. Tetapi pada awalnya saya mengangkat gelas ini, kamu rasa saya rasa sakit tak?"

"Tak," jawab semua anak muridnya serentak.

"Bagaimana pula saya terus-menerus memegang gelas ini selama 30 minit?"

"Rasa lenguh la nanti."

"Sakit tangan tu dok pegang gelas tu je."

"Tok guru tertidur kot nanti. Hehe."

Tok guru tersenyum dan terus bertanya,

"Bagaimana pula sekiranya saya memegang gelas ini sepanjang hari tanpa meletakkannya langsung?"

"Ish, tok guru jangan cari pasal. Nanti tok guru jatuh sakit nanti."

"Susah nanti kami nak angkut tok guru pergi jumpa tabib."

Tok guru tersenym lagi lantas bertanya lagi,
"apa yang menyebabkan tok guru sakit?"

Anak muridnya terdiam.

"Adakah ada orang yang menambah berat gelas ini?"

"Tak."

"Adakah ada orang menuang air ke dalam gelas ini?"

"Tak."

"Atau udara di dalam gelas ini menjadi berat selepas sehari?"

"Tak."

"Habis tu, kenapa boleh sakit pula kalau berat gelas ini tak berubah?"

"Sebab tok pegang gelas tu lama-lama."

Tok guru tersenyum lantas berbicara,
"wahai anak muridku, gelas ini umpama masalah yang kita hadapi. Makin lama kita pegang, makin sakit diri kita. Walhal berat masalah itu tak bertambah langsung.
Oleh itu, sebolehnya janganlah menanggguh dan menyimpan sesuatu masalah lama-lama. Nanti makin sakit diri kita.
Cubalah cari penyelesaian terbaik dengan secepatnya, atau ia akan menjadi barah dalam diri kita."

Alhamdulillah, tiga orang pencari ilmu mempelajari sesuatu yang bermakna hari ini.

Jm : Yang bermasalah bukan gelas tu, tetapi orang yang memegangnya.

***Kisah dipetik dan diubahsuai daripada Facebook Useful Info.***

Rabu, 30 Januari 2013

Sebab Aku Jadi Kuat



Ketika zaman kanak-kanak, aku dan beberapa rakan aku pergi kelas mengaji Al-Quran di surau menaiki basikal. Sementara menunggu ustaz datang, kadang-kadang kami ke kedai runcit membeli makanan ringan (biasalah budak-budak).

Suatu hari, aku pergi ke kedai dengan menunggang basikal sambil seorang kawan aku tumpang kat belakang (berdiri atas skru tayar). Seorang lagi kawan aku pun naik basikal juga ada kawan tumpang belakang dia.

Waktu dalam perjalanan pulang, kami ternampak kereta ustaz dari jauh menuju ke surau melalui jalan yang sama. Maka kami pun pecutlah dengan harapan sampai dulu daripada ustaz. Nasib baik kami Cuma merentas padang sedangkan ustaz kena ambil jalan jauh sikit.

Bila dah pecut tu mesti timbul rasa nak berlumba sampai dulu, betul tak? Jadi pada awal pecutan, saya agak ketinggalan berbanding lagi satu rakan yang menaiki basikal jugak.

“Cepat, makan biskut Tiger ni! Nanti baru jadi kuat!” kata kawan aku.
Aku pun kunyah cepat-cepat sambil cuba pecut memotong kawan aku.

Akhirnya aku berjaya sampai dahulu.

“Eh, macam mana hang boleh sampai dulu?”

“Tadi aku makan biskut Tiger, macam dalam TV. Tu yang jadi kuat tu,” jawab aku bangga.

---------
Ketika aku belajar di peringkat asasi universiti, aku ada mengalami sakit gigi yang sangat teruk. Jadi aku ke klinik di Pusat Asasi UIA kerana percuma. Selepas berjumpa dengan doktor, saya akhirnya dibekalkan dengan ubat yang sepatutnya.

Pada ubat tersebut tertulis;
“It is not the doctor or medicine that heals you, it is The Almighty.”

Aku terkedu. Betul. Baru aku sedar.

Jadi betulkah aku jadi kuat sebab biskut Tiger?

*Kisah ini sedikit sebanyak diolah kerana ingatan yang tak berapa kuat.*


Jm : Hasil pembelajaran tak langsung daripada iklan dan televisyen.

Jumaat, 25 Januari 2013

Yang Dijemput


CERAMAH MAULIDUR RASUL
Selepas Solat Maghrib
Semua Muslimin dan Muslimat dijemput hadir.

Terlintas di fikiran, kenapa 'semua muslimin dan muslimat' sahaja yang dijemput? Kenapa tak dijemput semua lapisan masyarakat berbilang kaum dan agama?

Bukankah satu dakwah juga andai kita menjemput selain 'muslimin dan muslimat' yang belum menerima hidayah? Mungkin institusi kerohanian dan keagamaan perlu lebih terbuka dalam sasaran hadirin sesuatu program.

Jm : Tak kenal maka tak cinta

Sabtu, 5 Januari 2013

Benarkah Saintis Barat Merendahkan Makanan Rasulullah?


Pernah tak anda dapat info bahawa Barat merendah-rendahkan Rasulullah s.a.w. dengan mengatakan daging kambing mampu meningkatkan kolestrol dan berisiko untuk darah tinggi; sedangkan daging kambing kegemaran Rasulullah.

Pasti ramai yang percaya tanpa benar-benar mengkaji dahulu. Bagaimana kalau anda benar-benar membuat eksperimen untuk membuktikan daging kambing tu tak akan menyumbang kepada darah tinggi; malangnya  hasil eksperimen anda sama juga dengan apa yang diperkatakan Barat?

Oh, pasti aku tersilap daging. Atau aku tersilap bahan kimia? Atau ada yang cuba menipu aku? Yang Barat yang menipu aku atau yang Islam tu?

Astaghfirullah, harap tiada yang terfikir nak keluar Islam. Ok, mari kita betulkan tanggapan kita.

Rasulullah memang maksum, sempurna orangnya; namun sebenarnya yang dimaksudkan adalah dari aspek penerimaan dan penyampaian wahyu Islam. Ini tak bermaksud Rasulullah tak pernah buat silap dan tak pernah ditegur. Sebenarnya pernah, tapi bukan dari sudut wahyu yang diturunkan Allah. (Boleh cari dari sumber yang sahih kisah Rasulullah ditegur)

Jadi adakah Rasulullah salah dalam menggemari daging kambing? Tidak sebenarnya. Jadi adakah saintis pula yang salah dan sengaja merendah-rendahkan makanan kegemaran Rasulullah tersebut? Tidak juga sebenarnya. Eh, habis tu?

Ok, ini analogi daripada saya. Siapa suka aiskrim? Siapa suka coklat Cadburry? Siapa suka gula-gula kapas? Oh, pastinya peratus untuk anda menolak makanan-makanan seperti ini sangat rendah. LAZAT AMAT!

 Tetapi satu hari, saya berjumpa dengan doktor. Katanya makanan-makanan ini menurut kajian mampu memudaratkan kesihatan; berpotensi untuk diabetes, sakit gigi dan banyak lagi. Adakah anda akan rasa seperti doktor itu merendah-rendahkan diri kita? Adakah anda akan bangun sambil bercekak pinggang dan jerit;
“Hey doktor! Kau ingat kau hebat sangat ke? Kau jangan nak rendah-rendahkan aku dengan fakta tak betul kau tu! Blah la lu!”

Kesian doktor kena marah...
Ish, apa ni? Pening aku,  mana satu yang betulnya sekarang? Ok2, kita straight to the point ok? Sebenarnya, makanan-makanan ini berpotensi untuk menyumbang kepada pelbagai penyakit kalau kita makan secara berlebihan. Diulang, SECARA BERLEBIHAN! Nampak tak, kunci kata di sini sebenarnya bersederhana, walaupun dalam memilih makanan. Nak makan aiskrim, coklat, gula-gula? Boleh je asalkan jangan makan banyak-banyak sangat. Kalau tak mai la penyakit-penyakit tu.

Nak makan daging kambing? Boleh je, asalkan tak berlebihan. Kan dah ada kajian kata boleh darah tinggi nanti. Bukannya saintis ni nak merendah-rendahkan Rasulullah kesayangan kita, tetapi ada yang tersilap cerna maklumat ni.

Perkara penting di sini ialah BERSEDERHANA. Kalau nak menuduh orang Barat pun kena bersederhana gak lah. Bukannya semua di barat tu Yahudi dan Nasrani yang nak Islam ikut telunjuk mereka; ada jugak Islam di sana, saintis-saintis Barat pun ada yang Islam.

Sebenarnya banyak lagi kes-kes macam ni. Macam kopi,soya dan banyak lagi. Kes-kes macam ni pun sebenarnya banyak di Barat dan salah satunya Islamophobia. Diharapkan dalam kalangan umat Islam tak ada pula yang terkena penyakit Westernophobia. Kalau tak, apa beza kita dengan mereka?

Selasa, 16 Oktober 2012

Haloven (2012)

Assalamualaikum wbt.

For this quick post, I would like to share with you a short documentary film produced by myself. It is entitled "Haloven" and produced in 2012.

Some additional information, this documentary film has been submitted to be one of the nominees to won the "Documentary Video Competition" that been organized for Month of Contemplating Islam (MOCIS) 2012.

Alhamdulillah, this documentary film has been titled as 1st runner up for the competition.

Hope you guys will enjoy watching it. =)

Ahad, 16 September 2012

Bencana Y2K - Bahagian 2



Jika anda belum membaca bahagian pertama kisah Y2K ini, anda boleh membacanya di sini.

Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera.

Sebelum ini saya telah ceritakan tentang latar belakang bencana Y2k, persediaan yang telah dilakukan dan apa yang telah berlaku sebenarnya. Kali ini saya ingin kongsikan pula tentang kejadian-kejadian yang turut ditakuti manusia seperti bencana Y2K ini.

9 September 1999


Sebelum bencana Y2k yang dijangkakan berlaku pada 1 Januari 2000, sebenarnya ada juga ketakutan bencana seperti Y2k ini akan berlaku lebih awal iaitu pada 9 September 1999.

Seperti yang saya ceritakan pada bahagian pertama, komputer dahulu menggunakan format dua angka untuk menulis tahun (1963 menjadi 63 sahaja). Jadi pada 9 September 1999 ini, komputer akan membaca tarikh 9/9/99.

Jadi apa masalahnya? Kalau anda biasa dengan komputer zaman sebelum 2000, anda pasti biasa dengan nombor 9999. Untuk komputer zaman tersebut, sekiranya berlaku kesilapan atau error atau komputer tidak dapat membaca sesuatu data (nombor dan tarikh terutamanya), maka komputer akan menunjukkan angka 9999.


Jadi, terdapat kerisauan sekiranya pada 9 September tersebut, komputer akan keliru dengan angka 9999; sama ada menunjukkan tarikh sebenar atau ditafsirkan sebagai error. Tetapi pastinya yang akan keliru adalah orang yang menafsirnya, bukannya komputer yang tak berakal itu.

Tarikh ini berlalu begitu sahaja seperti bencana Y2k. Sepatutnya mereka sudah dapat jangkakan bencana Y2k tidak akan berlaku berdasarkan jangkaan 9 September ini, namun ramai tak berani mengambil risiko.

Tahun 2010

Sesetengah sistem bermasalah sebaik kita menjengah tahun 2010. Sesetengah media menggelarkannya sebagai masalah Y2k+10 atau Y2.01k.


Masalah ini agak rumit untuk difahami oleh orang biasa, kerana masalah ini berkaitan dengan pengkodan nombor hexadecimal dan pengkodan nombor binari (BCD). Kedua-dua jenis pengkodan ini menafsirkan nombor 0 hingga 9 sebagai 0x0 hingga 0x9. Namun bagi nombor 10, BCD tafsirkan nombor itu sebagai 0x10, manakala bagi pengkodan hexadecimal, nombor 10 ditafsirkan sebagai 0x0A. Pengkodan nombor hexadecimal menafsirkan 0x10 sebagai nombor 16.


Sebagai contoh, protokol SMS menggunakan format BCD. Jadi sesetengah telefon bimbit yang menggunakan pengkodan hexadecimal (bukan BCD) telah tersilap menafsirkan tarikh 2010 sebagai tahun 2016. Windows Mobile merupakan antara perisian yang mengalami masalah ini.

Namun, masalah ini hanyalah kecil. Tidak mewujudkan kerisauan seperti bencana Y2k. Tak ramai pun yang menghadapi masalah ini.


Masalah Tahun 2038

Ramai yang tak tahu sebenarnya masalah tahun 2038 ini berkaitan dengan kita yang menggunakan teknologi baru sekarang ini. Saya pun baru tahu lepas membuat kajian ilmiah tentang bencana Y2k ini.

Secara dasarnya, timestamp Unix yang asal menyimpan data tarikh dan masa dalam bentuk 32-bit integer bagi menafsirkan bilangan saat sejak 1 Januari 1970. Namun pada tahun 2038 nanti, timestamp ini akan mengalami masalah kerana nombor tersebut akan terlebih daripada hadnya iaitu 231 – 1. 

Maka bagi mengatasi masalah ini, kebanyakan sistem telah beralih daripada sistem 32-bit kepada 64-bit. Seperti kebanyakan komputer sekarang ini, sejak Windows XP, sistem pemprosesan Windows telah menggunakan 64-bit (aplikasi x64) berbanding 32-bit (aplikasi x86) pada produk Windows sebelum ini.


Maka, sesetengah program dan aplikasi yang dicipta berdasarkan sistem 32-bit sudah tidak boleh digunakan pada komputer dan sistem yang menggunakan sistem 32-bit, melainkan syarikat pembangun aplikasi tersebut telah menyediakan update dan penukaran kepada sistem tersebut, seperti Microsoft Office.


Mungkin penyelesaian ini dilihat untuk jangka masa pendek sahaja, iaitu hanya boleh digunakan untuk 60 tahun yang akan datang sahaja.

Tak tahulah kenapa tidak di buat sehingga 96-bit ke kan. Mungkin agak susah dan kompleks sangat. Mungkin orang-orang ini tidak menjangkakan komputer akan digunakan sehingga 60 tahun lagi. Atau mereka menjangkakan bumi akan hancur dalam tempoh 60 tahun ini. Entahlah, tak tahu jawapan sebenarnya.

BERSAMBUNG LAGI

Sebenarnya saya mahu rangkumkan sekali bahagian seterusnya ke dalam bahagian kedua ini, namun artikel bahagian kedua ini agak kompleks dan saya jangkakan agak bosan memandangkan banyak berkaitan pengkomputeran yang kompleks diceritakan. Jadi saya berhenti dahululah di sini.

Untuk bahagian seterusnya (mungkin bahagian terakhir), saya akan ceritakan tentang bencana Y2k dalam Islam.

Sekian, wassalam.