Selasa, 16 Oktober 2012

Haloven (2012)

Assalamualaikum wbt.

For this quick post, I would like to share with you a short documentary film produced by myself. It is entitled "Haloven" and produced in 2012.

Some additional information, this documentary film has been submitted to be one of the nominees to won the "Documentary Video Competition" that been organized for Month of Contemplating Islam (MOCIS) 2012.

Alhamdulillah, this documentary film has been titled as 1st runner up for the competition.

Hope you guys will enjoy watching it. =)

Ahad, 16 September 2012

Bencana Y2K - Bahagian 2



Jika anda belum membaca bahagian pertama kisah Y2K ini, anda boleh membacanya di sini.

Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera.

Sebelum ini saya telah ceritakan tentang latar belakang bencana Y2k, persediaan yang telah dilakukan dan apa yang telah berlaku sebenarnya. Kali ini saya ingin kongsikan pula tentang kejadian-kejadian yang turut ditakuti manusia seperti bencana Y2K ini.

9 September 1999


Sebelum bencana Y2k yang dijangkakan berlaku pada 1 Januari 2000, sebenarnya ada juga ketakutan bencana seperti Y2k ini akan berlaku lebih awal iaitu pada 9 September 1999.

Seperti yang saya ceritakan pada bahagian pertama, komputer dahulu menggunakan format dua angka untuk menulis tahun (1963 menjadi 63 sahaja). Jadi pada 9 September 1999 ini, komputer akan membaca tarikh 9/9/99.

Jadi apa masalahnya? Kalau anda biasa dengan komputer zaman sebelum 2000, anda pasti biasa dengan nombor 9999. Untuk komputer zaman tersebut, sekiranya berlaku kesilapan atau error atau komputer tidak dapat membaca sesuatu data (nombor dan tarikh terutamanya), maka komputer akan menunjukkan angka 9999.


Jadi, terdapat kerisauan sekiranya pada 9 September tersebut, komputer akan keliru dengan angka 9999; sama ada menunjukkan tarikh sebenar atau ditafsirkan sebagai error. Tetapi pastinya yang akan keliru adalah orang yang menafsirnya, bukannya komputer yang tak berakal itu.

Tarikh ini berlalu begitu sahaja seperti bencana Y2k. Sepatutnya mereka sudah dapat jangkakan bencana Y2k tidak akan berlaku berdasarkan jangkaan 9 September ini, namun ramai tak berani mengambil risiko.

Tahun 2010

Sesetengah sistem bermasalah sebaik kita menjengah tahun 2010. Sesetengah media menggelarkannya sebagai masalah Y2k+10 atau Y2.01k.


Masalah ini agak rumit untuk difahami oleh orang biasa, kerana masalah ini berkaitan dengan pengkodan nombor hexadecimal dan pengkodan nombor binari (BCD). Kedua-dua jenis pengkodan ini menafsirkan nombor 0 hingga 9 sebagai 0x0 hingga 0x9. Namun bagi nombor 10, BCD tafsirkan nombor itu sebagai 0x10, manakala bagi pengkodan hexadecimal, nombor 10 ditafsirkan sebagai 0x0A. Pengkodan nombor hexadecimal menafsirkan 0x10 sebagai nombor 16.


Sebagai contoh, protokol SMS menggunakan format BCD. Jadi sesetengah telefon bimbit yang menggunakan pengkodan hexadecimal (bukan BCD) telah tersilap menafsirkan tarikh 2010 sebagai tahun 2016. Windows Mobile merupakan antara perisian yang mengalami masalah ini.

Namun, masalah ini hanyalah kecil. Tidak mewujudkan kerisauan seperti bencana Y2k. Tak ramai pun yang menghadapi masalah ini.


Masalah Tahun 2038

Ramai yang tak tahu sebenarnya masalah tahun 2038 ini berkaitan dengan kita yang menggunakan teknologi baru sekarang ini. Saya pun baru tahu lepas membuat kajian ilmiah tentang bencana Y2k ini.

Secara dasarnya, timestamp Unix yang asal menyimpan data tarikh dan masa dalam bentuk 32-bit integer bagi menafsirkan bilangan saat sejak 1 Januari 1970. Namun pada tahun 2038 nanti, timestamp ini akan mengalami masalah kerana nombor tersebut akan terlebih daripada hadnya iaitu 231 – 1. 

Maka bagi mengatasi masalah ini, kebanyakan sistem telah beralih daripada sistem 32-bit kepada 64-bit. Seperti kebanyakan komputer sekarang ini, sejak Windows XP, sistem pemprosesan Windows telah menggunakan 64-bit (aplikasi x64) berbanding 32-bit (aplikasi x86) pada produk Windows sebelum ini.


Maka, sesetengah program dan aplikasi yang dicipta berdasarkan sistem 32-bit sudah tidak boleh digunakan pada komputer dan sistem yang menggunakan sistem 32-bit, melainkan syarikat pembangun aplikasi tersebut telah menyediakan update dan penukaran kepada sistem tersebut, seperti Microsoft Office.


Mungkin penyelesaian ini dilihat untuk jangka masa pendek sahaja, iaitu hanya boleh digunakan untuk 60 tahun yang akan datang sahaja.

Tak tahulah kenapa tidak di buat sehingga 96-bit ke kan. Mungkin agak susah dan kompleks sangat. Mungkin orang-orang ini tidak menjangkakan komputer akan digunakan sehingga 60 tahun lagi. Atau mereka menjangkakan bumi akan hancur dalam tempoh 60 tahun ini. Entahlah, tak tahu jawapan sebenarnya.

BERSAMBUNG LAGI

Sebenarnya saya mahu rangkumkan sekali bahagian seterusnya ke dalam bahagian kedua ini, namun artikel bahagian kedua ini agak kompleks dan saya jangkakan agak bosan memandangkan banyak berkaitan pengkomputeran yang kompleks diceritakan. Jadi saya berhenti dahululah di sini.

Untuk bahagian seterusnya (mungkin bahagian terakhir), saya akan ceritakan tentang bencana Y2k dalam Islam.

Sekian, wassalam.

Jumaat, 7 September 2012

Fobofobia


Aku rasa penyakit aku ini tidak ada penawar. Mungkin aku akan hidup dengan penyakit itu dan juga mati bersama penyakit itu. Aku tak dapat melawannya, kerana ia telah menjadi sebahagian dari diri aku.
Neofobia, itulah namanya. Ia bukan penyakit fizikal, ianya penyakit hati. Mungkin bukan dari hati tetapi ia seakan sifat semulajadi yang berada bersama sejak azali. Aku takut dengan perkara baru. Aku fobia dengan pengalaman baru. Aku tak sanggup meninggalkan yang telah sesuai dengan diriku, yang telah sebati dengan diriku.
Tetapi, sehingga saat ini aku bernafas, aku telah banyak melalui perkara baru, mempelajari benda baru. Mungkin aku takut, tetapi aku mampu menghadapinya setiap kali ia datang. Aku juga tidak menghadapi sesak nafas, menggigil, berpeluh berlebihan; yakni simptom penyakit fobia. Mungkin aku tidak ada penyakit ini. Mungkin ini cuma perasaan aku sahaja.
Namun, aku sedar pula, aku menghidap satu lagi fobia; Kronofobia : takut pada masa dan bergerak ke hadapan. Ya, aku tak sanggup menuju ke masa hadapan yang entah cerah entah kelam. Aku takut aku kehilangan masa indah yang aku ada sekarang.
Tetapi aku tidak pula menghentikan nafas aku. Biar aku bernoktah di sini. Tidak! Aku tidak akan cuba mengambil alih tugas Tuhan! Jadi aku hadapi dengan jayanya fobia tersebut. Maka adakah aku benar-benar fobia padanya?
Mungkin aku terlalu banyak berfikir. Mungkin aku hanya paranoid. Atau mungkin aku... Aku fobia dengan segala fobia! Oh, itulah maksud tajuknya!

Khamis, 6 September 2012

Bencana Y2K - Bahagian 1


Dunia sekarang ini dikatakan dunia yang penuh dengan teknologi. Komputer, telefon bimbit, televisyen, internet, dan macam-macam lagi; anda pasti tidak asing dengan benda-benda ini. Kehidupan seharian kita juga telah mula bergantung pada teknologi-teknologi ini.

Susah ada nak jumpa orang yang basuh pakaian di sungai lagi kerana mesin basuh sudah pun wujud. Perpustakaan pun sudah tidak menjadi tumpuan sepanjang waktu sebagai pusat rujukan utama kerana sudah adanya internet. Seiring dengan perkembangan teknologi, pelbagai pihak juga termasuk kerajaan telah menggunakan teknologi dalam setiap urusan mereka. Secara mudahnya, teknologi sangat memudahkan kehidupan.

Pernah tak anda terfikir, andai teknologi ini tiba-tiba lingkup sama sekali. Macam orang yang buat kerja guna laptop tanpa bateri (bergantung pada sumber elektrik sahaja), tiba-tiba bekalan elektrik terputus (blackout) dan tak sempat nak save. Oh, tidak, kena buat balik! Itu cuma kes terpencil melibatkan individu tertentu, orang tak kisah sangat pun. Bagaimana kalau tiba-tiba semua bahan elektronik dan teknologi ni tak dapat pakai tiba-tiba?

Oh, anda pernah terfikir? Tahu tak perkara sebegini sebenarnya pernah dijangkakan berlaku, dan menjadi igauan bagi mereka yang menhadapinya. Pergh, panjangnya lah mukadimah.

Y2k merupakan bencana yang dijangkakan melanda pada tahun 2000 melibatkan bahan elektronik dan teknologi. Bencana ini sangat ditakuti bagi golongan yang hidup sebelum era millenium (2000). Secara ringkasnya Y bermaksud year, k pula bermaksud kilo (x000 atau ribu), jadi bencana Y2k bermaksud bencana tahun 2000.


PUNCA

Secara umumnya, punca bencana ini sangat simple. Sejak komputer dicipta pada tahun 1941, pelbagai peningkatan atau improvement telah dilakukan. Komputer sekarang pun taklah sebesar waktu mula-mula diciptakan. Jadi, salah satu improvement yang telah dilakukan ialah dengan menyingkatkan tahun dari 4 digit kepada 2 digit. Contohnya tahun 1957 menjadi 57.

Perubahan ini dilakukan kerana ingin menjimatkan ruang yang digunakan memori komputer. Waktu dahulu, setiap ruang memori (atau memory space) dalam komputer sangatlah mahal. Pada permulaan, 1 bit berharga 1 dollar. Sebagai info tambahan, 1 bite (1b) bersamaan dengan 8 bit; 124bite = 1kilobite (1kb). Jadi kalau dokumen yang disave dalam bentuk Microsoft Office bersaiz 16kb, maka harganya ialah $15,872. Mampukah anda membayarnya?

Jadi kalau boleh, akan cuba dijimatkan sebanyak mungkin. Namun, yang menjadi persoalan, pada tahun 2000, apakah yang akan berlaku? Kerana 00 ketika itu dirujuk kepada tahun 1900. Maka sekiranya dikira beza 07/08/99 dengan 07/08/00, ditakuti akan dikira -99 (00 merujuk kepada 1900) berbanding jawapan 1 tahun (00 merujuk kepada 2000). Begitu juga tahun-tahun selepas 2000.


Tahun 2000 juga akan menimbulkan masalah ini : tahun lompat berlaku setiap 4 tahun. Dan setiap 100 tahun bukanlah tahun lompat, melainkan setiap 400 tahun. Tahun 2000 ini boleh dibahagikan dengan 4, 100 dan 400 juga. Jadi 2000 tahun lompat atau tidak?

Maka semua aplikasi teknologi akan lingkup gara-gara kesilapan ini. Dan kehidupan kita yang sedia bergantung kepada teknologi ini, akan kembali ke zaman lampau, elektrik tak boleh dipakai, air juga tak dapat disalirkan dan kapal terbang juga tak dapat digunakan.

Anda mungkin tidak nampak sangat kesannya pada diri sendiri, namun pada syarikat-syarikat besar, kerajaan dan sektor kewangan, perkara ini sangat merunsingkan. Sebagai contoh, maklumat perniagaan Y yang disimpan dalam komputer akan dikemaskini dan dihantar ke syarikat Y yang merupakan ‘bos’nya setiap tahun lompat. Jadi bagaimana tahun 2000 ini?

Contoh lain, syarikat air akan mengurangkan jumlah pengeluaran air domestik pada 3 Januari 2000 kerana dijangkakan paras air laut akan naik. Jadi sekiranya komputer yang mengendalikan syarikat air tersebut tidak dapat berfungsi gara-gara masalah tarikh itu yang dikira sebagai tahun 1900, maka pengeluaran air tidak akan dikurangkan, dan paras air domestik akan naik, seterusnya mampu menyebabkan banjir, empangan pecah dan sebagainya.

 
KESAN & PERSEDIAAN

Syarikat perkomputeran dan teknologi telah berusaha gigih untuk mengatasi masalah ini. Banyak perisian (software) komputer yang compatible (sesuai) dengan masalah Y2k ini telah dibangunkan. Sektor komputer dan teknologi ini juga berkembang dengan pantas sekali. Banyak pekerja diambil bekerja; dengan kerja yang sedikit, tetapi gaji yang besar; bagi memaksimumkan idea dan tenaga bagi mengatasi masalah ini.

Di pihak kerajaan pula, The International Y2K Cooperation Centre (IY2KCC) telah ditubuhkan dan bermesyuarat pada Disember 1998 di United Nations atau Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). IY2KCC ini disertai kira-kira 120 buah negara seluruh dunia dan cuba mencari penyelesaian melalui penyepakatan negara seluruh dunia.


HARI KEJADIAN

Setiap detik menuju 1 Januari 2000 dilalui penuh debaran. Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini yang dinantikan dan diraikan dengan perayaan tahun baru. Kebanyakan orang telah melakukan persediaan rapi dengan membeli bekalan makanan dan air bergelen-gelen, penjana elektrik dan sebagainya.

Beberapa syarikat penerbangan seperti Northwest Airlines tidak mahu meneruskan perkhidmatan penerbangan sehingga masalah Y2K ini diatasi. Syarikat HSBC pula telah menghentikan perkhidmatan penggunaan dan pemprosesan kad kredit dan kad debit. Syarikat tersebut menggunakan paper-based atau secara manual tanpa menggunakan komputer langsung, sehingga krisis Y2K itu berakhir.

 
Dan pada ketika jam berdetik ke pukul 12:00:00 AM, 1 Januari 2000; semua berdebar menantikan bencana yang dikatakan bakal berlaku. Namun, detik-detik berikutnya, tiada apa perkara dan kes yang besar, sebesar bencana berlaku. Yang ada pun beberapa kes terpencil seperti komputer persendirian. Mesin di hospital juga terus berfugsi dengan sedikit gangguan.

Maka ramai yang menarik nafas lega. Bencana yang dijangkakan tidak berlaku. Masing-masing meneruskan kehidupan seperti biasa. Dan meraikan tahun baru, zaman millenium dengan permulaan yang baru.

SELEPAS KEJADIAN

 
Selepas mengetahui tiada bencana besar yang berlaku, masing-masing meneruskan kehidupan seperti biasa. Kerajaan dan syarikat-syarikat besar pula telah mendapati perkhidmatan mereka telah mengalami peningkatan dan penambahbaikan yang amat baik sekali.

Beberapa kedai juga membenarkan penduduk yang telah membeli bergelen-gelen air dan sebagainya untuk memulangkan barang-barang tersebut.

AKAN BERSAMBUNG

Memandangkan agak panjang dah, artikel berkenaan Y2K ini akan saya sambung lagi. Untuk bahagian seterusnya, saya akan ceritakan tentang kes-kes yang asasnya sama macam bencana Y2K ni, serta bencana Y2K dari sudut Islam.

Sekian, wassalam.

Ahad, 19 Ogos 2012

Salam Aidilfitri 1433H

Assalamualaikum wbt.

Dari pihak penulis blog Jazmi : Tekadku Yang Kukuh ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 1433 Hijrah.

Gambar pun curi dari blog orang hasil carian Google Images, tak sempat nak buat sendiri




Semoga diampunkan segala salah silap diri ini. Apa-apa yang tak puas hati harap dihapuskan saja. Kalau tak boleh nak buang perasaan tak puas hati tu, boleh contact, kita settle cara baik. ;)

Tak nak merapu banyak-banyak lagi.

Sekian, wassalam. :)

Khamis, 16 Ogos 2012

Sejarah Jigsaw Puzzle


Assalamualaikum wbt.

Kali ni nak share sikit tentang sejarah. Bukan sejarah yang bosan, tetapi agak menarik jugak la; iaitu sejarah permainan susun suai gambar atau lebih dikenali dengan jigsaw puzzle.



Nak share sikit-sikit je, tak nak cerita pasal jenis puzzle, bentuknya dan apa-apa yang bosan untuk dibaca.

Untuk pengetahuan anda, jigsaw puzzle mula-mula sekali direka pada tahun 1767 oleh seorang bangsa British yang bernama John Spilsbury. Pergh, dah nak dekat 300 tahun dah rupanya usia jigsaw puzzle ni! Menurut fakta kat Wikipedia, John Spilsbury ni seorang pengukir dan pereka peta. Tapi ada jugak kat sesetengah laman web mengatakan dia ni seorang cikgu.

Macam mana John Spilsbury ni terfikir nak reka jigsaw puzzle ni? Encik John ni mula-mula buat jigsaw puzzle ni untuk tujuan pendidikan, iaitu untuk subjek geografi. Beliau telah melekatkan satu peta (tak pasti peta apa) atas sekeping kayu, kemudian potong bentuk negara-negara dalam peta tersebut. Agak berkesan jugak lah kan caranya itu. Apa kata anda cuba.

Dalam 3 abad berlalu, semestinya banyak perubahan dah berlaku. Dari tujuan pendidikan, jigsaw puzzle dah jadi permainan untuk suka-suka je. Pernah satu zaman ni, jigsaw puzzle jadi permainan untuk orang-orang dewasa sahaja, tetapi orang kaya dan berada sahaja. Jigsaw puzzle ni pun dulu guna kayu, tebal jugak lah. Tapi sekarang ni dah berubah atas kertas kadbod tebal je kan.

Jigsaw Puzzle zaman dulu-dulu


Kenapa pula namanya jigsaw puzzle? Kenapa tak letak sempena nama pereka tu ke kan? John puzzle. Haha. Sebenarnya ada kaitan jugak dengan namanya dengan cara puzzle ni direka. 

Waktu awal-awal direka, peta atau gambar yang dilekatkan atas kayu itu akan dipotong mengikut bentuk menggunakan jigsaw atau gergaji beraci. Dari situlah nama jigsaw puzzle itu wujud.


Jigsaw atau gergaji beraci

 Rasanya cukuplah setakat itu sahaja. Nanti boring pulak lagi kan. Apa-apa pun terima kasih kerana sudi membaca catatan yang tak seberapa ini.

Sekian, wassalam.

Jumaat, 3 Ogos 2012

Mahallah At-Tabari

Anda mungkin juga meminati :
- IIUM Kuantan
- IIUM Kuantan : Taaruf Week
- Sekitar Kuantan  

Assalamualaikum wbt.

Atas permintaan seorang sahabat ni, saya tulis pula pasal mahallah di UIAM Kuantan. Tapi, saya akan tulis tentang mahallah At-Tabari sahaja memandangkan saya tak biasa dengan mahallah lain.
Mahallah At-Tabari, IM7
PENDAHULUAN

Mahallah At-Tabari atau nama lain, Tabari, juga dipanggil Frankie terletak di Indera Mahkota 7 (IM7). Merupakan salah satu mahallah UIAM Kuantan yang terletak di luar kampus. Mahallah ini lebih dekat dengan kampus iaitu kira-kira 500 meter sahaja, berbanding dengan lagi satu mahallah di Indera Mahkota 2 (IM2).

SEJARAH

Mahallah At-Tabari dibangunkan pada 2011.  Kontraktor yang bertanggungjawab membina mahallah ini bernama Frank (something), dan dari situlah dapat gelaran Frankie. Kontraktor ini menjanjikan untuk menyiapkannya dalam masa enam bulan, tetapi telah siap lebih awal iaitu kira-kira empat bulan sahaja.

INFRASTRUKTUR

Mahallah At-Tabari terdiri dari 4 blok bangunan; 2 blok untuk pelajar lelaki (Tab 1 & 2) dan 2 blok untuk pelajar perempuan (Tab 3 & 4) yang dipisahkan dengan pagar. Pentadbiran mahallah terletak di tingkat bawah di blok Tab 1.


Bilik di Tabari mempunyai beberapa jenis, ada yang besar ada yang kecil. Paling kecil mampu memuatkan seramai 6 orang dan paling besar mampu memuatkan sehingga 10 orang. Setiap ruang dipisahkan dengan compartment; satu compartment satu pelajar. Setiap pelajar akan mendapat sebuah katil (dan tilam), meja (dengan lampu) dan juga sebuah locker besar.

KEMUDAHAN

Kebanyakan kemudahan disediakan di bangunan Tab 1. Kafe Mega Plan terletak di tingkat bawah Tab 1. Surau utama Tabari pula terletak bersebelahan dengan Mahallah Office, juga di Tab 1. Kiosk yang menjual barangan runcit dan keperluan asas juga terletak di tingkat bawah Tab 1.

Bagi pelajar lelaki yang mahu menonton televisyen, bilik TV ada di tingkat satu di bangunan Tab 1. Di mahallah office juga ada sebuah televisyen, tetapi akan berkunci setiap malam. Setiap televisyen dipasang bersama Astro. Bagi pelajar perempuan tak tahulah pulak.

Setiap blok dilengkapi beberapa buah mesin basuh pakaian dan mesin pengering pakaian. RM2.50 akan dikenakan setiap kali menggunakan mesin tersebut; hanya 50 sen sahaja diterima. Terdapat juga mesin bagi menukarkan duit kertas dengan duit syiling 50 sen. Syarikat yang menyediakan perkhidmatan ini pada masa ini sedang menaiktaraf mesin-mesin tersebut bagi membolehkan mesin menerima duit syiling baru.
Mesin Basuh (2), Pengering dan Mesin Tukar Duit

Walaupun terletak di luar kampus, namun mahallah ini masih dilengkapi dengan kemudahan WiFi. Anda cuma perlu mendaftar dengan ITD dan kemudian menggunakan WiFi IIUM-Community.

Sejak setahun yang lalu, tiada mesin air (water cooler dsb) disediakan di mahallah ini. Namun, pada April 2012 (kalau tak silap), mesin air tapisan telah disediakan di Tab 1 dan Tab 4; mengenakan caj antara 10 sen hingga 20 sen bagi setiap 500ml.

TEMPAT TUMPUAN

Tabari yang terletak di kawasan IM7 yang sedang pesat membangun. Kompleks Dagangan Mahkota (KDM) yang mempunyai pelbagai jenis perniagaan, terletak berhadapan dengan mahallah.
Kompleks Dagangan Mahkota (KDM), IM7

Di sebelah mahallah pula, sedang pesat dibangunkan sebuah pusat perniagaan yang dibina oleh syarikat yang agak popular di Pahang iaitu Tunas Manja Sdn. Bhd. Hotel yang dibina syarikat berkenaan pula, bernama Hotel Sri Manja telah siap dibina dan dibuka, terletak bersebelahan dengan Kompleks Dagangan Mahkota. 

Hotel Sri Manja yang baru dibuka

Kira-kira 500 meter ke arah Barat, terletaknya kawasan riadah buat penduduk Kuantan. Taman Jubli Perak Sultan Ahmad Shah atau lebih dikenali dengan Tasik Taman Bandar memang menjadi tumpuan buat golongan yang mahu beriadah atau sekadar mengambil angin.
Tasik Taman Bandar
Bersebelahan dengan Taman Bandar, berdirinya Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) yang menyediakan kawasan untuk pelbagai jenis sukan seperti hoki, menembak, dan boling padang. Pada SUKMA Ke-15 yang berlangsung di Pahang pada Julai 2012, kompleks ini menjadi tempat pertandingan untuk beberapa jenis sukan.

Di kawasan belakang sedikit dari IM7, wujudnya beberapa bangunan kerajaan negeri seperti bangunan KWSP, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Berhampiran dengan Jalan Sultan Abu Bakar (jalan utama ke bandar) sedang giat dibina sebuah hospital swasta. Di kawasan belakang KDM juga ada pembinaan sedang dijalankan (tak pasti bangunkan apa).
Pembangunan di belakang Kompleks Dagangan Mahkota
PENUTUP

Mahallah At-Tabari merupakan antara mahallah yang menjadi idaman pelajar IIUM Kuantan. Namun, bersyukur sajalah mahallah mana pun yang anda dapat. Asalkan ada tempat berteduh.