Jumaat, 7 September 2012

Fobofobia


Aku rasa penyakit aku ini tidak ada penawar. Mungkin aku akan hidup dengan penyakit itu dan juga mati bersama penyakit itu. Aku tak dapat melawannya, kerana ia telah menjadi sebahagian dari diri aku.
Neofobia, itulah namanya. Ia bukan penyakit fizikal, ianya penyakit hati. Mungkin bukan dari hati tetapi ia seakan sifat semulajadi yang berada bersama sejak azali. Aku takut dengan perkara baru. Aku fobia dengan pengalaman baru. Aku tak sanggup meninggalkan yang telah sesuai dengan diriku, yang telah sebati dengan diriku.
Tetapi, sehingga saat ini aku bernafas, aku telah banyak melalui perkara baru, mempelajari benda baru. Mungkin aku takut, tetapi aku mampu menghadapinya setiap kali ia datang. Aku juga tidak menghadapi sesak nafas, menggigil, berpeluh berlebihan; yakni simptom penyakit fobia. Mungkin aku tidak ada penyakit ini. Mungkin ini cuma perasaan aku sahaja.
Namun, aku sedar pula, aku menghidap satu lagi fobia; Kronofobia : takut pada masa dan bergerak ke hadapan. Ya, aku tak sanggup menuju ke masa hadapan yang entah cerah entah kelam. Aku takut aku kehilangan masa indah yang aku ada sekarang.
Tetapi aku tidak pula menghentikan nafas aku. Biar aku bernoktah di sini. Tidak! Aku tidak akan cuba mengambil alih tugas Tuhan! Jadi aku hadapi dengan jayanya fobia tersebut. Maka adakah aku benar-benar fobia padanya?
Mungkin aku terlalu banyak berfikir. Mungkin aku hanya paranoid. Atau mungkin aku... Aku fobia dengan segala fobia! Oh, itulah maksud tajuknya!

Khamis, 6 September 2012

Bencana Y2K - Bahagian 1


Dunia sekarang ini dikatakan dunia yang penuh dengan teknologi. Komputer, telefon bimbit, televisyen, internet, dan macam-macam lagi; anda pasti tidak asing dengan benda-benda ini. Kehidupan seharian kita juga telah mula bergantung pada teknologi-teknologi ini.

Susah ada nak jumpa orang yang basuh pakaian di sungai lagi kerana mesin basuh sudah pun wujud. Perpustakaan pun sudah tidak menjadi tumpuan sepanjang waktu sebagai pusat rujukan utama kerana sudah adanya internet. Seiring dengan perkembangan teknologi, pelbagai pihak juga termasuk kerajaan telah menggunakan teknologi dalam setiap urusan mereka. Secara mudahnya, teknologi sangat memudahkan kehidupan.

Pernah tak anda terfikir, andai teknologi ini tiba-tiba lingkup sama sekali. Macam orang yang buat kerja guna laptop tanpa bateri (bergantung pada sumber elektrik sahaja), tiba-tiba bekalan elektrik terputus (blackout) dan tak sempat nak save. Oh, tidak, kena buat balik! Itu cuma kes terpencil melibatkan individu tertentu, orang tak kisah sangat pun. Bagaimana kalau tiba-tiba semua bahan elektronik dan teknologi ni tak dapat pakai tiba-tiba?

Oh, anda pernah terfikir? Tahu tak perkara sebegini sebenarnya pernah dijangkakan berlaku, dan menjadi igauan bagi mereka yang menhadapinya. Pergh, panjangnya lah mukadimah.

Y2k merupakan bencana yang dijangkakan melanda pada tahun 2000 melibatkan bahan elektronik dan teknologi. Bencana ini sangat ditakuti bagi golongan yang hidup sebelum era millenium (2000). Secara ringkasnya Y bermaksud year, k pula bermaksud kilo (x000 atau ribu), jadi bencana Y2k bermaksud bencana tahun 2000.


PUNCA

Secara umumnya, punca bencana ini sangat simple. Sejak komputer dicipta pada tahun 1941, pelbagai peningkatan atau improvement telah dilakukan. Komputer sekarang pun taklah sebesar waktu mula-mula diciptakan. Jadi, salah satu improvement yang telah dilakukan ialah dengan menyingkatkan tahun dari 4 digit kepada 2 digit. Contohnya tahun 1957 menjadi 57.

Perubahan ini dilakukan kerana ingin menjimatkan ruang yang digunakan memori komputer. Waktu dahulu, setiap ruang memori (atau memory space) dalam komputer sangatlah mahal. Pada permulaan, 1 bit berharga 1 dollar. Sebagai info tambahan, 1 bite (1b) bersamaan dengan 8 bit; 124bite = 1kilobite (1kb). Jadi kalau dokumen yang disave dalam bentuk Microsoft Office bersaiz 16kb, maka harganya ialah $15,872. Mampukah anda membayarnya?

Jadi kalau boleh, akan cuba dijimatkan sebanyak mungkin. Namun, yang menjadi persoalan, pada tahun 2000, apakah yang akan berlaku? Kerana 00 ketika itu dirujuk kepada tahun 1900. Maka sekiranya dikira beza 07/08/99 dengan 07/08/00, ditakuti akan dikira -99 (00 merujuk kepada 1900) berbanding jawapan 1 tahun (00 merujuk kepada 2000). Begitu juga tahun-tahun selepas 2000.


Tahun 2000 juga akan menimbulkan masalah ini : tahun lompat berlaku setiap 4 tahun. Dan setiap 100 tahun bukanlah tahun lompat, melainkan setiap 400 tahun. Tahun 2000 ini boleh dibahagikan dengan 4, 100 dan 400 juga. Jadi 2000 tahun lompat atau tidak?

Maka semua aplikasi teknologi akan lingkup gara-gara kesilapan ini. Dan kehidupan kita yang sedia bergantung kepada teknologi ini, akan kembali ke zaman lampau, elektrik tak boleh dipakai, air juga tak dapat disalirkan dan kapal terbang juga tak dapat digunakan.

Anda mungkin tidak nampak sangat kesannya pada diri sendiri, namun pada syarikat-syarikat besar, kerajaan dan sektor kewangan, perkara ini sangat merunsingkan. Sebagai contoh, maklumat perniagaan Y yang disimpan dalam komputer akan dikemaskini dan dihantar ke syarikat Y yang merupakan ‘bos’nya setiap tahun lompat. Jadi bagaimana tahun 2000 ini?

Contoh lain, syarikat air akan mengurangkan jumlah pengeluaran air domestik pada 3 Januari 2000 kerana dijangkakan paras air laut akan naik. Jadi sekiranya komputer yang mengendalikan syarikat air tersebut tidak dapat berfungsi gara-gara masalah tarikh itu yang dikira sebagai tahun 1900, maka pengeluaran air tidak akan dikurangkan, dan paras air domestik akan naik, seterusnya mampu menyebabkan banjir, empangan pecah dan sebagainya.

 
KESAN & PERSEDIAAN

Syarikat perkomputeran dan teknologi telah berusaha gigih untuk mengatasi masalah ini. Banyak perisian (software) komputer yang compatible (sesuai) dengan masalah Y2k ini telah dibangunkan. Sektor komputer dan teknologi ini juga berkembang dengan pantas sekali. Banyak pekerja diambil bekerja; dengan kerja yang sedikit, tetapi gaji yang besar; bagi memaksimumkan idea dan tenaga bagi mengatasi masalah ini.

Di pihak kerajaan pula, The International Y2K Cooperation Centre (IY2KCC) telah ditubuhkan dan bermesyuarat pada Disember 1998 di United Nations atau Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). IY2KCC ini disertai kira-kira 120 buah negara seluruh dunia dan cuba mencari penyelesaian melalui penyepakatan negara seluruh dunia.


HARI KEJADIAN

Setiap detik menuju 1 Januari 2000 dilalui penuh debaran. Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini yang dinantikan dan diraikan dengan perayaan tahun baru. Kebanyakan orang telah melakukan persediaan rapi dengan membeli bekalan makanan dan air bergelen-gelen, penjana elektrik dan sebagainya.

Beberapa syarikat penerbangan seperti Northwest Airlines tidak mahu meneruskan perkhidmatan penerbangan sehingga masalah Y2K ini diatasi. Syarikat HSBC pula telah menghentikan perkhidmatan penggunaan dan pemprosesan kad kredit dan kad debit. Syarikat tersebut menggunakan paper-based atau secara manual tanpa menggunakan komputer langsung, sehingga krisis Y2K itu berakhir.

 
Dan pada ketika jam berdetik ke pukul 12:00:00 AM, 1 Januari 2000; semua berdebar menantikan bencana yang dikatakan bakal berlaku. Namun, detik-detik berikutnya, tiada apa perkara dan kes yang besar, sebesar bencana berlaku. Yang ada pun beberapa kes terpencil seperti komputer persendirian. Mesin di hospital juga terus berfugsi dengan sedikit gangguan.

Maka ramai yang menarik nafas lega. Bencana yang dijangkakan tidak berlaku. Masing-masing meneruskan kehidupan seperti biasa. Dan meraikan tahun baru, zaman millenium dengan permulaan yang baru.

SELEPAS KEJADIAN

 
Selepas mengetahui tiada bencana besar yang berlaku, masing-masing meneruskan kehidupan seperti biasa. Kerajaan dan syarikat-syarikat besar pula telah mendapati perkhidmatan mereka telah mengalami peningkatan dan penambahbaikan yang amat baik sekali.

Beberapa kedai juga membenarkan penduduk yang telah membeli bergelen-gelen air dan sebagainya untuk memulangkan barang-barang tersebut.

AKAN BERSAMBUNG

Memandangkan agak panjang dah, artikel berkenaan Y2K ini akan saya sambung lagi. Untuk bahagian seterusnya, saya akan ceritakan tentang kes-kes yang asasnya sama macam bencana Y2K ni, serta bencana Y2K dari sudut Islam.

Sekian, wassalam.

Ahad, 19 Ogos 2012

Salam Aidilfitri 1433H

Assalamualaikum wbt.

Dari pihak penulis blog Jazmi : Tekadku Yang Kukuh ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 1433 Hijrah.

Gambar pun curi dari blog orang hasil carian Google Images, tak sempat nak buat sendiri




Semoga diampunkan segala salah silap diri ini. Apa-apa yang tak puas hati harap dihapuskan saja. Kalau tak boleh nak buang perasaan tak puas hati tu, boleh contact, kita settle cara baik. ;)

Tak nak merapu banyak-banyak lagi.

Sekian, wassalam. :)

Khamis, 16 Ogos 2012

Sejarah Jigsaw Puzzle


Assalamualaikum wbt.

Kali ni nak share sikit tentang sejarah. Bukan sejarah yang bosan, tetapi agak menarik jugak la; iaitu sejarah permainan susun suai gambar atau lebih dikenali dengan jigsaw puzzle.



Nak share sikit-sikit je, tak nak cerita pasal jenis puzzle, bentuknya dan apa-apa yang bosan untuk dibaca.

Untuk pengetahuan anda, jigsaw puzzle mula-mula sekali direka pada tahun 1767 oleh seorang bangsa British yang bernama John Spilsbury. Pergh, dah nak dekat 300 tahun dah rupanya usia jigsaw puzzle ni! Menurut fakta kat Wikipedia, John Spilsbury ni seorang pengukir dan pereka peta. Tapi ada jugak kat sesetengah laman web mengatakan dia ni seorang cikgu.

Macam mana John Spilsbury ni terfikir nak reka jigsaw puzzle ni? Encik John ni mula-mula buat jigsaw puzzle ni untuk tujuan pendidikan, iaitu untuk subjek geografi. Beliau telah melekatkan satu peta (tak pasti peta apa) atas sekeping kayu, kemudian potong bentuk negara-negara dalam peta tersebut. Agak berkesan jugak lah kan caranya itu. Apa kata anda cuba.

Dalam 3 abad berlalu, semestinya banyak perubahan dah berlaku. Dari tujuan pendidikan, jigsaw puzzle dah jadi permainan untuk suka-suka je. Pernah satu zaman ni, jigsaw puzzle jadi permainan untuk orang-orang dewasa sahaja, tetapi orang kaya dan berada sahaja. Jigsaw puzzle ni pun dulu guna kayu, tebal jugak lah. Tapi sekarang ni dah berubah atas kertas kadbod tebal je kan.

Jigsaw Puzzle zaman dulu-dulu


Kenapa pula namanya jigsaw puzzle? Kenapa tak letak sempena nama pereka tu ke kan? John puzzle. Haha. Sebenarnya ada kaitan jugak dengan namanya dengan cara puzzle ni direka. 

Waktu awal-awal direka, peta atau gambar yang dilekatkan atas kayu itu akan dipotong mengikut bentuk menggunakan jigsaw atau gergaji beraci. Dari situlah nama jigsaw puzzle itu wujud.


Jigsaw atau gergaji beraci

 Rasanya cukuplah setakat itu sahaja. Nanti boring pulak lagi kan. Apa-apa pun terima kasih kerana sudi membaca catatan yang tak seberapa ini.

Sekian, wassalam.

Jumaat, 3 Ogos 2012

Mahallah At-Tabari

Anda mungkin juga meminati :
- IIUM Kuantan
- IIUM Kuantan : Taaruf Week
- Sekitar Kuantan  

Assalamualaikum wbt.

Atas permintaan seorang sahabat ni, saya tulis pula pasal mahallah di UIAM Kuantan. Tapi, saya akan tulis tentang mahallah At-Tabari sahaja memandangkan saya tak biasa dengan mahallah lain.
Mahallah At-Tabari, IM7
PENDAHULUAN

Mahallah At-Tabari atau nama lain, Tabari, juga dipanggil Frankie terletak di Indera Mahkota 7 (IM7). Merupakan salah satu mahallah UIAM Kuantan yang terletak di luar kampus. Mahallah ini lebih dekat dengan kampus iaitu kira-kira 500 meter sahaja, berbanding dengan lagi satu mahallah di Indera Mahkota 2 (IM2).

SEJARAH

Mahallah At-Tabari dibangunkan pada 2011.  Kontraktor yang bertanggungjawab membina mahallah ini bernama Frank (something), dan dari situlah dapat gelaran Frankie. Kontraktor ini menjanjikan untuk menyiapkannya dalam masa enam bulan, tetapi telah siap lebih awal iaitu kira-kira empat bulan sahaja.

INFRASTRUKTUR

Mahallah At-Tabari terdiri dari 4 blok bangunan; 2 blok untuk pelajar lelaki (Tab 1 & 2) dan 2 blok untuk pelajar perempuan (Tab 3 & 4) yang dipisahkan dengan pagar. Pentadbiran mahallah terletak di tingkat bawah di blok Tab 1.


Bilik di Tabari mempunyai beberapa jenis, ada yang besar ada yang kecil. Paling kecil mampu memuatkan seramai 6 orang dan paling besar mampu memuatkan sehingga 10 orang. Setiap ruang dipisahkan dengan compartment; satu compartment satu pelajar. Setiap pelajar akan mendapat sebuah katil (dan tilam), meja (dengan lampu) dan juga sebuah locker besar.

KEMUDAHAN

Kebanyakan kemudahan disediakan di bangunan Tab 1. Kafe Mega Plan terletak di tingkat bawah Tab 1. Surau utama Tabari pula terletak bersebelahan dengan Mahallah Office, juga di Tab 1. Kiosk yang menjual barangan runcit dan keperluan asas juga terletak di tingkat bawah Tab 1.

Bagi pelajar lelaki yang mahu menonton televisyen, bilik TV ada di tingkat satu di bangunan Tab 1. Di mahallah office juga ada sebuah televisyen, tetapi akan berkunci setiap malam. Setiap televisyen dipasang bersama Astro. Bagi pelajar perempuan tak tahulah pulak.

Setiap blok dilengkapi beberapa buah mesin basuh pakaian dan mesin pengering pakaian. RM2.50 akan dikenakan setiap kali menggunakan mesin tersebut; hanya 50 sen sahaja diterima. Terdapat juga mesin bagi menukarkan duit kertas dengan duit syiling 50 sen. Syarikat yang menyediakan perkhidmatan ini pada masa ini sedang menaiktaraf mesin-mesin tersebut bagi membolehkan mesin menerima duit syiling baru.
Mesin Basuh (2), Pengering dan Mesin Tukar Duit

Walaupun terletak di luar kampus, namun mahallah ini masih dilengkapi dengan kemudahan WiFi. Anda cuma perlu mendaftar dengan ITD dan kemudian menggunakan WiFi IIUM-Community.

Sejak setahun yang lalu, tiada mesin air (water cooler dsb) disediakan di mahallah ini. Namun, pada April 2012 (kalau tak silap), mesin air tapisan telah disediakan di Tab 1 dan Tab 4; mengenakan caj antara 10 sen hingga 20 sen bagi setiap 500ml.

TEMPAT TUMPUAN

Tabari yang terletak di kawasan IM7 yang sedang pesat membangun. Kompleks Dagangan Mahkota (KDM) yang mempunyai pelbagai jenis perniagaan, terletak berhadapan dengan mahallah.
Kompleks Dagangan Mahkota (KDM), IM7

Di sebelah mahallah pula, sedang pesat dibangunkan sebuah pusat perniagaan yang dibina oleh syarikat yang agak popular di Pahang iaitu Tunas Manja Sdn. Bhd. Hotel yang dibina syarikat berkenaan pula, bernama Hotel Sri Manja telah siap dibina dan dibuka, terletak bersebelahan dengan Kompleks Dagangan Mahkota. 

Hotel Sri Manja yang baru dibuka

Kira-kira 500 meter ke arah Barat, terletaknya kawasan riadah buat penduduk Kuantan. Taman Jubli Perak Sultan Ahmad Shah atau lebih dikenali dengan Tasik Taman Bandar memang menjadi tumpuan buat golongan yang mahu beriadah atau sekadar mengambil angin.
Tasik Taman Bandar
Bersebelahan dengan Taman Bandar, berdirinya Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) yang menyediakan kawasan untuk pelbagai jenis sukan seperti hoki, menembak, dan boling padang. Pada SUKMA Ke-15 yang berlangsung di Pahang pada Julai 2012, kompleks ini menjadi tempat pertandingan untuk beberapa jenis sukan.

Di kawasan belakang sedikit dari IM7, wujudnya beberapa bangunan kerajaan negeri seperti bangunan KWSP, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Berhampiran dengan Jalan Sultan Abu Bakar (jalan utama ke bandar) sedang giat dibina sebuah hospital swasta. Di kawasan belakang KDM juga ada pembinaan sedang dijalankan (tak pasti bangunkan apa).
Pembangunan di belakang Kompleks Dagangan Mahkota
PENUTUP

Mahallah At-Tabari merupakan antara mahallah yang menjadi idaman pelajar IIUM Kuantan. Namun, bersyukur sajalah mahallah mana pun yang anda dapat. Asalkan ada tempat berteduh.

Rabu, 1 Ogos 2012

Sekitar Kuantan

Anda mungkin juga meminati :
- IIUM Kuantan
- IIUM Kuantan : Taaruf Week 
- Mahallah At-Tabari 

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

Maaf buat sesiapa yang menantikan entri terbaru tentang UIAM Kuantan. Tak berkesempatan nak menulis, juga tak ada sumber internet untuk online.

Kali ini saya bawakan entri tentang Kuantan dan tempat menarik/tumpuan sekitarnya.

Tasik Taman Bandar/Taman Jubli Perak Sultan Ahmad Shah
Haa, tengok nama tempat pun dah tau kan apa yang ada kat sini. Taman Jubli Perak Sultan Ahmad Shah atau nama manjanya, Taman Bandar sememangnya tempat tumpuan buat penduduk sekitar untuk beriadah dan bersantai.

Selalu juga ada pertandingan memancing, senamrobik dan pelbagai lagi acara berlangsung di sini. Pada Mei 2012, dilangsungkan Hari Belia (Yo!Fest) peringkat negeri Pahang di sini.
Terletak agak berhampiran dengan UIAM Kuantan iaitu kurang daripada 1km, dan lebih kurang 500m dari Mahallah At-Tabari. Sememangnya tempat tumpuan buat pelajar UIAM Kuantan juga untuk beriadah dan bersantai di samping mengadakan pelbagai aktiviti dan majlis/acara di sini. Ada juga buat filem (pendek) kat sini dan ada juga yang buat birthday surprise (prank) kat sini!

Maklumat lanjut tentang Taman Bandar ni boleh didapati di sini.

Teluk Chempedak

Salah satu kawasan pantai yang terkenal di Kuantan. Agak pesat di sini dengan pelbagai aktiviti perniagaan di samping pelbagai bangunan restoran, hotel dan kedai wujud di tepi pantai ini. Kalau nak aman sikit dari kawasan orang ramai, kena berjalan sikit menaiki jambatan panjang ke bahagian belakang Teluk Chempedak.

Jalan ke bahagian belakang Teluk Chempedak
Pantai bahagian belakang Teluk Chempedak

Air Terjun Sungai Pandan
Sebuah tempat tumpuan orang ramai yang mahu dekat dengan alam. Perjalanan dari Kuantan memakan masa kira-kira sejam.
Ada kemudahan asas disediakan seperti tempat letak kenderaan, tandas dan pondok kecil. Boleh juga berkhemah (camping) di samping berkelah dan mandi-manda.
Setiap kenderaan yang masuk dikenakan bayaran RM2.

Gua Charas

Salah satu gua yang terkenal di Kuantan, tapi sebenarnya bukanlah tempat menarik untuk dilawati pun. Saya masukkan sekali untuk beritahu bahawa anda tidak digalakkan untuk berkunjung di sana.
Dikenakan bayaran RM5 (kalau tak silap) untuk setiap kenderaan, kemudian perlu panjat tangga yang curam. Ingatkan RM5 tu ada pemandu pelancong ke, hampeh. Kemudian sampai di puncak (gua) dan ada gua lah, dengan dindingnya penuh dengan contengan nombor ekor, in memory dan lain-lain, selain dapat melihat hutan dari pandangan atas.
Ada sebuah gua di bahagian bawah sikit dari puncaknya, ada aktiviti keagamaan bagi agama Buddha. Sebaiknya anda tidak masuk, kerana gua tersebut tak tembus ke mana-mana selain perlu menghirup udara yang terperangkap di dalam gua tersebut. Ada juga patung-patung Buddha dan alat-alat keagaamaan Buddha. Tangga di situ juga agak curam dengan tempat pemegang yang agak rapuh.

Oh ya, untuk sampai ke sana, anda perlu melalui jalan kelapa sawit yang penuh dengan najis haiwan dan jalan tanah yang kurang lancar.

Sungai Lembing

Perjalanan ke Sungai Lembing memakan masa lebih dari sejam. Sama jalan kalau nak ke Sungai Pandan. Jadi, kalau nak pergi sungai lembing ni, pergi la sekali Sungai Pandan tu. Sekali harung je orang kata.

Sungai Lembing ini sekadar kawasan kampung, tapi bagi saya aman damai suasananya.

Ada muzium (sejarah) dan beberapa kawasan pelancongan (tak ingat). Ada juga sungai tempat mandi-manda.
Semasa berada di sana, saya sempat makan di medan seleranya, yang turut ada kedai menjual cenderamata. Harganya agak murah jika dibandingkan dengan harga di Kuantan. Penduduk di situ juga agak ramah.

Bukit Gambang Waterpark
Satu tempat bertemakan taman air (seperti Sunway Lagoon dan Lost World Tambun). Bayaran masuk untuk dewasa sekitar bawah RM30. Ada promosi istimewa jika anda pergi pada hari jadi anda.
Jika anda ke sini, kena bawa duit lebih sikit sebab (sebaiknya) perlu sewa pelampung untuk kebanyakan aktivitinya. Ada juga disediakan locker untuk menyimpan barang berharga. Juga ada beberapa kedai makan dan restoran disediakan, selain surau dan tandas.

Pastikan anda berpakaian sesuai untuk masuk ke taman air ini.

Tempat-tempat Lain

>Pusat beli-belah
  •         Kuantan Berjaya Megamall
  •         East Coast Mall
  •         Kuantan Parade
  •         Giant Kuantan
  •         Tunas Manja, Indera Mahkota
  •         Cowboy, Kuantan
>Pasar Malam
  •         Bandar (Jalan Gambut) – setiap Sabtu
  •         Indera Mahkota 1 – setiap Jumaat
  •       Hari Selasa ada jugak rasanya tapi tak pasti kat mana, tak pernah pergi. IM2 rasanya.
  •  *lain-lain pasar malam tak ada info
>Makan & Minum
  •         Tanjung Lumpur
  •         Bukit Sekilau (Murtabak Mengkasar)
  •         Medan Selera Jungle, Indera Mahkota
>Siar-siar
  •         Espalanade Kuantan
  •         Pantai Cherating
  •         Pantai Balok
  •         Taman Gelora
  •         Tanjung Api
  •         Bukit Bay Route
>Landmark
  •         Masjid Sultan Ahmad 1 (Masjid Negeri)
  •         Stadium Darul Makmur
  •         Terminal Bas Makmur
  •         Kompleks Sukan Pahang (Sukpa)
  •         Wisma Belia, Indera Mahkota
>Bandar Terdekat
  •         Pekan (Bandar Diraja)
  •         Kemaman
  •         Kuala Terengganu
  •         Dungun
  •         Besut

Penutup
Kalau boleh saya nak beritahu sekali tentang tempat-tempat lain, tapi memandangkan dah cukup panjang, saya listkan sajalah. Boleh buat request sepcial (emel/komen blog/Facebook) atau nanti explore sendirilah bila dah ada kat Kuantan. :P

Akhir kata, selamat menjejakkan kaki ke Kuantan. :)

Kredit
Terima kasih kepada kawan satu batch; Tawfiq, Fitri, Irfan, Nazmi & Burhan; yang terlibat sama dalam gambar-gambar di atas. :D