Rabu, 10 Mac 2010

SPM 2009 DAN KEJUTANNYA

KEPUTUSAN peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 bakal diumumkan dalam beberapa hari sahaja lagi. Seperti biasa, pastinya calon-calon SPM 2009 berdebar menantikan keputusan yang bakal diterima. Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Berjaya kepada semua calon SPM 2009 dan juga STAM 2009. Moga segala usaha dan doa anda diberkati dan dimakbulkan.

Dalam ruang bicara pada hari ini, bukanlah saya ingin sekadar mendoakan kejayaan calon-calon SPM 2009, tetapi saya ingin membincangkan dengan lebih lanjut tentang peperiksaan SPM 2009 tersebut (maaf calon STAM, saya tidak berkesempatan untuk menilai peperiksaan anda). Sekiranya anda menyedari (pastinya kebanyakan calon SPM 2009 menyedari), SPM 2009 bukanlah suatu peperiksaan SPM yang biasa dihadapi. Pelbagai dugaan ditempuhi disebabkan banyak 'ujikaji' dilakukan pada tahun SPM 2009.

Biar saya sebutkan sedikit. Pada 9 September 2009, Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju bahawa format penggredan mulai SPM 2009 berubah. Gred A1, A2, B3, B4, C5, C6, D7, G8 dimansuhkan dan digantikan dengan A+, A, A-, B+, B, C+, C, D, E & G. Tetapi, untuk pengetahuan anda, berita hanya diumumkan pada 12 Oktober 2009.


Jika anda mengkaji tarikh pengumuman tersebut, pasti anda menyedari bahawa tarikh tersebut hanyalah lebih kurang sebulan sahaja sebelum calon SPM 2009 menduduki peperiksaan SPM(Peperiksaan bertulis SPM 2009 bermula 18 November 2009). Saya yakin ketika itu, tiada satu sekolah pun sempat mengaplikasikan sistem penggredan tersebut ketika peperiksaan biasa mahupun peperiksaan percubaan.

Lagi, buat pertama kali (mungkin), jadual SPM 2009 dilaksanakan sebelum dan selepas Hari Raya Aidiladha. Mungkin kalau nak diikutkan, tidaklah penting sangat. Tetapi harus diingatkan bahawa kebanyakan pelajar asrama yang rumahnya jauh tidak akan pulang dan menyambut dengan keluarga. Lebih membebankan, pihak penyedia makanan pelajar asrama ini (yang kebanyakannya sudah berkeluarga) turut tidak dapat bersama ahli keluarga untuk menyambut hari raya ini. Mungkin Hari Raya Aidiladha ini tidaklah semeriah Aidilfitri tetapi perlu diingatkan bahawa Aidilladha juga antara dua hari kebesaran Islam dalam setiap tahun. Mungkin kerana kerajaan kita tidaklah seratus peratus kerajaan Islam, jadi perkara in dipandang enteng.

Lagi, mulai 2009, calon SPM yang cemerlang gemilang terbilang, berpeluang memperoleh biasiswa khas diberikan kerajaan Malaysia. Namun, bukanlah dipilih calon yang top 30, tetapi mana-mana pelajar yang memperoleh keputusan straight A+ sahaja yang dibenarkan untuk memohon. Kemudian, akan diadakan temuduga untuk pemilihan terakhir.

Terbaru, saya mendapat makluman daripada guru saya, bahwa penandaan SPM 2009 sangat sangat strict! Mana-mana jawapan yang tidak ada dalam skema jawapan akan ditolak terus tanpa dibincangkan dahulu, tidak seperti yang dilaksanakan seperti tahun-tahun sebelum ini. Mungkin akan menyenangkan pemeriksa. Gred SPM kali ini juga amat-amat stict! tak akan wujud turun naik graf, fix pada satu point. (Guru yang beritahu saya adalah guru biologi dan dia hanya menyebut tentang biologi, jadi saya tak pasti untuk subjek lain).

Baiklah, saya rasa cukup setakat itu saya dedahkan walaupun banyak lagi sebenarnya (lebih-lebih lagi sekiranya mahu disentuh tentang batch ini sejak sekolah rendah). Ok, masa untuk bincang. Kalau nak dilihat segala langkah yang dilaksanakan, mungkin akan nampak baiknya. Kawan saya pernah komen tentang perkara ini : "Baguslah! lepas ini barulah lahir doktor-doktor yang berkualiti!". Kalau nak dilihat tanpa dipandang jauh, memang benar kenyataannya. Namun, saya akan cuba membawa anda melihat dari sudut yang lebih jauh, mungkin luar daripada kotak (out of the box).

Sekiranya anda prihatin dengan masyarakat, pasti anda akan menyedari bahawa ada yang mengadu bahawa wujudnya golongan pekerja profesional (seperti doktor, arkitek, jurutera dsb) yang tidaklah begitu berkualiti. Juga, ada yang mengadu bahawa pelajar-pelajar di peringkat kolej dan universiti tidaklah menyerlah seperti di sekolah rendah dan menengah dahulu. Mungkin boleh dipetik berita tentang pelajar pandai, Saffiyah yang merupakan pelajar Malaysia termuda yang memasuki universiti luar negara, telah menawarkan perkhidmatan seks di luar negara. Jadi, persoalan di sini, apakah puncanya?

Kementerian (khususnya Kementerian Pelajaran) mungkin tidak mengkaji dengan lebih mendalam. Tidak belajar daripada kesilapan lalu. Mereka tidak bertindak seperti yang sepatutnya. Lebih mengecewakan tindakan yang diambil lebih menjurus kepada keburukan yang lebih buruk daripada peristiwa lalu. Penggredan semula, mungkin kita akan mewujudkan pelajar yang cemerlang, tetapi hanya pada kertas sahaja pandainya (sama sahaja seperti sebelum ini dan sebenarnya lebih teruk). Penandaan strict SPM, seperti menyekat kebebasan berfikir oleh pelajar. Jadual SPM 2009 sebelum dan selepas Aidiladha, mungkin sebenarnya antara langkah mencabar kedaulatan agama Islam di negara ini.

Biasiswa Negara, seakan langkah bijak tetapi kalau diteliti, biasiswa ini diuruskan pihak JPA, jadi mungkin tarafnya sama sahaja dengan biasiswa JPA tetapi tinggi sedikit. Tetapi dalam keadaan kegawatan ekonomi, logikkah mewujudkan perkara ini? Mungkin nanti yang dipilih adalah pelajar jurusan yang memerlukan kos yang rendah atau kalau jurusan yang berkos tinggi seperti perubatan, mungkin akan dihantar ke negara yang hebat, tetapi universiti yang teruk.

Memetik kenyataan senior saya yang mendapat biasiswa MARA dan sedang menghabiskan pelajarannya di Russia, mungkin orang kita telah diprogramkan agar menyanjung pelajar perubatan di Russia kerana ada universiti di sana yang berada dalam senarai universiti terbaik. Malangnya, senior saya memberitahu bahawa mereka bukanlah dihantar ke universiti yang hebat tersebut, tetapi hanyalah universiti yang berstandard biasa atau rendah, di mana kualitinya teruk, fasilitinya juga tidak lengkap dsb. Mungkin ini taktik kementerian untuk menjimatkan kos, tetapi perlukah mereka menipu sebegitu?

Jadi, apakah yang dilahirkan kerajaan sebenarnya? Waris negara yang bagaimana yang cuba dibentuk? Adakah benar pelajar-pelajar yang cemerlang yang dilahirkan? Golongan profesional yang berkualiti tinggi? Generasi yang bakal menjadikan Malaysia maju? Mungkin kementerian perlu fikirkan semula.

Baginilah, saya cadangkan, sistem penggredan diubah. Gred itu tidak hanya pada kertas peperiksaan sahaja tetapi juga merangkumi aktiviti amali dan praktikal, juga sikap. Mungkin sebelum ini sudah pun wujud sebegitu (seperti PEKA dan PAFA), tetapi siapa yang pantau? Hanya guru-guru sahaja diberi tanggungjawab mengadilinya, tetapi kalau anda mahu pelajar anda dikatakan 'cemerlang', pastinya cara penilaiannya juga begitu mudah agar mereka berjaya mendapat keputusan cemerlang. Sudahlah contoh dan keputusan penilaian juga sudah dikeluarkan, jadi para pelajar hanya perlu copy-paste dan kemudian, cemerlanglah (kononnya). Inikah yang mahu dilahirkan? Kononnya seperti Albert Einstein, Alfred Nobel, Alexender Graham Bell? Ibnu Sina, Al-Batani, Khawarizmi? Fikirkan dan kaji semula.

Kemudian, saya cadangkan sekiranya jadual SPM bertembung dengan mana-mana perayaan besar, tidak kisahlah Aidilfitri, Aidiladha, Tahun Baru Cina atau Deepavali, perlulah diberikan cuti yang lebih panjang, mungkin seminggu sekurang-kurangnya agar penghormatan terhadap perayaan keagamaan dapat diwujudkan. Dan pelajar-pelajar asrama diwajibkan atau digalakkan untuk pulang ke rumah masing-masing. Sekiranya tidak mahu begitu, habiskan awal SPM tersebut atau mulakan selepas perayaan tersebut.

Saya juga cadangkan agar penandaan SPM kembali seperti dahulu (tidak strict pada skema) dan bincangkan jawapan pelajar yang tiada dalam skema tetapi ada kebenarannya. Kemudian biasiswa pula ditawarkan pada pelajar yang hanya benar-benar memerlukan dan berkelayakan. Jika diikutkan, biasiswa itu ada diberikan pada pelajar yang berkemampuan, jadi ini tidak adil kepada pelajar yang turut cemerlang tetapi tidak berkemampuan. Ada yang siap jadi kaya lagi selepas habis pengajian, di mana duit biasiswa tidak digunakan langsung (atau digunakan sedikit) memandangkan boleh bergantung pada wang ahli keluarga yang lain. Kerajaan juga tidak menghantar pelajar ke universiti yang berkualiti rendah. Biarlah kos agak tinggi tetapi tidak kisahlah kerana yang diberikan duit rakyat yang mahukan yang terbaik. Usah dirisaukan gaji anda tu. Kalau anda uruskan tanggungjawab dan amanah dengan baik, Tuhan pasti akan membalas dengan kebaikan. Lagipun, duit bukanlah segalanya. Kalau dilaburkan pada yang tidak berkualiti, maka bagaimana yang berkualiti mahu dilahirkan? Bukankah sekiranya dilahirkan yang berkualiti akan menjana lebih banyak wang?

Mungkin tulisan saya ini hanya dibaca oleh sedikit sahaja rakyat Malaysia, tetapi saya tetap berharap kerajaan yang memimpin negara saya yang tercinta ini dapat sedikit sebanyak maklumat yang cuba saya sampaikan. Maaf sekiranya tulisan saya ada mengguris hati sesetengah pihak. Sesungguhnya, yang mulia itu datangnya dari Allah Tuhanku dan yang buruk itu hanyalah daripada kelemahan diri saya sendiri.

Sekian, wassalam.

1 ulasan: