Selasa, 15 November 2011

Adakah 729 barkod Israel?

HATI-HATI sekiranya anda membeli apa-apa barang. Sila lihat barkod dahulu untuk mengetahui negara manakah yang menghasilkan produk tersebut. Dan ingat nombor ini :
729
sekiranya anda mengesan tiga digit ini pada tiga angka pertama barkod produk tersebut, maka produk itu produk ISRAEL!

Hah? Benarkah? Cepat, jom geledah rumah cepat cari barkod ni, kemudian buang, tumbuk atau bakar saja produk ISRAEL ini!


Haha. Tahniah! Fakta : orang kita memang sangat taksub dengan perkataan ISRAEL ni. Sama ada orang-orang yang gemar berkonspirasi mahupun seorang Muslim yang tidak ada Facebook.

Pernah tak anda terfikir untuk menyiasat perkara ini? Benarkah kita dapat mengetahui produk tersebut buatan negara mana hanya melalui barkod sahaja?

Baru-baru ini saya terbaca amaran seperti di atas tentang barkod Israel ini. Maka dengan semangat ingin tahu, saya telah melakukan kajian ilmiah di laman jaringan (oh, lapuk gila istilah ni! :P) [Sila terjemah laman jaringan itu sebagai website].

APA ITU BARKOD?

Barkod ialah imej kecil garisan (bar) dan ruangan yang diletakkan pada barang-barang runcit, kupon dan surat untuk mengenal pasti beberapa produk tertentu, orang, atau lokasi. Kod menggunakan urutan garisan menegak (bar) dan ruang untuk mewakili nombor dan simbol-simbol lain. Satu simbol barkod biasanya terdiri daripada lima bahagian: zon tenang, karakter awal, karakter data (termasuk karakter cek pilihan), karakter berhenti, dan satu lagi zon tenang. [1]

Satu barkod itu mempunyai 12 digit, dalam pelbagai kumpulan. Dua digit pertama menunjukkan negara yang mengeluarkan barkod tersebut. Empat digit berikutnya menunjukkan pengilang. Sesetengah negara mempunyai kod negara tiga digit, jadi mereka hanya mempunyai tiga digit bagi kod pengilang. Enam digit akhir kod produk pengilang berikan. Setiap produk mempunyai kod yang berasingan. Malah kotak yang berbeza saiz produk yang sama mesti mempunyai kod yang berlainan. [2]

BOLEH BAGI CONTOH?

Boleh saja. Saya bagi dua contoh.

CONTOH 1 
"PRODUCK" adalah satu produk negara Tahtawu yang dihasilkan di negara Fafaway dan kemudiannya diimport dan diedarkan oleh negara Counthree. Maka tiga digit pertama pada barkod "PRODUCK" menunjukkan kod negara Tahtawu.

CONTOH 2
Oklah, saya ambil fakta yang sebenar. Saya ambil produk yang ada di rumah saya.
 Oreo Ice Cream adalah produk terbaru keluaran syarikat Kraft. Barkodnya bernombor : 7622300442507. Pada bungkusannya, ditulis:
Singapore Distributor : Kraft Foods Singapore Pte Ltd.

Malaysia Importer : Kraft Malaysia Sdn. Bhd.

Brunei Distributor : Syarikat Perniagaan Malar Setia, Bandar Seri Begawan, Brunei.

Imprted & Distrbuted by : Kraft Foods (Philiphines), Inc.

PRODUCT OF INDONESIA.
Dan pada bungkusan ini juga ada logo halal dari Majlis Ulama Indonesia.
.....
Jadi saya check balik tiga digit pertama pada barkod itu, iaitu 762, kod untuk negara mana. Anda rasa negara mana? Singapura? Atau Malaysia? Mungkinkah Brunei atau Filipina? Indonesia kot.

Ok, jawapannya : kod 762 tak ada tapi kod 76 ada (jika anda was-was kenapa ambil dua digit sahaja, sila baca kembali maksud kodbar di atas) iaitu negara SWITZERLAND!


 Datang dari mana pula Switzerland ni? Sedangkan pada bungkusan ni tak ada langsung perkataan Switzerland mahupun bahasa Switzerland pun tak ada.

Jadi, saya buat sedikit lagi kajian ilmiah, dan mendapati, Kraft Food Inc mempunyai ibu pejabat di Chicago, Amerika Syarikat dan ibu pejabat Eropad di Opfikon, SWITZERLAND! [3]

Maka, Oreo Ice Cream merupakan produk Kraft yang bertapak di Switzerland, diberikan barkod di negara Switzerland tetapi dihasilkan di Indonesia dan diedarkan di Singapura, Malaysia, Brunei dan Filipina.

INFO TAMBAHAN

Ketika saya menjalankan kajian ilmiah tentang tiga digit awal barkod ini, saya mendapati bahawa masyarakat di negara lain (terutama Amerika Syarikat dan negara maju) juga mempunyai masalah yang sama iaitu mesej berantai tentang barkod ini.

Tetapi mesej berantai mereka ini tentang produk yang dibuat oleh China dan lain-lain negara, kerana mereka tidak mahu menggunakan produk dari negara-negara ini kerana sering memberikan masalah dan penipuan.
Maka masyarakat negara yang dihuni ramai Yahudi ini juga tidak terlepas dari mesej-mesej berantai dan penipuan (hoax and scam) ini
 DALAM CENGKERANG KACANG

In a nut shell (kesimpulannya), tiga digit pertama pada barkod itu menunjukkan negara mana yang mengeluarkan barkod berkenaan dan selalunya barkod itu diberikan di tempat di mana syarikat sesuatu produk itu bertapak. Maka tidak benar sama sekali tiga digit pertama pada barkod menunjukkan negara mana yang menghasilkan barang berkenaan.

LATIHAN

Sebagai ujian, anda boleh cuba kaji satu lagi produk di rumah saya. Anda boleh rujuk maklumat yang saya bagi ini :
Nama Produk : Milo Fuze 3 in 1

Syarikat : Nestle

Barkod : 9556001128034

Dikilangkan di Malaysia untuk : Nestle Product Sdn. Bhd.

Diimport oleh : Jasra Harrisons Sdn. Bhd. Negara Brunei Darussalam.



Website Check Barkod :

Info tambahan : Orang kata, Nestle ni salah satu syarikat Israel. Jadi, kajilah.

ADA LAGI SOALAN YANG BELUM TERJAWAB?

Boleh kemukan pada ruangan komen di bawah (highly recommended) atau emel pada saya di jimie_92@yahoo.com

Sekian, wassalam.

JIMIE 1402 : Burger McDonald dan ayam KFC tak ada barkod. :P

Sumber :
1. More Than You Think : Shopping; Engineering and Physical Sciences Research Council (EPSRC) United Kingdom; http://www.morethanyouthink.com/shopping/index.html

2. Bar code (or barcod) by Ziad Mallah; SearchManufacturingERP; last updated September 1999; http://searchmanufacturingerp.techtarget.com/definition/bar-code

3. Do the Barcodes on Products Reveal the Country of Origin?; HealthDiaries.com; Published on November 18, 2008; http://www.healthdiaries.com/eatthis/do-the-barcodes-on-products-reveal-the-country-of-origin.html

4. Country Code; Snopes.com; last updated 20 November 2010; www.snopes.com/politics/business/barcodes.asp

5. The First 3 Digits On Barcode Labels Represents The Country of Origin-Fiction!; TruthOrFiction.com; updated 06/26/09; http://www.truthorfiction.com/rumors/b/barcodes.htm

6. Do Bar Codes Reveal Where a Product Is Made?; By David Emery; About.com Guide; Last updated 11/13/08; http://urbanlegends.about.com/od/fooddrink/a/barcodes.htm

7. 729 di Bar Code Adalah Produk dari Israel; Blog Gerbang Maya Melankolia Segar; 13 November 2011; http://syuxermelankolia.blogspot.com/2011/11/729-di-bar-code-adalah-produk-dari.html

8. What do the number inder barcodes mean?; Answer.com; http://wiki.answers.com/Q/What_do_the_numbers_under_barcodes_mean

9. Learn what bar code numbers mean in the wake of major cereal recall; Dictionary.com; June 26, 2010; http://hotword.dictionary.com/bar-code/

Sabtu, 5 November 2011

Senjata Mukmin Tak Berkesan?

Terciptalah sebuah kisah tentang tiga saudara yang berlainan sifat dan sikap mereka. Seorang dinamakan Ya, seorang dipanggil Tah, dan seorang lagi No. Mereka tinggal bersama-sama di sebuah rumah separa kayu di pinggir sebuah hutan.

Gambar sekadar hiasan
Suatu malam, ketika mereka sedang nyenyak tidur, mereka dikejutkan oleh ngauman seekor harimau dari hutan berhampiran. Bunyinya seperti sang belang itu kelaparan. Mereka berpelukan ketakutan sambil menahan diri dari membuat sebarang bunyi. Alhamdulillah, akhirnya harimau tersebut pergi meninggalkan tempat mereka itu.


Keesokan paginya, mereka berbincang bagi mengatasi masalah itu. Mereka perlu bersedia. Silap haribulan, mereka jadi habuan sang belang itu. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk membeli senjata seorang satu.

Sementelah senapang murah telah pun dimiliki seorang satu. Disertakan sekali manual penggunaan senapang itu. Lebih untung, mereka mendapat empat butir peluru percuma setiap seorang. Namun No berkata dia tidak perlukan peluru tersebut kerana dia akan bunuh harimau tersebut hanya dengan muncung senapangnya sahaja itu.

Jadi, No memberi Ya dan Tah dua pelurunya setiap seorang. Maka Ya dan Tah masing-masing mempunyai enam peluru sekarang. (Maaf, ini bukan kisah tentang Matematik).

Ya dan Tah meneliti dan mengikuti manual penggunaan senapang itu. Mereka berlatih dengan gigihnya, manakala No bersenang-lenang dan yakin beliau tidak perlu pelajari manual tersebut. Dia yakin dia sudah ada ilmu yang banyak di dada.

Ketika Ya dan Tah berlatih, Ya telah menyimpan satu peluru sebagai peluru simpanan agar dia tidak menggunakan kesemua pelurunya ketika latihan. Ya juga berpesan agar Tah berbuat sedemikian namun tidak dipedulikan Tah.

Hinggalah tiba hari yang ditakdirkan, sang belang itu datang lagi. Mereka bertiga lantas bergegas mengambil senjata mereka dan keluar berhadapan dengan sang belang itu.

Sang harimau yang kelaparan itu lantas mengaum apabila berhadapan dengan tiga manusia yang sedap-sedap dagingnya.
“Biar aku pergi bunuh dia dengan muncung senapang aku ni!” kata No dengan yakinnya.

Namun, No tersilap memegang senapang itu gara-gara tidak membaca manual langsung. Dipegangnya bahagian muncung senapang dan halakan bahagian hulu senapang pada sang belang itu.

Namun, harimau tersebut menggigit senapang No dan dengan mudahnya mematahkan senapangnya. No lantas berlari ke belakang dua orang saudaranya dengan ketakutan.

“Biar aku sahaja yang bunuh harimau ini!” jerit Tah pula.

Dihalakan senapangnya ke arah perut sang belang tersebut, tepat diacu pada sasarannya. Tak menarik picu senapang tersebut dan DAMMM! Berasap senapangnya.

Namun, sang belang masih berdiri teguh tanpa sebarang kecederaan. Oh, kehabisan peluru rupanya! Maka berundurlah Tah, mengharap bersama No pada Ya agar dapat membunuh sang belang itu. Kalau tak, kenyanglah sang belang ini berminggu-minggu membaham tiga orang manusia ini.

Ya pula menghalakan senapangnya ke arah sang belang itu. Diacu pada sasarannya. Dengan lafaz Bismillah, ditekan picu senapangnya, seperti yang dipelajari dalam manual. DAMMM!

Akhirnya, sang belang itu meronta-ronta sambil kesakitan. Alhamdulillah, kena akhirnya sasaran dengan peluru yang ada. Maka, selamatlah mereka bertiga.

They live happily ever after. The end. :D

Apa yang boleh dipelajari dari cerita di atas? Cerita di atas cumalah analogi terhadap tiga perkara iaitu : doa itu senjata, usaha itu manual yang telah dipelajari dan tawakkal itu pelurunya.

Doa
Usaha

Tawakkal
 Hampir semua Muslim tahu doa itu senjata kita, namun pernahkah anda terfikir, anda dah selalu sangat berdoa, terutama dalam menghadapi musuh-musuh Islam. Namun kenapa ada sahaja doa yang tidak dimakbulkan? Tak berkesankah senjata Muslim ini?

Jawapannya seperti dalam cerita di atas. No ada senapang tetapi tidak pelajari manualnya dan tidak pula memiliki peluru. Maka hasilnya?; KOSONG. Samalah seperti anda berdoa, namun anda tak berusaha dan tidak pula bertawakkal. Maka tiadalah langsung hasilnya.

Tah pula memiliki peluru dan mempelajari manualnya, namun tidak menyimpan langsung peluru. Hasilnya masih tidak berbaloi. Seperti juga anda berdoa dan berusaha tetapi tidak tawakkal yakni berserah kepada Allah. Maka anda pasti akan kecewa.

Contohilah Ya kerana beliau memiliki senapang serta peluru dan juga mempelajari manualnya. Maka hasilnya sangat memuaskan. Jadi, anda perlu doa, usaha dan akhir sekali bertawakkal untuk mendapatkan hasil yang terbaik.


INGAT! Tawakkal juga diperlukan! Kerana tawakkal itu ibarat peluru, kita lepaskannya dan tidak tahuarah dan takdir peluru tersebut, sama ada terkena sasaran atau mungkin akan menjadi peluru sesat sahaja.


Oh, ada sedikit penambahan cerita ini. Selepas sang belang itu rebah, Tah dengan cepatnya menelefon Jabatan Perhilitan bagi memaklumkan kejadian tersebut. Jabatan Perhilitan terus datang dan membawa harimau tersebut ke tempat yang sepatutnya.

Rupa-rupanya harimau itu tidak mati lagi, kerana peluru yang digunakan hanyalah ubat pelali. :D

Perlukah penambahan cerita ini? Ya, kerana kita sebagai khalifah di muka bumi ini perlu menjaga kebajikan semua makhluk di dunia ini. Dan harimau belang adalah haiwan yang dilindungi kerana semakin PUPUS. Jadi saya menyokong kepada usaha menyelamatkan hidupan yang semakin pupus! :D

JIMIE1402 : Malaysia selalunya menjadikan harimau belang sebagai moto dan maskotnya. Jadi jangan bunuh Malaysia! :P

*NOTA : Kisah di atas adalah ciptaan saya sendiri setelah diilhamkan Allah SWT pada suatu hari Jumaat. :)

Ahad, 30 Oktober 2011

Rasulullah Menjerit Di Pasar?

 Di dalam sebuah ceramah motivasi yang terpaksa saya ikuti, penceramah itu sangat bersemangat memotivasikan kami (baca : membosankan kami). Lagi-lagi, dia suka menyelitkan perkara-perkara Islamik seperti menyelitkan bahan-bahan motivasinya dengan hadis dan peribadi Rasulullah SAW. Saya tahu dia cuba untuk menyelitkannya kerana beliau sedang memotivasikan pelajar institut yang terkenal dengan keislamannya.

“Siapa yang mahu menjawab?”

Diam. Tiada yang mahu menawarkan diri.


 “Aduh, kenapa awak semua ni sangat takut untuk bersuara?”

Diam juga, termasuk diri saya. Bermonolog dalaman sahaja.

“Siapa kenal Muhammad bin Abdullah?”

Masih tiada suara. Pasti ramai yang berkata dalam hati, “tentulah kami orang Islam kenal siapa dia.”

“Apa pekerjaan Muhammad bin Abdullah sebelum menjadi nabi?”
 
Kali ini wujud suara-suara kecil yang menjawab, kasihan.

“Ya, betul, pengembala kambing. Apa lagi?”

“Berniaga,” ada suara yang menjawab.

“Ya, betul! Nabi Muhammad SAW berniaga sebelum menjadi nabi. Kamu tahu tak orang berniaga macam mana?”

Tiada lagi suara kedengaran (lagi sekali).


“Kamu rasa orang yang berniaga diam sahaja? Atau mereka akan menjerit-jerit panggil pelanggan?”

Aku mula rasa lain macam.

“Ada tak peniaga yang cakap, (dengan suara perlahan) bang saya jual ni, satu sepuluh ringgit. Ada ke? Tak kan? Mestilah mereka jerit panggil pelanggan. (Sambil menjerit) Abang akak mari mari mari! Murah murah! Satu sepuluh ringgit sahaja! Rugi tak beli!”

Jadi?

“Jadi, kamu patutnya mengeluarkan suara kamu, seperti orang yang berniaga. Kerana Nabi Muhammad SAW juga berniaga.”

Saya mula syak ada perkara tak betul begitu. Adakah betul nabi Muhammad SAW bersikap seperti peniaga-peniaga sekarang? Terlolok, terpekik-pekik.


Maka tidak lama selepas ceramah itu, Alhamdulillah Allah bagi saya petunjuk. Saya ada terbaca (di buku atau internet, dah lupa) tentang sikap nabi ketika berniaga.

Rasulullah s.a.w sepertimana yang digambarkan oleh para sahabatnya sebagai:

“Baginda tidak kasar, tidak berperangai buruk dan TIDAK MENJERIT KETIKA DI PASAR. Baginda tidak melakukan kejahatan bagi membalas kejahatan, tetapi Baginda sangat suka memaafkan dan melupakan kejahatan.”

Ini merupakan gambaran Abdulah bin Umar dan Abdullah bin al-Salam terhadap Rasulullah s.a.w. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam al-Baikhaqi.

Hadis ini amat-amat sukar untuk ditemui. Agak lama pencarian saya untuk bertemu dengan hadis ini. Akhirnya terjumpa di laman web Majlis Agama Islam Singapura.

Maka saya telah mendapat jawapan, bahawa kata-kata ‘pakar’ motivasi itu tidak tepat sama sekali. Orang berniaga sekarang ini tidak mengikut teladan dan sikap Rasulullah SAW yang sangat indah. Dan mereka cuma tahu pakai hadis-hadis yang menguntungkan mereka sahaja. Hadis popular di kalangan mereka :
“Berniagalah kamu kerana sembilan persepuluh punca rezeki adalah di dalam perniagaan.”
 Sedangkan mereka tidak tahu bahawa hadis yang diriwayatkan oleh Nuaim bin Abdul Rahman di atas ini adalah hadis dha’if atau hadis lemah.

Maka benarkah mereka berniaga kerana Allah? Atau sekadar mengambil kesempatan terhadap keindahan agama Islam itu?
“Yang demikian itu, kerana sesungguhnya kamu menjadikan ayat-ayat Allah sebagai olok-olokan dan kamu telah ditipu oleh kehidupan dunia, maka pada hari ini mereka tidak dikeluarkan dari neraka dan tidak pula mereka diberi kesempatan untuk bertaubat.”
[Al-Jaatsiyah 45:35]
 Semoga mereka yang sedang dan bakal serta bercita-cita menceburi bidang perniagaan terutama yang berkaitan dengan Islam berhati-hati kerana bidang perniagaan ini sudah banyak dikotorkan oleh orang yang berniaga. Semoga dipelihara oleh Allah SWT.

Rujukan :

1. Risalah MUIS : Membangun Masyarakat Islam Cemerlang Singapura (http://www.muis.gov.sg/webpub/Risalah_Muis.pdf)

2. Risalah MUIS : Membangun Masyarakat Islam Cemerlang Singapura Edisi Kedua (http://www.muis.gov.sg/cms/uploadedFiles/MuisGovSG/Downloads/Risalah%20Book.pdf)

3. Laman Web Masjid Al-Falah (Singapura) – Podcast (http://www.alfalah.org.sg/podcast.xml)

4. Forum iluvislam.com : Status Hadis 9/10 Keuntungan Adalah Dari Perniagaan. (http://www.iluvislam.com/v1/forum/viewthread.php?forum_id=120&thread_id=6598)

5. Forum iluvislam.com : Kedudukan Hadith 9/10 Rezeki Dari Perniagaan = Ia Merupakan Hadith Mursal (http://www.iluvislam.com/v1/forum/viewthread.php?forum_id=120&thread_id=25319)

6. Al Quran Digital versi 2.1 (Computer Software); Laman Web : http://www.alquran-digital.com

Rabu, 12 Oktober 2011

DAJJAL : Bersediakah Anda?

Assalamualaikum wbt.

Pernahkah anda terfikir saat anda berhadapan dengan Dajjal Al-Masih? Bagaimanakah dunia ketika itu? Terselamatkah kita?

"Ya, saya yakin bahawa saya akan terselamat!"

TIDAK! Jangan terlalu yakin! Menghadapi fitnah Dajjal bukanlah semudah yang disangka, tidaklah semudah menangkis fitnah zaman sekarang ini. Bukan semudah menangkis hujan dengan payung.

                                                                                                 
Diriwayatkan oleh Imran bin Husain ra,
Nabi SAW bersabda maksudnya:
“Sejak penciptaan Adam sampai ke hari kiamat tidak ada suatu makhluk yang lebih dahsyat fitnahnya dari dajal.”
(Riwayat Muslim No 7582)
                                                                              
"Sungguh fitnah sebahagian dari kalian lebih aku takutkan dari fitnahnya Ad Dajjal dan tiada seseorang dapat selamat dari fitnah Dajjal melainkan ia dahulu mengharungi kepelbagaian fitnah sebelumnya. Dan tiada fitnah yang dibuat sejak adanya dunia ini, baik kecil mahupun besar kecuali untuk (menjemput) fitnah Ad Dajjal."
(Musnad Imam Ahmad No:22215)
                                                                            

Maka, janganlah terlalu yakin bahawa kita mampu terselamat. Namun, tetaplah berharap pada Allah SWT, kerana hanya Dia sahaja mampu menyelamatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya.


MENGELAK FITNAH DAJJAL

Marilah kita berusaha dari sekarang untuk mempersiapkan diri dari fitnah Dajjal. Berikut merupakan antara langkah yang boleh diambil untuk menghidari fitnah Dajjal, menurut Hadis Rasulullah SAW.

1. Baca, faham dan amal pangkal surah Al-Kahfi

                                                                       

Daripada Abu al-Darda sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda,
"Barangsiapa yang menghafaz sepuluh ayat daripada awal surah Al-Kahfi, pasti terlindung daripada dajjal."
(HR Muslim 809)

                                                                       

Ada kekhilafan bahawa sepuluh ayat Al-Kahfi yang dimaksudkan, sama ada sepuluh ayat pertama ataupun sepuluh ayat terakhir, ataupun kedua-duanya. Maka untuk langkah selamat, pilihlah sepuluh ayat pertama DAN sepuluh ayat terakhir.

Lebih baik, sekiranya dipilih keseluruhan surah Al-Kahfi itu sendiri. Seperti dalam hadis Rasulullah SAW yang berikut :

                                                                       

Daripada Ali, yang meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w baginda bersabda,
"Barangsiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya dirinya terpelihara hingga lapan hari, daripada segala fitnah yang melanda, dan jika keluar dajjal sekalipun, dia akan terpelihara daripadanya."
(Al-Dhurr al-Manthur oleh al-Suyuti 5:355)

                                                                      

Bagi mendapatkan surah Al-Kahfi ini, rujuklah kitab suci Al-Quran secara offline atau anda boleh rujuk 10 ayat tersebut di sini.


2. Amalkan doa menghindari fitnah Dajjal

Jika anda tidaklah mahir membaca Al-Quran, atau tak reti membaca huruf arab sekalipun, janganlah putus harapan. Telah disediakan doa ringkas sebagai salah satu usaha untuk menghindari fitnah Dajjal.


Kalau tak dapat menghafalnya, berdoalah dalam doa selepas solat dalam Bahasa Melayu.

Pernah saya terbaca bahawa doa ini amat penting, sehinggakan pernah dalam satu zaman kegemilangan Islam, membaca doa ini selepas tahiyyat akhir sebelum salam, dijadikan antara syarat sah solat. Ada yang sanggup mengulangi solatnya andai tertinggal doa ini.

Namun, diingatkan bahawa hukum sebenar membaca doa ini selepas tahiyyat akhir TIDAK WAJIB, namun penting sebagai persediaan menghadapi Dajjal.

3. Tinggal di Makkah atau Madinah

Ada juga pendapat yang menyarankan agar kita tinggal di Makkah atau Madinah ini kerana Dajjal tidak dapat memasuki dua tanah haram ini.

                                                                         
Dari Abu Bakrah r.a., dari Nabi saw. sabdanya:
"Tidak akan dapat masuk ke Madinah, Al Masih Ad Dajjal yang ditakuti. Madinah ketika itu mempunyai tujuh buah pintu. Pada tiap-tiap pintu terdapat dua orang malaikat."
(Hadis Sahih Bukhari No. 0919 Jilid 2)

                                                                         
Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda:
"Di jalan-jalan masuk ke Madinah ada malaikat. Kerana itu tidak dapat masuk ke dalamnya penyakit, taun(penyakit menular) dan tidak pula Dajjal."
(Hadis Sahih Bukhari No. 0920 Jilid 2)
                                                                         

Namun, diingatkan bahawa orang kafir dan musyrikin tidak dapat berpijak di bumi haram ini. Malah, mereka ini bersama para munafik akan dikeluarkan dari kota suci Makkah dan Madinah apabila digoncangkan pada saat munculnya Dajjal.
                                                                          
Dari Anas bin Malik r.a., dari Nabi saw., sabdanya:
"Semua negeri akan dipijak oleh Dajjal, melainkan Mekah dan Madinah. Di mana setiap jalan masuk ke dalam kedua kota itu dijaga oleh malaikat dengan berbaris. Kemudian Madinah goncang tiga kali goncangan, maka ketika itu Allah swt. mengeluarkan semua orang kafir dan orang munafik."
(Hadis Sahih Bukhari No. 0921 Jilid 2)
                                                                       

Kesimpulannya, biarlah di mana diri anda, anda kerja apa, anda sedang buat apa, ingatlah Allah selalu. Insya-Allah, Allah akan pelihara diri anda sebagaimana anda memelihara hubungan dengan-Nya.

Wallahua'lam bissawab. :)

RUJUKAN :

1. Hadis Sahih Bukhari Jilid 2 Topik adalah Madinah, BankIslam.net (http://www.bankislam.net/Hadis_Sahih_Bukhari/Madinah/)


2. Doa Pelindung dari fitnah Dajjal, blog Media Deepsea Berita Semasa dan Lama, Mei 2011 (http://nelayan-lautdalam.blogspot.com/2011/05/doa-pelindung-dari-fitnah-dajjal.html)


3. Surah Al-Kahf, blog Mata Hati, April 2010 (http://yanty82.blogspot.com/2010/04/ayat-perlindungan-dari-fitnah-dajjal.html)


4. Kedatangan Dajjal ( Al-Masih ), blog Masa-Masa Kedatangan Dajjal, 1 September 2011 (http://rayhanmogerz.blogspot.com/2010/12/kedatangan-dajjal-al-masih.html)


5. Jauhi Fitnah Dajjal, Pondok Pasir Tumboh Al-madrasah Al-diniyyah Al-bakriyyah, 11 Jun 2010 (http://www.al-bakriah.com.my/index.php?option=com_content&view=article&id=311:jauhi-fitnah-dajjal&catid=14:artikel-pilihan&Itemid=37)


6. Mengembalikan Kefahaman Mengenai Dajjal Kepada AlQuran dan Sunnah, Leokid!, 25 Ogos 2010 (http://me.leokid.my/dajjal/)


7. Mencari Solusi Iman Di Era Badai Fitnah Melakar Wajah Dajjal, Tarbawi, 6 September 2011 (http://www.tarbawi.my/index.php/inspirasi/minda-pejuang/139-mencari-solusi-di-era-badai-fitnah-melakar-wajah-dajjal)


8. Dajjal Menurut Hadis SAW, tayibah.com (http://tayibah.com/eIslam/dajjal3.htm)


9. Doa Jauhi Fitnah Dajjal, posted by Ibnu Hamzah at PEMBUKTIAN TANDA-TANDA KIAMAT Facebook group, 2 Mei 2010 (https://www.facebook.com/topic.php?uid=115948865097606&topic=97)

Sabtu, 17 September 2011

Tribute 365+203

Assalamualaikum wbt.

Sejak pertama kali blog Jazmi : Tekadku Yang Kukuh diwujudkan pada 26 Februari 2010, usianya kini telah mencecah lebih setahun setengah (1 tahun 6 bulan). Post pertama bertajuk "In The Name of Allah" telah diterbitkan pada hari yang sama. Tanggal ini bukanlah bermaksud saya merupakan blogger yang baru kerana saya sebenarnya sudah ada blog di Wordpress (Jimie1402’s Point of View) sejak 2007.

Namun, jika anda melihat post yang paling awal tarikhnya dalam blog ini ialah post yang bertajuk "PANDUAN MENGISI E-BORANG UPU FASA 2" bertarikh 3 Februari 2010, tetapi post ini sebenarnya diimport dari blog Wordpress saya.

Sempena ulangtahun setahun setengah yang pertama ni, saya buat post khas ini, iaitu senarai artikel-artikel atau post yang terbaik pernah diterbitkan di blog ini.

Daripada 59 post/artikel yang telah diterbitkan (tak termasuk post ini), saya senaraikan 18 post/artikel yang saya rasa antara yang terbaik dan perlu dikongsikan dengan pengunjung blog ini. Selain itu juga, saya senaraikan 10 post/artikel yang paling banyak disiarkan pengunjung blog. Klik pada tajuknya untuk paparan.

Kategori Penulisan Asli

1.  A.I.R.  (12 Jun 2010)

Artikel ini membawakan satu kajian unik yang dilakukan seorang saintis Jepun tentang molekul air. Namun, ada satu air yang telah tercipta khas setelah sekian lama dan penuh hikmah. Ketahui lebih lanjut pada artikel ini.


2.  Sebuah Buah  (12 Jun 2011)
Sekadar sebuah perkongsian jenaka (yang tidak berapa lawak) yang telah direka sendiri. Walaupun tak berapa lawak sangat pun, tetapi jenaka ini ada mesej yang mahu disampaikan.


3.  Cahaya Warna Kehidupan  (11 Julai 2011)
Merah campur kuning jadi oren, Biru campur merah jadi hijau. Macam mana nak hasilkan warna hitam? Apa pula kaitan warna dalam kehidupan? Nota : ini bukan artikel pasal kajian warna tubuh manusia tu ye!


4. ADA YANG PERCUMA DALAM DUNIA?  (2 Disember 2010)


Orang kata, “no money, no talk”. Ada pula yang kata “money can buy happiness”. Lebih-lebih zaman sekarang ni, nak buang air pun kena bayar. Rasa-rasanya setiap kerlipan mata kita ni kena bayar tak? Idea artikel ini tercetus selepas membaca buku “Online Dengan Tuhan”.


5.  Langkah Tercipta  (21 Mei 2011)


6.  Firaun Bapa Musa?  (23 Julai 2011)



7.  Adakah Fail Sementara itu Virus dan Berbahaya?  (21 Ogos 2011)

Sesetengah pengguna komputer percaya, kalau ada file yg tulis ~$cument1.docx dan sebagainya, adalah virus. Betulkah? Artikel ini saya hasilkan selepas membuat kajian ilmiah tentang perkara ini.


8.  Kembali ke Fesyen Islam Sebenar  (31 Oktober 2010)


9.  SPM 2009 dan Kejutannya  (10 Mac 2010)



Kategori Copy, Edit & Paste

1.  Aku Seekor Ikan Jepun  (22 April 2010)


Apa bezanya ikan Jepun dengan ikan negara lain? Perangai ikan Jepun sama dengan orang Jepun ke? Ketahui kisahnya dalam post/artikel ini. Dipetik dari artikel di sebuah Yahoo! Group.


2.  Moral Story : The Eyes  (2 Mac 2010)
Andai anda terjumpa dengan seorang pemuda yang dah dewasa, berperangai seperti kanak-kanak, apa yang anda fikirkan? Baca artikel ini agar persepsi anda berubah. Dipetik juga dari emel yang diterima dari sebuah Yahoo! Group.


3.  Dinginnya Neraka!  (10 Mei 2011)

Kalau sebut sahaja NERAKA pasti terbayangkan api yang panas menjulang-julang. Ada yang kata api kat dunia ni pun 1 per 70 dari kepanasan api neraka. Tetapi, tahukah anda, ada juga neraka yang sejuk! Nak tahu? Bacalah artikel yang dipetik dari majalah Al-Islam ni.


4.  Siapakah BAHLOL?  (5 Mac 2011)
BAHLOL! Maaf, ini bukan carutan atau makian. Anda tahu tak apa itu Bahlol? Nama orang? Gelaran? Haiwan yang hina? Jom ketahuinya di artikel ini.


5.  Iman Semut VS Iman Manusia  (30 Mei 2010)


6.  Hold My Hand  (24 Oktober 2010)
Mesti ramai yang tahu Hold My Hand tu tajuk lagu Maher Zain. Tetapi artikel ini bukannya memaparkan lirik lagu tersebut atau sebagainya. Ini adalah perkongsian sebuah kisah berinspirasi. Dipetik dari laman web spiritualstories.com


7.  Babi Syukur Jadi Babi  (12 Mei 2010)



8.  Kerana Doa  (13 Januari 2011)




Kategori Popular

1.  Program Asasi UIAM  (10 Mei 2011)


2.  PANDUAN MENGISI E-BORANG UPU FASA 2  (3 Februari 2010)


3.  MUET Speaking Test 2011  (5 April 2011)

 
4.  Sebuah Buah  (12 Jun 2011)




6.  Hadis Lubang Biawak  (10 Julai 2010)


7.  Kucing Itu Tidak Bertelinga!  (26 April 2011)

 
8.  Satu Saf Sejadah  (24 Februari 2011)


9.  Rahsia Angka 13  (8 Julai 2010)


10. Kembali Ke Fesyen Islam Sebenar  (31 Oktober 2010)


FAKTA DAN STATISTIK

1. Hanya sejumlah 67 orang sahaja yang telah menjadi pengikut (follower) blog ini.

2. Jumlah bilangan paparan halaman di blog ini sehingga 16 September 2011 berjumlah 14,016.

3. Artikel Program Asasi UIAM mendahului senarai artikel yang mendapat bilangan paparan halaman tertinggi dengan 1, 932 paparan. Sebelum ini, artikel PANDUAN MENGISI E-BORANG UPU FASA 2 mendahului carta sejak blog ini diwujudkan tetapi jatuh di tangga kedua bulan lepas.

4. URL yang paling banyak menjadi rujukan untuk membuka blog ini ialah http://networkedblogs.com/ iaitu sebuah aplikasi di Facebook.


5. Laman yang paling banyak menjadi rujukan untuk membuka blog ini ialah http://www.google.com.my/ dengan jumlah terkumpul sebanyak 1,222 rujukan.

6. Kata kunci carian yang paling banyak membawa kepada blog ini ialah “gambar buah buahan”.

7. Negara yang mempunyai bilangan paparan halaman blog ini yang tertinggi ialah (sudah tentulah) Malaysia dengan 12,321 paparan. Selain itu, ada juga paparan dari Indonesia, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jerman, Brunei, Singapura, Taiwan, United Kingdom dan Russia.

8. Kebanyakan orang yang membuka blog ini menggunakan Google Chrome (47%), Mozilla Firefox (29%), Internet Explorer (20%) dan lain-lain (4%).

9. 97% orang yang membuka blog ini menggunakan Windows sebagai platform ataramuka komputernya, Macintosh (1%) dan lagi 2% lain-lain sistem operasi (operating system/OS) seperti Linux, Blackberry, iPhone, Nokia dan Android.

JIMIE : Semoga diberikan kesempatan lagi untuk berkongsi sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman bersama pembaca. :)

Ahad, 21 Ogos 2011

Adakah Fail Sementara itu Virus dan Berbahaya?

Pernah tak apabila anda buka file Microsoft Word (documents); contohnya : Document1.doc atau Document1.docx; apabila anda lihat folder tempat file tu diletak, ada satu lagi file Microsoft Word yang kelihatan kabur sikit. Nama file tu pun pelik : ~$cument1.doc atau ~$cument1.docx. Cuba lihat contoh pada gambar di bawah.


Klik imej sekiranya tidak dapat lihat dengan jelas

Pernah kawan saya melihat file tersebut apabila dia membuka satu file document (MWord) di PC saya, lantas dia kata pada saya, "Weh, komputer kau ada virus la! Tengok ni (sambil tunjuk kat file yang kabur macam dalam gambar di atas)!"

"Oh, yeke? Kenapa pulak?"

"Selalunya kalau ada file jenis macam ni, maksudnya ada virus la tu!"

Aku yang kehairanan, sekadar mendiamkan diri sahaja, kerana rasanya dia belajar ilmu komputer lebih lagi dari aku. Jadi, tak nak lah membangkang orang berilmu, tanpa ada ilmu dan bukti.

Baru-baru ni pula, ada kawan bertanyakan pada seorang rakan yang lain, "kau ada antivirus tak?"
"Eh, kenapa?"
"Aku rasa komputer aku dah kena virus la."
"Kenapa pula kau kata macam tu?"
"Sebab ada file pelik bila aku bukak file Microsoft Word, nama macam ada simbol pelik-pelik."
"Oh, yang ada tanda dollar tu ek?"
"Haah."

Maka dengan ini, saya terpanggil untuk menyiasat, mengkaji dan seterusnya berkongsi dengan rakan-rakan sekalian.


APAKAH IA SEBENARNYA?

Saya telah kunjungi laman web Microsoft Support untuk mendapatkan maklumat. Dengan bantuan Encik Google, saya menemui jawapan. 

Halaman Utama laman web Microsoft Support

Satu artikel bertajuk "Description of how Word creates temporary files" (klik untuk ke sana) telah disiarkan di Microsoft Support. Dalam bahasa Melayu, "Keterangan bagaimana Word mencipta fail sementara".

Apa yang tertulis di dalam artikel tu?

Pada satu bahagian artikel itu yang bertajuk "Owner File (Same Directory as Source File)" telah diterangkan :-
When a previously saved file is opened for editing, for printing, or for review, Word creates a temporary file that has a .doc file name extension. This file name extension begins with a tilde (~) that is followed by a dollar sign ($) that is followed by the remainder of the original file name. This temporary file holds the logon name of person who opens the file. This temporary file is called the "owner file."
Faham tak? Kalau tak faham, boleh baca ayat seterusnya, yang saya telah terjemahkan ke dalam bahasa Melayu.
Apabila fail yang disimpan sebelum ini dibuka untuk penyuntingan, untuk mencetak atau untuk dilihat/dibaca semula, Word mencipta fail sementara yang mempunyai .doc sebagai nama sambungan fail (file name extension). Nama fail ini bermula dengan tilde (~) yang diikuti tanda dollar ($) yang diikuti baki nama fail asal. Fail sementara ini memegang nama pendaftar masuk (log on) yang membuka fail tersebut. Fail sementara ini dipanggil "Fail Pemilik".
Faham tak? Maksudnya di sini, nama fail sementara ni ada tanda ~ dan $ pada namanya. Sebagai contoh, nama fail dokumen tu : Document1.doc , maka nama fail sementara fail dokumen tersebut ialah ~$cument1.doc , di mana huruf pertama iaitu 'D' telah digantikan dengan tanda ~ , manakala huruf kedua iaitu 'o' telah digantikan dengan simbol $. Maka inilah yang dikatakan fail sementara.

Akan tetapi, fail sementara ni hanya wujud sekiranya mana-mana pengguna (user) komputer tersebut buka fail dokumen tersebut.

Mari baca sambungan keterangan tadi.
When you try to open a file that is available on a network and that is already opened by someone else, this file supplies the user name for the following error message:

"This file is already opened by user name. Would you like to make a copy of this file for your use?"

Word may be unable to create an owner file. For example, Word cannot create an owner file when the document is on a read-only share. In this case, the error message changes to the following error message:

"This file is already opened by another user. Would you like to make a copy of this file for your use?"

Note Word automatically deletes this temporary file from memory when the original file is closed.

Dalam keterangan di atas, diberitahu, andai pengguna lain (contohnya ada yang log masuk akaun Guest di komputer yang sama), maka pengguna tersebut akan ditanya sama ada mahu membuat salinan fail tersebut untuk kegunaan pengguna akaun Guest tu.

Tetapi isi yang paling penting sekali dalam keterangan di atas ialah, Word secara automatik memadam fail sementara ini dari memori apabila fail asal ditutup.


ADAKAH FAIL SEMENTARA (TEMPORARY FILE) INI BERBAHAYA?

Berdasarkan laman web Ibibo (lihat sini) yang merupakan laman rangkaian sosial diasaskan salah seorang CEO Google, fail sementara ini bukanlah virus, malah ia sama sekali tidak berbahaya. Tambahan pula, fail tambahan ini berfungsi sebagai penyimpan memori sementara pada fail yang dibuka, dan juga wujud bagi mengelak kehilangan data fail tersebut!

Kalau anda perasan, kadang-kadang setiap beberapa minit, kat status bar bahagian bawah Microsoft Word tu akan tulis "Saving Autorecovery for Document1.doc". Inilah buktinya fail sementara ini sedang berfungsi dan menjalankan tugasnya!

Jadi, kalau anda nak padamkan (delete) temporary file ni pun tak apa, cuma kalau Microsoft Word tiba-tiba "not responding" sebelum anda save, tak dapatlah anda menyelamatkan data-data yang anda tulis dalam fail Microsoft Word tu.

Maka, kesimpulannya, kalau wujudnya file kabur tu pada folder yang ada file Microsoft Word yang anda buka, maka ia bukanlah VIRUS!

JIMIE : Jom belajar IT! (walaupun anda tak ambil jurusan IT)