Sabtu, 21 Mei 2011

Langkah Tercipta

Bismillah Arrahman Arrahim.

Dalam satu program dianjurkan selama seminggu, para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti. Program ini adalah untuk pelajar-pelajar yang baru memasuki alam pengajian tinggi. Dalam salah satu slot, Madam M (bukan nama sebenar) telah diminta untuk mengendalikan sesi tersebut. Madam M merupakan salah seorang tenaga pengajar di sebuah institut pengajian tinggi di Malaysia yang telah wujud lebih 2 dekad.

Pelbagai karenah dan ragam para pelajar ditonjolkan pada sesi tersebut. Madam M hanya tersenyum melayan keletah mereka. Juga pelbagai persoalan yang dilontarkan. Bagus, para peserta ini mempunyai semangat ingin tahu yang amat tinggi!

Hinggalah salah seorang peserta mengemukakan satu soalan kepada Madam M.

“Madam, saya sekarang belajar dalam bidang kejuruteraan. Tetapi, saya nak masuk bidang perubatan. Bagaimana ya?”

Sebaik soalan itu ditanya, Madam M terus dihujani pelbagai lagi soalan yang berkaitan seperti soalan di atas.


“Madam, orang kata jurusan ni tempohya lama. Saya pun nak tukarlah.”

“Madam, saya dapat tahu yang peluang pekerjaan untuk jurusan saya ni tak banyak dah sekarang.”

“Madam, dari pembacaan saya, saya dapat tahu yang pekerjaan yang ditawarkan selepas graduate dalam jurusan ni, gajinya ciput je. Tak naklah.”

Macam-macam lagilah yang ditanya. Madam M pula tidak terus menjawab, malah terus tersenyum. Maka, makin lebatlah soalan-soalan yang menghujani Madam.

Hinggalah diberi ruang, Madam M mula bersuara.

“Anak-anakku, apa yang kamu risau sebenarnya? Kamu takut nanti kamu tak dapat kerja, menganggur? Kamu takut nanti dapat pekerjaan yang gajinya sedikit? Kamu takut nanti pekerjaan tidak setimpal dengan ilmu yang telah kamu pelajari?”


Suasana senyap. Masing-masing tidak menjawab soalan Madam. Mungkin jawab dalam hati agaknya. Namun, yang pasti mereka menantikan butir-butir perkataan yang akan muncul dari mulut Madam lagi.

“Anak-anakku, janganlah kamu risaukan sangat masa depan kamu itu. Kamu sepatutnya tahu, 3 perkara yang dipegang oleh Allah SWT. Pertama, jodoh. Kedua, hidup mati. Dan ketiga, rezeki. Saya tahu kamu sekarang risau tentang perkara ketiga tu. Janganlah risau sangat, kerana pemberi rezeki itu Allah. Itu semua urusannya.

“Kamu hanya boleh berusaha untuk mendapatkannya, tetapi akhirnya Allah sahaja yang menentukan pada siapa yang akan diberikan rezeki. Kalau orang itu belajar tinggi-tinggi sampai dapat anugerah Dekan sekalipun, kalau Allah tak mahu dia mendapat rezeki pekerjaan tertentu, maka dia tidak akan dapat,” sambung Madam lagi.

“Jadi sekarang ni, kamu belajarlah dahulu, tuntut ilmu dengan ikhlas. Niatkan menuntut ilmu itu kerana Allah, bukan kerana nak kerja besar-besar, nak gaji besar atau nak kerja yang mudah sahaja. Baru dapat keberkatan ilmu dari Allah. Insya-Allah akan dipermudahkan memperoleh rezeki. Ingat ya, ilmu itu milik Allah sepenuhnya. Kamu cuma diberi hidayah petunjuk oleh Yang Maha Mengetahui.”

Suasana riuh-rendah sebentar tadi lenyap sama sekali. Semua menumpukan sepenuhnya pada Madam M. Tiada lagi soalan-soalan yang dilontarkan. Tiada lagi ragu dan sangsi dari para peserta.

“Ok, memandangkan masa sudah hampir tamat, kita buat aktiviti yang sepatutnya dibuat dalam slot ini.”

Selepas habis slot itu, para peserta pulang ke tempat penginapan. Namun jalan pulang mereka dilalui dengan hati penuh bercahaya. Perasaan mereka menjadi tenang. Mereka telah mendapat inspirasi dari Madam M! Mereka bertekad untuk membetulkan niat menuntut ilmu mereka. Insya-Allah, berjaya!

Rujuk juga :

1. Koleksi Hadis Nabi – Tujuan Menuntut Ilmu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan