Ahad, 30 Oktober 2011

Rasulullah Menjerit Di Pasar?

 Di dalam sebuah ceramah motivasi yang terpaksa saya ikuti, penceramah itu sangat bersemangat memotivasikan kami (baca : membosankan kami). Lagi-lagi, dia suka menyelitkan perkara-perkara Islamik seperti menyelitkan bahan-bahan motivasinya dengan hadis dan peribadi Rasulullah SAW. Saya tahu dia cuba untuk menyelitkannya kerana beliau sedang memotivasikan pelajar institut yang terkenal dengan keislamannya.

“Siapa yang mahu menjawab?”

Diam. Tiada yang mahu menawarkan diri.


 “Aduh, kenapa awak semua ni sangat takut untuk bersuara?”

Diam juga, termasuk diri saya. Bermonolog dalaman sahaja.

“Siapa kenal Muhammad bin Abdullah?”

Masih tiada suara. Pasti ramai yang berkata dalam hati, “tentulah kami orang Islam kenal siapa dia.”

“Apa pekerjaan Muhammad bin Abdullah sebelum menjadi nabi?”
 
Kali ini wujud suara-suara kecil yang menjawab, kasihan.

“Ya, betul, pengembala kambing. Apa lagi?”

“Berniaga,” ada suara yang menjawab.

“Ya, betul! Nabi Muhammad SAW berniaga sebelum menjadi nabi. Kamu tahu tak orang berniaga macam mana?”

Tiada lagi suara kedengaran (lagi sekali).


“Kamu rasa orang yang berniaga diam sahaja? Atau mereka akan menjerit-jerit panggil pelanggan?”

Aku mula rasa lain macam.

“Ada tak peniaga yang cakap, (dengan suara perlahan) bang saya jual ni, satu sepuluh ringgit. Ada ke? Tak kan? Mestilah mereka jerit panggil pelanggan. (Sambil menjerit) Abang akak mari mari mari! Murah murah! Satu sepuluh ringgit sahaja! Rugi tak beli!”

Jadi?

“Jadi, kamu patutnya mengeluarkan suara kamu, seperti orang yang berniaga. Kerana Nabi Muhammad SAW juga berniaga.”

Saya mula syak ada perkara tak betul begitu. Adakah betul nabi Muhammad SAW bersikap seperti peniaga-peniaga sekarang? Terlolok, terpekik-pekik.


Maka tidak lama selepas ceramah itu, Alhamdulillah Allah bagi saya petunjuk. Saya ada terbaca (di buku atau internet, dah lupa) tentang sikap nabi ketika berniaga.

Rasulullah s.a.w sepertimana yang digambarkan oleh para sahabatnya sebagai:

“Baginda tidak kasar, tidak berperangai buruk dan TIDAK MENJERIT KETIKA DI PASAR. Baginda tidak melakukan kejahatan bagi membalas kejahatan, tetapi Baginda sangat suka memaafkan dan melupakan kejahatan.”

Ini merupakan gambaran Abdulah bin Umar dan Abdullah bin al-Salam terhadap Rasulullah s.a.w. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam al-Baikhaqi.

Hadis ini amat-amat sukar untuk ditemui. Agak lama pencarian saya untuk bertemu dengan hadis ini. Akhirnya terjumpa di laman web Majlis Agama Islam Singapura.

Maka saya telah mendapat jawapan, bahawa kata-kata ‘pakar’ motivasi itu tidak tepat sama sekali. Orang berniaga sekarang ini tidak mengikut teladan dan sikap Rasulullah SAW yang sangat indah. Dan mereka cuma tahu pakai hadis-hadis yang menguntungkan mereka sahaja. Hadis popular di kalangan mereka :
“Berniagalah kamu kerana sembilan persepuluh punca rezeki adalah di dalam perniagaan.”
 Sedangkan mereka tidak tahu bahawa hadis yang diriwayatkan oleh Nuaim bin Abdul Rahman di atas ini adalah hadis dha’if atau hadis lemah.

Maka benarkah mereka berniaga kerana Allah? Atau sekadar mengambil kesempatan terhadap keindahan agama Islam itu?
“Yang demikian itu, kerana sesungguhnya kamu menjadikan ayat-ayat Allah sebagai olok-olokan dan kamu telah ditipu oleh kehidupan dunia, maka pada hari ini mereka tidak dikeluarkan dari neraka dan tidak pula mereka diberi kesempatan untuk bertaubat.”
[Al-Jaatsiyah 45:35]
 Semoga mereka yang sedang dan bakal serta bercita-cita menceburi bidang perniagaan terutama yang berkaitan dengan Islam berhati-hati kerana bidang perniagaan ini sudah banyak dikotorkan oleh orang yang berniaga. Semoga dipelihara oleh Allah SWT.

Rujukan :

1. Risalah MUIS : Membangun Masyarakat Islam Cemerlang Singapura (http://www.muis.gov.sg/webpub/Risalah_Muis.pdf)

2. Risalah MUIS : Membangun Masyarakat Islam Cemerlang Singapura Edisi Kedua (http://www.muis.gov.sg/cms/uploadedFiles/MuisGovSG/Downloads/Risalah%20Book.pdf)

3. Laman Web Masjid Al-Falah (Singapura) – Podcast (http://www.alfalah.org.sg/podcast.xml)

4. Forum iluvislam.com : Status Hadis 9/10 Keuntungan Adalah Dari Perniagaan. (http://www.iluvislam.com/v1/forum/viewthread.php?forum_id=120&thread_id=6598)

5. Forum iluvislam.com : Kedudukan Hadith 9/10 Rezeki Dari Perniagaan = Ia Merupakan Hadith Mursal (http://www.iluvislam.com/v1/forum/viewthread.php?forum_id=120&thread_id=25319)

6. Al Quran Digital versi 2.1 (Computer Software); Laman Web : http://www.alquran-digital.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan