Isnin, 9 Julai 2012

SUKMA 2012 : Sesuatu Yang Menarik

Assalamualaikum wbt.


Saya berhasrat menulis tentang perkara ini sejak kali pertama mengetahuinya. Namun, kerja yang agak banyak dan kekangan masa membataskan diri. Alhamdulillah, hari ini dapat menyiapkannya.

Seperti yang telah saya beritahu sebelum ini, saya sedang menjadi sukarelawan SUKMA 2012, menguruskan bahagian sukan sepak takraw. Banyak perkara menarik yang saya lalui. Namun, ada satu perkara yang menarik perhatian saya, juga sukarelawan lain serta kebanyakan yang berada di gelanggang pertandingan.

Skuad Sepak Takraw Wanita Pulau Pinang telah tampil dengan imej tersendiri iaitu mengenakan pakaian yang menutup aurat dengan sempurna, sedangkan kebanyakan lawan mereka berpakaian seperti atlet lelaki. Mereka bertudung, memakai seluar panjang, mengenakan stokin tangan dan kaki dan pakaian mereka tidak menunjukkan bentuk tubuh langsung.
Skuad Sepak Takraw Wanita Pulau Pinang sedang melakukan latihan ringan sebelum pertandingan bermula.
Bukan seorang dua yang berpakaian sebegitu, tetapi kesemua pemain wanitanya. Sekadar makluman, hanya seorang yang saya lihat mendedahkan bahagian tangannya sewaktu latihan. Namun, beliau bukan pemain utama.

Saya ingatkan perkara ini hanya akan berlegar di dewan pertandingan, namun petang tadi (9 Jun 2012) ada disiarkan secara langsung di kaca TV perlawanan separuh akhir yang melibatkan pasukan wanita Pulau Pinang. Maka, sebahagian rakyat Malaysia telah melihat dengan jelas skuad yang saya katakan. Dan telah pun berlegar di sekitar laman sosial, terutamanya Facebook.

Adakah keputusan perlawanan mereka cemerlang? Ya, kedua-dua pasukan wanita (Regu Dua Orang dan Regu Tiga Orang) berjaya melangkah hingga ke perlawanan akhir dan menghadiahkan dua butir pingat perak kepada skuad negeri mereka. Skuad Regu Tiga Wanita Pulau Pinang pula telah mencapai kemenangan bersih (3-0) pada setiap perlawanan kecuali ketika akhir, di mana mereka tewas 1-3 kepada Perak.

Separuh Akhir Wanita Regu Tiga : Pulau Pinang vs Kuala Lumpur (sumber gambar)
Perkara yang telah dibuktikan oleh mereka tentunya tentang pentingnya menutup aurat meskipun bersukan. Dan mereka telah buktikan bahawa bersukan dengan menutup aurat boleh cemerlang.

Dalam kalangan sukarelawan mahupun pengadil, ada yang mengharapkan dan mendoakan kejayaan skuad Pulau Pinang itu meskipun bukanlah negeri mereka. Apa yang boleh saya katakan, andai anda berbuat baik, pastinya ada doa yang dihulurkan orang.

Saya ingin memberikan standing ovation atau tepukan gemuruh dan tabikan buat skuad ini atas usaha dakwah anda secara tidak langsung,

Maka, beginilah yang diharapkan oleh umat Islam, di Malaysia khususnya, salah satu cara dakwah Islam. Beginilah caranya yang kita mahukan untuk "Majulah Sukan Untuk Negara", dan juga majulah juga untuk Islam.



Jika anda ketinggalan untuk menonton skuad tersebut di televisyen, boleh lihat video yang diletakkan dalam artikel ini. Skuad wanita itu akan bertanding lagi sekali untuk acara berpasukan pada 11 Julai 2012. Mungkin ada siaran langsung, mungkin tidak. Atau boleh datang sendiri ke gelanggang pertandingan sepak takraw di Kompleks Sukan UIA Kampus Kuantan.

Semoga mereka terus berjaya dalam apa jua yang dilakukan dengan mematuhi peraturan Allah SWT.

JIMIE : Semoga perkara ini tidak dipolitikkan dan disalahtafsir oleh sesetengah pihak.

***UPDATED (13 Julai 2012):  Berdasarkan pemerhatian saya untuk acara berpasukan wanita pula yang berlangsung 3 hari kemudian, jumlah peserta wanita bertudung bertambah, namun tidak menutup aurat dengan sempurna.
***UPDATED (16 Julai 2012):  Pasukan Sepak Takraw Wanita Pulau Pinang telah berjaya memenangi pingat emas bagi acara berpasukan wanita. TAHNIAH!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan