Jumaat, 7 September 2012

Fobofobia


Aku rasa penyakit aku ini tidak ada penawar. Mungkin aku akan hidup dengan penyakit itu dan juga mati bersama penyakit itu. Aku tak dapat melawannya, kerana ia telah menjadi sebahagian dari diri aku.
Neofobia, itulah namanya. Ia bukan penyakit fizikal, ianya penyakit hati. Mungkin bukan dari hati tetapi ia seakan sifat semulajadi yang berada bersama sejak azali. Aku takut dengan perkara baru. Aku fobia dengan pengalaman baru. Aku tak sanggup meninggalkan yang telah sesuai dengan diriku, yang telah sebati dengan diriku.
Tetapi, sehingga saat ini aku bernafas, aku telah banyak melalui perkara baru, mempelajari benda baru. Mungkin aku takut, tetapi aku mampu menghadapinya setiap kali ia datang. Aku juga tidak menghadapi sesak nafas, menggigil, berpeluh berlebihan; yakni simptom penyakit fobia. Mungkin aku tidak ada penyakit ini. Mungkin ini cuma perasaan aku sahaja.
Namun, aku sedar pula, aku menghidap satu lagi fobia; Kronofobia : takut pada masa dan bergerak ke hadapan. Ya, aku tak sanggup menuju ke masa hadapan yang entah cerah entah kelam. Aku takut aku kehilangan masa indah yang aku ada sekarang.
Tetapi aku tidak pula menghentikan nafas aku. Biar aku bernoktah di sini. Tidak! Aku tidak akan cuba mengambil alih tugas Tuhan! Jadi aku hadapi dengan jayanya fobia tersebut. Maka adakah aku benar-benar fobia padanya?
Mungkin aku terlalu banyak berfikir. Mungkin aku hanya paranoid. Atau mungkin aku... Aku fobia dengan segala fobia! Oh, itulah maksud tajuknya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan