“Kenapa mereka mendapat gelaran Ulul Azmi?”
“Kerana mereka perlu menghadapi ujian yang lebih besar berbanding mereka yang tidak mendapat gelaran tersebut.”
“Pandai! Jadi, siapakah antara yang mendapat gelaran Ulul Azmi ni?”
Maka banyaklah suara-suara yang menyatakan jawapan. Salah satu jawapannya :
“Nabi Musa a.s.”
“Jadi, kenapa Nabi Musa digelar Ulul Azmi? Apa ujian besar yang perlu dihadapinya?” soal Ustaz.
Lagi banyak suara yang melontarkan pendapat.
“Nabi Musa mendapat tentangan kaumnya.”
“Setiap nabi dapat tentangan kaumnya,” kata Ustaz.
“Nabi Musa perlu lawan dengan Firaun yang amalkan sihir.”
“Firaun tak pandai sihir, yang selalu buat sihir tu pengikutnya.”
“Nabi Musa perlu membelah laut.”
“Apa susah belah laut, pukul tongkat dia sahaja.”
Maka aku pun lontarkan juga cadangan jawapan yang aku terfikir.
“Firaun itu ayah Nabi Musa.”
Maka dengan serta-merta, mata-mata rakan sekelas aku memandang ke arah aku, dengan pandangan yang pelik. Ada juga yang ketawa kecil.
“Firaun bapa Musa? Haha.” Mesti ini yang difikirkan mereka.
“Eh, salah ke jawapan aku?” getus hati aku. Tetapi aku yakin dengan pembacaan aku tentang kisah Nabi Musa a.s.
“Firaun tu bapa Nabi Musa?” soal Ustaz.
“Firaun tolong jaga Nabi Musa waktu kecil,” aku ubahsuai sikit jawapan aku, agar orang lain lebih faham.
Namun, masih ada mata-mata yang memandang aku pelik.
“Oh, maksud kamu Firaun tu bapa angkat Musa?” soal ustaz lagi.
“Ya.” Alhamdulillah, ustaz faham.
“Betul juga. Nabi Musa juga perlu menghadapi dugaan besar iaitu Firaun mengaku dirinya Tuhan.”
…Dan bersambunglah perbincangan dalam kelas Understanding Islam.
Selepas beberapa ketika, aku terfikir semula tentang kejadian itu. Aku terfikir semula, kenapa kawan sekelas aku memandang pelik aku, dan berasa hairan dengan jawapan aku? Adakah mereka tidak mengetahui kisah lengkap nabi Musa?
Mungkin mereka sekadar mengetahui bahawa nabi Musa dikejar Firaun, membelah laut dan menenggelamkan Firaun yang kufur. Maka saya ingin kongsikan sedikit kisah nabi Musa pada hari ini.
Nabi Musa dilahirkan ketika pemerintahan Firaun yang zalim. Ketika itu, Firaun yang memerintah menyuruh setiap bayi lelaki yang dilahirkan, dibunuh. Hal ini disebabkan ramalan bahawa akan lahirnya seorang lelaki yang akan menentangnya dan menjatuhkannya, seterusnya menyebarkan tentang keesaan Tuhan. Maka Firaun yang tidak mahu orang lain tidak mengaku dirinya Tuhan, maka arahan itu pun dikeluarkan.
Maka apabila Musa dilahirkan, ibunya yang amat menyayangi anaknya itu, menghanyutkan Musa ke sungai. Ibu Musa pun berdoa agar selamat bayinya dan dipelihara sebaiknya. Yang lebih diimpikan untuk memastikan Musa dibesarkannya sendiri, namun harus juga dilepaskan Musa.
Maka, tibalah di kawasan sungai berhampiran istana Firaun. Orang yang menjumpainya, dengan segera mengkhabarkan kepada pihak istana, dan apabila mengetahui bayi itu lelaki, maka bunuhlah hukumnya. Namun, permaisuri berasa amat kasihan lalu merayu pada Firaun agar dapat menjaga bayi itu. Bunuhlah bayi lelaki yang lain, tetapi biarlah dapat disimpan seorang. Lagipun isteri Firaun yang peliharanya, mustahil nanti akan menentang dirinya.
Maka Firaun pun menerima rayuan isterinya. Gembiralah isterinya kerana selama bersama Firaun, tidak pernah mereka dikurniakan anak. Maka disuruh pihak istana mencari seorang wanita untuk menjaga dan memelihara Musa.
Dengan takdir Allah, ibu Musa dipilih sebagai wanita yang akan menyusukan Musa. Apabila dilihat Musa selamat, ibu Musa mengucapkan kesyukuran yang amat kepada Tuhan. Namun, beliau hanya berdiam tentang asal usul sebenar nabi Musa agar selamat bayinya.
Maka Musa pun dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Apabila sudah meningkat remaja, Musa membesar sebagai seorang yang gagah berani. Pandai bertarung dan berani. Maka orang pun memuji-muji ‘anak Firaun’ itu. Orang ramai yakin bahawa Firaun mempunyai waris yang sesuai untuk menggantikannya nanti.
Hinggalah pada suatu hari, Musa telah ternampak seorang kaum Firaun, membuli dan menindas seorang berketurunan Israel. Musa pun tergerak hati untuk menyelesaikan perkara tersebut. Namun, dengan takdir Allah, dengan satu tumbukan (disebabkan orang kaum Firaun tu cuba untuk menyerang Musa pula), orang dari kaum Firaun itu pun meninggal dunia.
Maka apabila dikhabarkan kepada Firaun, kaum Firaun ini mahu menuntut bela. Namun, Firaun tahu yang membunuh orang itu ialah Musa, ‘anak’nya. Dengan berat hati, diperintahkan agar dicari dan tangkap Musa. Namun, Musa sempat melarikan diri.
Oh, dah panjang dah ni. Tapi tak sampai klimaks lagi ni, baru pembinaan plot. Apa pendapat anda tentang cerita yang dah saya tulis di atas? Menarik bukan kisahnya. Nak tahu apa jadi pada Musa selepas melarikan diri? Bagaimana pula Musa mendapat wahyu dan dilantik menjadi Rasul? Apa kisahnya sebelum membelah laut? Sepuluh Wabak? Insya-Allah nanti saya sambung.
Tetapi bagi yang dah tak sabar tu, bolehlah baca dari bahan bacaan yang boleh dipercayai (agar tak terpesong kisahnya). Paling selamat, boleh bukak Al-Qur’an (terjemahan kalau tak faham Arab) dan cari surah Al-Qasas. Saya juga sertakan beberapa link yang boleh dirujuk (Insya-Allah betul kisahnya, saya dah nilai dahulu) :
- Wikipedia [Bahasa Melayu] (http://ms.wikipedia.org/wiki/Nabi_Musa_a.s. dan http://ms.wikipedia.org/wiki/Wabak_Mesir)
- Blog Bustamam Ismail di Wordpress (http://hbis.wordpress.com/2008/07/05/nabi-musa-as-dan-nabi-harun-as/)
Saya juga mencadangkan anda mendengar sebuah lagu tentang kisah nabi Musa ni. Tajuknya “Epik” nyanyian kumpulan nasyid Rabbani. Insya-Allah menarik lagu ni. Boleh tengok video kat bawah ni :
Kisah riwayat nabi Musa a.s. memang menarik. Kalau dibuat filem memang hebatlah. Eh, dah ada la filem tentang nabi Musa ni. Maksud saya, penulis kisah ni memang hebat dalam perekaan kisah pada semua aspek, dari permulaan, klimaks mahupun outro. Siapa lagi kalau bukan Allah! Betapa Allah itu Maha Kuasa. Tetapi ramai yang menganggap kisah-kisah nabi ni mesti tak best. Harapnya lepas ni, banyakkan baca lagi kisah-kisah Nabi, terutamanya 25 Rasul yang wajib diingati itu. Pengkisahan setiap nabi itu memang menarik dan unik.
Sekian, wassalam.
JIMIE : Kalau KRU buat filem tentang kisah nabi Musa ni macam Hikayat Merong Mahawangsa tu kan lagi bagus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan